Jumaat, 15 Jun 2018

Ku Li boleh jadi penasihat Umno, kata Nazri

 


Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mencadangkan agar Tengku Razaleigh Hamzah dijadikan penasihat parti itu kerana kebijaksanaannya diperlukan oleh parti.

Bercakap kepada Malaysiakini, Nazri mendakwa veteran Umno itu cukup mencintai parti itu daripada memecahnya dengan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti akan datang.

"Saya tidak fikir Tengku Razaleigh berminat (bertanding jawatan tertinggi) kerana beliau cintakan Umno dan tidak mahu memecahkan parti," katanya.

"Sebagai pemimpin veteran yang bijak, beliau dia boleh dijadikan penasihat."

Nazri sebelum ini melahirkan sokongannya terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Annuar Musa sebagai presiden dan timbalan presiden baru Umno.

"Saya menyokong Zahid untuk perpaduan, kestabilan dan kesinambungan (Umno). Adalah sangat penting untuk menyokongnya sekarang," katanya.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai pengerusi BN dan presiden Umno berikutan kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei.

Umno, yang kini hanya mempunyai 54 daripada 222 kerusi parlimen, perlu memilih kepimpinan baru yang mampu membina keyakinan orang ramai semula.

Setakat ini, Zahid dan blogger perniagaan Rahmat Azim Abdul Aziz telah mengesahkan keputusan mereka untuk bertanding jawatan presiden sementara Razaleigh masih belum membuat keputusan. Pencalonan untuk jawatan tertinggi parti akan ditutup pada Ahad ini.

Nazri juga berkata beliau tidak akan membuat sebarang permohonan kepada Razaleigh supaya tidak bertanding jawatan presiden parti.

"Ini adalah negara bebas dan parti bebas, jika semua orang mahu bertanding, biarlah.

"Jika Ku Li mahu bertanding, beliau dialu-alukan,” katanya.

Tiada ulasan: