Selasa, 26 Februari 2019

Pendakwaan mohon pindah kes CBT Hasanah ke mahkamah tinggi

MALAYSIAKINI

   

Pihak pendakwaan dalam kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta telah memfailkan semula permohonan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Muhd Ilmami Ahmad berkata pihak pendakwaan telah membuat permohonan itu pada 21 Feb lalu.

“Sebelum ini satu permohonan telah dibuat tetapi telah ditarik balik atas sebab-sebab tertentu,” katanya semasa sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayub hari ini.

Beliau berkata pihak pendakwaan juga telah menyerahkan lapan lagi dokumen kepada pasukan pembelaan hari ini menjadikan keseluruhan sebanyak 59 dokumen.

Hasanah diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Tambah Muhd Ilmami, selepas menyerahkan kesemua dokumen itu barulah permohonan semula untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dapat diteruskan.

Hakim Rozina menetapkan 21 Mac untuk sebutan semula kes bagi mengetahui sama ada kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.- Bernama


Tiada ulasan: