Pihak bomba minta pengendali premis beri kerjasama
JOHOR BAHRU
– Kira-kira 69 sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini dikenal
pasti belum berdaftar, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia (JBPM), Datuk Yahaya Madis.
Beliau
berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kepada 154 fasiliti sekolah agama
yang telah dikenal pasti aktif dan sehingga kini, hanya 85 pusat tahfiz
didapati berdaftar.
“Susulan
berlakunya beberapa kejadian tidak diingini kebelakangan ini, kami telah
menerima arahan daripada kerajaan untuk membuat pemeriksaan dan
pemantauan kepada pusat-pusat ini.
“Kami juga
menyahut saranan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor yang mahukan pusat
tahfiz ini sentiasa mendapat pemantauan,” katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis
Penyerahan Alat Pemadam Api dan Penyampaian Sijil Skuad Bomba Zon 1, di
Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, di sini, hari ini.
Memetik
laporan Sinar Harian, Yahaya berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan
notis penutupan terhadap pusat tahfiz yang belum berdaftar, tetapi mahu
pihak berkenaan memberikan kerjasama.
“Mereka ini
perlu datang bertemu kami. Sebab utama perkara ini perlu dilakukan
kerana fasiliti ini selalunya kurang lengkap, kita mahu ada tahap siap
siaga untuk sebarang kecemasan,” katanya.
Pada masa
sama, Yahaya berkata, pendaftaran tahfiz juga membolehkan setiap
fasiliti tersebut mempunyai skuad bomba sendiri yang mana berfungsi
sebagai agen kecemasan sekiranya berlaku kebakaran.
“Seramai 10
wakil dari setiap tahfiz akan dilatih dan bagi memastikan mereka
mengetahui cara memadam api serta langkah menyelamatkan diri.
“Sijil dan
peralatan memadam api saja tidak memadai tetapi mereka seharusnya
memiliki pengetahuan bertindak ketika berlaku kecemasan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan