Khamis, 28 Februari 2019

Mat Hasan: Dr M beritahu saya dia sayang Umno


   

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mendakwa Dr Mahathir Mohamad mengakui masih sayangkan Umno dan tidak akan sesekali membubarkan parti itu.

Mohamad yang kini menjalankan tugas presiden Umno berkata, perkara itu diakui perdana menteri dalam satu pertemuan yang mencetuskan kontroversi, pada Oktober tahun lalu.

Beliau bagaimanapun berkata Mahathir cuba “memesongkan fakta” dengan mendakwa Mohamad mahu menyertai Bersatu.

"Saya cakap Tun jangan bubarkan (haram) Umno, ini parti orang Melayu, tak baik untuk dia juga (jika haramkan Umno).

"Dia (Mahathir) kata 'siapa nak haramkan Umno, Mat Hasan, saya lagi sayangkan Umno, saya lebih 22 tahun jadi presiden Umno'.

"Cuma dia kata Umno sekarang sudah tidak elok dirosakkan Najib (Razak) dan pemimpin Umno lain," kata Mohamad ketika berucap di kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Semenyih malam tadi.
Mahathir dan Hasan ketika pelancaran Pelan Antirasuah Nasional di Putrajaya sebelum ini. Turut berada dalam gambar Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Ismail.

Sebelum ini tular foto membabitkan Mohamad dan beberapa pemimpin Umno termasuk Noh Omar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Shahidan Kassim mengadakan pertemuan dengan Mahathir.

Ia mengundang kontroversi apabila pertemuan itu dikaitkan dengan khabar angin kononnya bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mahu meninggalkan Umno.

Mohamad pada 13 Disember lalu menafikan pertemuan beliau ada kaitan dengan tindakan mereka untuk keluar parti atau memohon ‘talian hayat’ seperti yang tular di laman sosial

Sebaliknya, kata Mohamad, ia adalah pertemuan bagi membincangkan saranan Mahathir yang sebelum itu mahukan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membubarkan parti berkenaan.

“Memang betul saya dan beberapa pemimpin Umno ada bertemu dengan Tun selepas beliau pulang dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York," kata Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu di hadapan penyokong BN malam tadi, Mohamad berkata Mahathir cuba memutarbelitkan cerita apabila mendakwa beliau mahu menyertai Bersatu.

Begitu juga dengan kenyataan terbaru pengerusi Bersatu itu yang mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

"Saya tanya Takiyuddin (Hassan) dia kata tak ada tok (Datuk) kami pergi, kami bincang pasal royalti, kami bincang pasal di Kelantan kerajaan melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan.


Tiada ulasan: