Selasa, 12 Februari 2019

MESYUARAT MKT UMNO PENENTU CALON SEMENYIH


Satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan dalam masa terdekat bagi memilih calon yang berkelayakan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan itu dijangka diadakan selepas perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya UMNO akan berusaha memastikan kemenangan di PRK Cameron Highlands akan berulang di PRK Semenyih.

Katanya beberapa calon berkelayakan yang juga anak tempatan sudah dikenal pasti.

Namun beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk memberikan keputusan muktamad.

“Bermacam khabar angin kita dengar mengenai calon Pakatan Harapan (PH) termasuk mahu meletakkan selebriti sebagai calon, tetapi ia tidak melemahkan perjuangan Barisan Nasional (BN).

“Kita akan lawan bagi memastikan kita menang sekali gus mengulangi kejayaan di PRK Cameron Highlands baru-baru ini,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum PAS di FELDA Lui Barat pada Ahad.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, BN sudah bersedia untuk menghadapi PRK berkenaan termasuk mengukuhkan kerjasama dengan PAS.


Tiada ulasan: