Jumaat, 15 Jun 2018

Umno tak berbangga diri - Nazri bela keputusan Zahid jumpa Dr M

MALAYSIAKINI



Pengkritik sering menuduh bekas menteri pelancongan dan kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz sebagai pemimpin yang bongkak dan biadap.

Namun, pemimpin Umno, yang dikenali ramai kerana kelantangannya itu, kini menekankan keperluan untuk merendah diri.

Ahli Parlimen Padang Rengas berkata demikian ketika mengulas kritikan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah terhadap naib presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.




Razaleigh mendakwa bahawa jika beliau adalah presiden Umno, dirinya tidak akan "merangkak" untuk mendapatkan nasihat Mahathir.

"Tidak. Itu okay. Maksud saya Umno dan BN kalah, jadi tidak mengapa. Jika Mahathir panggil, pergi dan berjumpa dengannya. Tiada yang salah (dengan itu). Mereka bukan musuh, mereka semua rakyat Malaysia, " kata Nazri kepada Malaysiakini.

Bekas menteri itu juga menegaskan bahawa Zahid tidak "merangkak" untuk berjumpa Dr Mahathir.

"Beliau berjalan dengan betuk, beliau tidak merangkak,” katanya sambil tergelak.

"Siapa yang mahu jumpa kami [...] kamu tahu, kita berada dalam kedudukan untuk berbangga ... kita mesti merendah diri. Saya rasa tidak mengapa. Saya sokong Zahid berjumpa (Mahathir)," katanya.

Menjawab soalan lain, Nazri berkata tidak ada masalah bagi Zahid meminta nasihat daripada Mahathir untuk menguruskan Umno.

"Tapi nasihat Mahathir untuk membubarkan Umno, Zahid tidak boleh (lakukan)," katanya.




Mahathir menerajui Umno selama lebih dari dua dekad. Beliau meninggalkan parti itu buat kali kedua pada 2016 - pertama kali adalah pada 2008 selepas tidak bersetuju dengan cara pentadbiran penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi - dan selepas berselisih dengan Datuk Seri Najib Razak.

Ahli politik yang berusia 92 tahun itu kemudiannya membentuk BERSATU dan menyertai gabungan Pakatan Harapan serta seterusnya menumbangkan Umno dan BN dari kuasa pada pilihan raya umum 9 Mei.

Zahid memuat-naik perjumpaan 7 Jun dengan Mahathir di halaman Facebooknya dengan ayat berbunyi “semoga perjumpaan ini membawa manfaat kepada semua."


Tiada ulasan: