Sabtu, 16 Februari 2019

Subsidi haji: ‘Saya ingat Mujahid ikut Guan Eng’

Oleh Athirah Huda Zalhe 
 
Sepatutnya orang nak pergi haji berilah subsidi: Mahdzir Khalid


SEMENYIH – “Saya ingat Mujahid ikut Guan Eng,” kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika diminta mengulas isu pembatalan pemberian subsidi haji kepada jemaah rayuan dan pengiring mahram.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, dalam kerajaan dahulu, mana-mana jemaah haji muassasah yang menunaikan ibadah itu untuk kali pertama akan mendapat subsidi sebanyak RM12,920.

“Sepatutnya orang nak pergi haji, bagi sahajalah. Dari dulu kita dah beri, takkan bertukar kerajaan nak kena ikut …saya ingat Mujahid ikut Guan Eng sebab Guan Eng jaga kewangan.

“Jadi, jika Guan Eng tidak bagi, maka tak dapatlah,” katanya kepada Ismaweb.net ketika ditemui selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Dewan Seri Cempaka di sini, hari ini.

Malam tadi, Ismaweb.net menyiarkan laporan mengenai langkah terbaharu TH membatalkan subsidi itu yang dimaklumkan menerusi laman Facebook ‘Official-Lembaga Tabung Haji’, kelmarin.

Pengumuman mengejutkan TH itu mengundang rasa kecewa kebanyakan pengguna media sosial, yang rata-ratanya menyifatkan tindakan itu terlalu drastik tanpa memikirkan kesusahan rakyat mengumpul wang.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan menanggung RM12,920 subsidi untuk setiap mereka yang menunaikan haji kali pertama.

Katanya, subsidi itu diberi walaupun dalam keadaan tertekan berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh Tabung Haji.

Sebelum ini, bakal haji termasuk jemaah rayuan dan pengiring hanya perlu membayar RM9,980 sahaja untuk mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, dan jumlah itu tidak pernah berubah sejak 2009.

Bagaimanapun, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang ini, kemudahan itu tidak lagi diberikan kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring mereka, walaupun tahun ini adalah kali pertama mereka mengerjakan haji

Tiada ulasan: