Khamis, 21 Februari 2019

Najib pulang paku buah keras kepada Azmin

Mohd Zaini Samsu Hadi
xMGF20022019_NAJIB-MELAWAT-PASAR-BERANANG06-681x454
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (dua kanan) beramah mesra bersama peniaga semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Pasar Pekan Rabu Beranang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

SEMENYIH – Datuk Seri Najib Razak ‘memulangkan paku buah  keras’ kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini menyindir bekas Perdana Menteri itu dengan meminta beliau membawa isterinya untuk turun berkempen.

Menurutnya, Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) itu tidak perlu mengheret isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kempen Pilihan Raya Kecil Semenyih yang sedang berlangsung ketika ini.

“Tak payahlah, soal isteri tak usah masuk dalam hal ni. Isteri dia pun ada macam-macam cerita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa melakukan walkabout di pasar pagi Rabu, Beranang bersama calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi di sini hari ini.

MGF20022019_NAJIB RAZAK SARAPAN PAGI07
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi calon 
BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (tengah) beramah mesra 
bersama penduduk semasa sarapan pagi sempena Pilihan Raya 
Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Kedai Mail Roti Canai, Beranang, 
Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 
Isnin lalu, Azmin menerusi ceramah PH menyindir Ahli Parlimen Pekan yang kini popular dengan panggilan ‘Bossku’ supaya membawa isterinya untuk turun bersama-sama berkempen pada PRK berkenaan.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut melahirkan kehairanan apabila melihat Najib yang kini menjadikan modus operandi menaiki motosikal seorang diri untuk mengelilingi kampung-kampung.

Dalam pada itu, Najib berkata, beliau turut hairan dan kagum dengan sambutan yang diterima oleh penduduk Semenyih setiap kali berkunjung ke kawasan itu, sedangkan beliau bukanlah calon yang bertanding pada PRK di situ.

“Saya cuma pemimpin BN yang datang untuk bantu jentera BN pastikan kemenangan kita.

“Sebenarnya yang orang nak dengar bukan pasal saya, dia nak dengar apa kerajaan boleh buat ataupun seperti mana boleh bantu kawasan ini dari segi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Itu soal pokok yer. Isunya bukan saya, ini isu PRK,” ujarnya.

Terdahulu, Najib yang tiba kira-kira pukul 8.30 pagi di pekan berkenaan bersarapan pagi bersama pengundi di kawasan itu.

Kehadiran Najib mendapat sambutan luar biasa apabila kira-kira 1,000 orang menunggu ketibaannya sejak pukul 7 pagi.

Turut hadir menemani Najib, Ahli Majlis Tertingi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: