Isnin, 18 Februari 2019

PRK Semenyih: Kepentingan Islam, Melayu mesti diutama

Oleh Fahmi bin Faiz

PAS beri sokongan, kerjasama kepada UMNO: Hishammuddin



SEMENYIH – Senario politik hari ini memerlukan kerajaan peka terhadap perkara yang mengguris hati umat Islam di tanah air, dan membuang jauh retorik politik dalam hal membabitkan penyatuan umat.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kesatuan ummah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah mesej jelas bahawa kepentingan Islam harus diutamakan demi membina masa depan tanah air yang sejahtera.

“Yang wujud sekarang ini hati ke hati, ini tak boleh buat-buat (merujuk kesatuan UMNO dan PAS).

“Mungkin apa yang berlaku sekarang ialah kesedaran, bahawa penyatuan umat Islam dan orang Melayu untuk masa depan negara Malaysia yang majmuk ini, mesti ada satu kesedaran yang merentasi pertimbangan politik,” katanya kepada pemberita pada sidang media kempen Barisan Nasional (BN) di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengiringi calon BN bagi PRK Semenyih, Zakaria Hanafi bertemu orang ramai di pasar malam Taman Jenaris, Kajang, petang tadi.

Hishammuddin berkata, kini adalah masanya untuk semua pihak melihat ke hadapan, lebih-lebih lagi apabila PRK Semenyih ini menjadi pentas rakyat menterjemahkan mesej bahawa kesatuan ummah harus menjadi keutamaan dalam pembinaan negara.

“Jadi orang yang nak main politik sekarang, saya rasa tak akan ke mana, kerana Semenyih hanya satu pilihan raya, dan kalau ini boleh jadi petanda untuk mereka menyampaikan mesej yang jelas, cukup-cukuplah berpolitik.

“Ini masanya untuk lihat ke hadapan, inilah masanya untuk rakyat menyatakan pendirian mereka,” katanya.

 Mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK kawasan itu, Hishammuddin berkata, ukhwah dan kesepakatan di antara dua blok konservatif Melayu Islam itu jelas dapat dilihat di Semenyih.

“Apa yang saya lihat di bawah sini, hari ini sehari suntuk hubungan yang wujud di antara UMNO dengan PAS di sini saya tengok sangat baik dan mungkin kalau tanya Shahidan Kasim, dia kata lebih baik daripada Cameron Highlands. Jadi saya pun tak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

“Tetapi yang penting ialah keikhlasan kita, kejujuran kita, niat kita, tujuan kita untuk bersama, untuk apa. Untuk Islam, untuk Melayu, untuk negara kita, dan ini menjadi pegangan kita bersama. Dan alhamdulillah saya tanya calon kita, Zakaria, saya cukup puas hati dengan kerjasama yang wujud di antara PAS dengan UMNO di Semenyih ini,” katanya.


Tiada ulasan: