Khamis, 28 Februari 2019

Tiada keperluan mendadak untuk semak semula belanjawan – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 

KUALA LUMPUR: Tidak wujud sebarang keperluan mendadak untuk melakukan semakan semula Belanjawan 2019 susulan penyusutan harga minyak mentah dunia baru-baru ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata ini juga berikutan faktor turun naik harga minyak berkenaan.

“Ini bergantung kepada banyak mana penurunan (harga minyak) itu. Namun, kita tidak akan segera mengambil tindakan (semakan semula Belanjawan) kerana harga itu akan naik semula selepas mengalami penurunan.

“Kita hanya perlu bersedia apabila harganya naik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan teater Ola Bola the Musical 2019 bersama isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Harga minyak mentah dunia pada masa ini mencecah US$66 setong manakala Belanjawan 2019 dibuat berdasarkan harga minyak mentah pada paras US$70 setong.

Mengulas pengumuman Kabinet menetapkan had maksimum harga runcit petrol RON95 yang dikurangkan kepada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini, Dr Mahathir berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan mampu menyerap lebihan kos jika berlaku kenaikan harga itu di pasaran.

“Keputusan itu ditetapkan kerana kita boleh menyerap (lebihan) kos tersebut,” kata beliau.

Keputusan mengurangkan harga maksimum petrol RON95 itu diumumkan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng keputusan itu juga sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada Januari lepas, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan harga runcit petrol RON95 dihadkan pada RM2.20 manakala diesel pada RM2.18 seliter.

Harga runcit semasa petrol adalah RM2.08 seliter bagi RON95, RM2.38 seliter bagi RON97 manakala diesel RM2.18 seliter.—Bernama

Tiada ulasan: