BN wajar dibubar, sudah tidak relevan, kata veteran

KUALA LUMPUR
– Pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) digesa membubarkan gabungan
itu kerana didakwa sudah tidak lagi relevan, kata Setiausaha Agung
Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.
Beliau
berkata, pembubaran BN wajar kerana semangat Perikatan yang dipelopori
UMNO, MCA dan MIC sejak awal merdeka sudah tidak ada pada parti itu.
“Adalah lebih baik BN dibubarkan dengan rasmi daripada membiarkan anggotanya menarik diri daripada parti.
“UMNO yang
menjadi peneraju utama BN sewajarnya bertindak memanggil mesyuarat
Jawatan kuasa Tertinggi BN untuk membincang keputusan pembubaran BN,”
katanya seperti dilapor NSTP, hari ini.
Mengulas
lanjut, Mustapha berkata, kebanyakan veteran UMNO berpendapat ‘parti
keramat’ itu telah sekian lama memikul ‘biawak hidup’ parti komponen BN.
Parti komponen lain, katanya, hanya menumpang kekuatan UMNO selama ini.
“BN kuat kerana UMNO kuat. Mereka berasakan UMNO lemah kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), BN gagal memerintah.
“Mereka lupa
UMNO mempunyai 54 kerusi di Parlimen. Siapa sebenarnya lemah?
Sebenarnya mereka yang lemah. MCA, GERAKAN dan MIC sudah tidak mampu
bangkit. Mereka hanya menumpang menang di kawasan majoriti Melayu.
“Jadi kalau
ada suara-suara sumbang dari MCA dan GERAKAN untuk memecat UMNO dari BN,
bermakna mereka lupa sejarah dan tidak sedar diri siapa mereka selama
ini yang menumpang tuah UMNO,” katanya.
Malah, beliau berkata, veteran UMNO yakin UMNO mampu berjuang sendirian demi agama, bangsa dan tanah air.
“Apa yang perlu ialah UMNO mesti kembali kepada matlamat asalnya sesuai dengan slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan