Robin Augustin
PETALING JAYA: Seorang aktivis hak asasi wanita mempertikaikan proses
pemilihan PPBM yang menerima keahlian bekas pemimpin Umno, dengan
memetik kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya
mengenai perkahwinan bawah umur, 2 tahun lalu.
Shabudin yang juga bekas hakim syariah, adalah antara 7 bekas ahli
Parlimen Umno yang menyertai PPBM yang diumumkan pada majlis yang
dihadiri Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
Namun, Melissa Mohd Akhir dari Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
mengingatkan PPBM mengenai kenyataan Shabudin di Dewan Rakyat, di mana
beliau menentang Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap
Kanak-kanak 2017.
“Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu dipersoalkan berhubung
penerimaannya dalam PPBM,” kata Melissa yang juga pengundi di Tasek
Gelugor.
Pada April 2017, Shabudin dilaporkan berkata tidak salah untuk gadis
berkahwin dengan perogolnya dan mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan
dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap.
Shabudin kemudiannya mendakwa media memetik kenyataannya di konteks,
mengatakan beliau tidak pernah menggalakkan jenayah seksual.
Charles Santiago dari DAP pula menggambarkan keahlian Shabudin sebagai “membimbangkan”.
“Saya difahamkan parti-parti PH akan berunding dengan rakan gabungan
apabila mereka menerima ahli parlimen dari pentadbiran terdahulu,
terutama yang mempunyai kontroversi. Jika ini benar, maka ia menentang
komitmen ini,” kata ahli Parlimen Klang itu kepada FMT.
“Reaksi media sosial terhadap keahlian Shabudin cukup jelas. PH tidak
sepatutnya menerima individu yang mempunyai kontroversi sedemikian.”
Santiago berkata, kemasukan Shabudin ke dalam parti pemerintah hanya akan merumitkan perkara selanjutnya kepada PH.
“Kami sudah mengalami defisit amanah. Tidak lama lagi, orang akan gelarkan kami BN 2.0,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah
berkata, bekas ahli parlimen Umno itu diketahui tidak menentang korupsi
dan kaedah menindas oleh Barisan Nasional.
“Sehingga sekarang, mereka tidak menunjukkan sebarang isyarat bahawa mereka sebuah negara demokrasi,” katanya.
Beliau berkata mereka yang bertentangan dengan “kehendak rakyat”
harus ditolak kerana terdapat “ramai lagi orang yang baik” untuk
diterima.
Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud bagaimanapun berkata
Shabudin dan yang lain berhak menyertai mana-mana parti yang mereka
mahu. Bagaimanapun, beliau berkata mereka kini harus mematuhi
nilai-nilai PH.
“Pemimpin wanita PH menentang perkahwinan kanak-kanak. Kami percaya
perkahwinan bawah umur harus ditetapkan pada usia 18 tahun supaya
anak-anak dapat menghabiskan pendidikan minimum,” katanya.
Beliau bertanya sama ada pendirian Shabudin mengenai isu itu telah berubah.
“Saya fikir sekarang, apabila dia terlibat dengan pemimpin wanita di PH, saya pasti dia akan melihat pandangan kami.”
Semalam, Shabudin, bersama 6 wakil rakyat lain, Hamzah Zainuddin
(Larut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Mohamad Fasiah Mohd
Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad
(Mersing) dan Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah) diluluskan menyertai
PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan