PM akui pertemuan dengan 3 pemimpin PAS bincang urusan kerja

PUCHONG
– Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pimpinan PAS
memaklumkan, mereka tidak akan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Kecil
(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kerana Pakatan Harapan (PH)
tidak meletakkan wakil DAP sebagai calon.
Dr Mahathir berkata, pertemuan pada
Jumaat lalu dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dua
lagi pemimpin PAS iaitu Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan serta
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, namun mereka tidak
menyatakan akan menyokong Bersatu atau PH pada PRK 2 Mac ini.
“Saya cuma terpaksa kata yang mereka
(Abdul Hadi, Takiyuddin dan Ahmad Samsuri) mengakui mereka tidak akan
menyokong (UMNO) kali ini kerana lawan kali ini bukan DAP. Mereka
menyatakan mereka tak akan sokong UMNO tapi mereka tidak akan
isytiharkan perkara itu.
“(Tetapi) Bila saya dengar penafian,
terpaksa saya sebut apa yang berlaku…pengakuan mereka, kali ini mereka
tidak akan sokong UMNO tetapi mereka tak cakap akan sokong Bersatu atau
PH dan mereka (PAS) tak akan hadir (semasa penamaan calon) tapi kita
lihat hadir juga,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Dasar
Komuniti Negara (DKN) di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata, pimpinan PAS
berkenaan menyerahkan sepucuk surat contoh yang ditandatangani oleh
Takiyuddin sebagai pengakuan itu.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga pimpinan PAS itu menyatakan mereka menyokong pimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Tetapi sebagaimana kita tahu mereka tidak selalunya menyokong saya,” katanya.
Katanya, pertemuan itu lebih berkisar kepada penyelarasan tugas antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.
“Mereka meminta untuk ada wakil daripada
parti itu dalam badan-badan kerajaan tertentu, dan kita juga meminta
wakil PH diberi tempat dalam kerajaan negeri yang kita tak ada wakil,”
katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan