Khamis, 21 Februari 2019

Selepas RTM, TV3, Utusan pula didakwa lapor di luar konteks


Wartawan MalaysiaGazette


MGF19022019_CERAMAH-PAKATAN-HARAPAN05-681x454
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.

KUALA LUMPUR – Selepas RTM didakwa sabotaj oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan TV3 dituduh salah lapor, hari ini akhbar Utusan Malaysia pula dikatakan melaporkan berita di luar konteks.

Timbalan Menteri Kewangan mendakwa laporan Utusan bertajuk ‘Kerajaan Akui SST Tidak Mampu Kurangkan Harga Barang’ tidak dilaporkan sepenuhnya sebaliknya hanya memetik pendahuluan ucapannya.

Datuk Amiruddin Hamzah berkata, dalam ucapan berkenaan beliau menyatakan melalui pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan telah mengembalikan hasil sebanyak RM23 bilion melalui pengurangan bilangan barangan yang dicukai berbanding GST.

utusan
Laporan akhbar Utusan Malaysia yang didakwa ditulis di luar konteks.
Langkah murni ini, kata Amirudddin tidak memberi impak signifikan kepada harga barangan di pasaran sehingga membebankan rakyat kerana kadar inflasi bagi tahun 2018 adalah satu peratus (setelah pemansuhan GST dan ST diperkenalkan semula) berbanding 3.7 peratus bagi tahun 2017 (semasa GST masih dilaksanakan).

Perbandingan Indeks Harga Pengguna  antara tahun 2018 dan tahun 2017 menunjukkan bahawa GST telah menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi berbanding SST.

Bagaimanpun, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggung jawab, kerajaan PH tidak duduk dan melihat sahaja keluh kesah rakyat mengenai isu harga barangan ini tetapi mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan terperinci bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi melihat keseluruhan rantaian perbekalan barangan.

Katanya, kerajaan sedia maklum KPDNHEP mempunyai maklumat tentang perbandingan harga barang seluruh negara manakala Kementerian Kewangan melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai maklumat mengenai harga yang diisytiharkan semasa barangan diimport.

Melalui kerjasama di antara dua kementerian ini, kerajaan dapat mengenalpasti di peringkat manakah terdapat kemungkinan eksploitasi harga dengan sesetengah pihak mengambil untung secara tidak munasabah.

Seterusnya, satu langkah dan dasar yang efektif dapat dirangka supaya peluang-peluang pihak yang tidak bertanggunjawab untuk memanipulasi harga ditangani dengan berkesan.

Utusan Malaysia pula dalam terbitannya hari ini melaporkan, kerajaan mengakui SST tidak mampu mengurangkan harga barangan hingga kerajaan terpaksa menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada Kementerian Kewangan dan KPDNHEP.

Lapor akhar itu lagi, kerajaan juga sedar pelaksanaan SST hanya mampu mengutip keuntungan sebanyak RM21 bilion setahun sahaja berbanding GST yang jauh lebih tinggi.

Laporan itu telah menjadi rujukan Datuk Seri Najib Razak dalam postingnya di Facebook hari ini.

Secara sinis, Najib berkata, dulu ramai beritahu pelaksaan GST adalah langkah kurang bijak tetapi PH sombong dan terus mempertahankan SST.

Najib juga mempersoalkan siapa yang mendapat faedah daripada pelaksanaan SST jika pengguna tidak mendapat manfaa dan hasil kerajaan juga berkurangan hingga mengakibatkan bantuan dan projek mesra rakyat dikurang atau dimasuhkan.

Dalam kenyataan itu, Amiruddin berkata, sebagai sebuah institusi media arus perdana, Utusan Malaysia sepatutnya menghormati etika kewartawanan dengan melaporkan berita secara berhemah dan tidak dimanipulasikan untuk kepentingan pihak tertentu.- MalaysiaGazette



Tiada ulasan: