Rabu, 13 Februari 2019

Bekas ahli Parlimen Kota Tinggi berdepan 14 dakwaan rasuah lagi

Bernama

Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berdepan 2 pertuduhan 
menerima suapan RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat 
percetakan sama pada 2013 dan 2014 di Mahkamah Sesyen 
Johor Bahru, Ahad lalu. (Gambar Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Bekas ahli lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 14 tuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan lebih RM23,000 pada 2014 dan 2015 daripada sebuah syarikat percetakan.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, 56, yang juga bekas ahli Parlimen Kota Tinggi hadir ke mahkamah bersut hitam, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara berasingan di depan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-14, Ehsanuddin sebagai penjawat awam, iaitu ahli Lembaga Pengarah Felda yang bertugas di Felda, didakwa menerima bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 bagi kereta bernombor WQP 329 miliknya melalui cek daripada Karya Hidayah Sdn Bhd, yang mana tertuduh mengetahui ada hubungan dengan tugas rasminya.

Difahamkan, kenderaan itu ialah BMW 3 Series.

Ehsanuddin dituduh melakukan semua pertuduhan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Taman Maluri, 250-252, Jalan Mahkota, Cheras, di sini antara 10 Februari 2014 dan 9 November 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa mencadangkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan memohon syarat tambahan dikenakan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam, Datuk R Thrichelvam yang mewakili Ehsanuddin membantah syarat melapor diri di pejabat SPRM dengan alasan anak guamnya ialah ahli perniagaan sibuk.

Selain itu, Thrichelvam memberitahu mahkamah, pasport anak guamnya sudah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Ahad lalu, selepas berdepan 2 pertuduhan menerima rasuah wang tunai dan tanah.

Diana bagaimanapun berkata, syarat itu sepatutnya tidak menjadi masalah kerana tertuduh hanya dicadangkan melapor diri sekali setiap bulan.

Beliau turut memaklumkan tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok atas beberapa pertuduhan lagi.Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM minggu pertama setiap bulan serta menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes.

Ahad lalu, Ehsanuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 2 pertuduhan menerima suapan RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat percetakan itu pada 2013 dan 2014.

Tiada ulasan: