Isnin, 11 Jun 2018

SPR nafi lebihan 20,000 undi Kubang Kerian

Nizam Zain
 
spr
spr

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan tiada sebarang lebihan 20,000 undi dikeluarkan di kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Unit Komunikasi Korporatnya berkata, hanya terdapat kesalahan menaip pada jumlah kertas undi yang dikeluarkan dalam Warta Keputusan PRU14 yang diwartakan pada 28 Mei lalu.

“Jumlah sebenar kertas undi yang dikeluarkan bagi Bahagian Pilihan Raya berkenaan pada PRU-14 adalah 64,867 bukannya 84,867 seperti mana yang tercatat.

“SPR menyatakan rasa kesal dan memohon maaf di atas kesilapan jumlah tersebut dan telah mengambil langkah serta-merta untuk membuat pembetulan pada warta tersebut.

“Namun, kesilapan itu tidak mengubah jumlah undi yang diperolehi oleh setiap calon yang bertanding sepertimana disiarkan dalam Warta sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada PRU14, Parlimen Kubang Kerian ditandingi dan dimenangi oleh calon Pas, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim yang memperolehi 35,620 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani mendapat 16,251 undi serta Datuk Dr Abdul Halim Yusof daripada PKR dengan 11,557 undi.

Menerusi warta PRU-14, Parlimen Kubang Kerian yang terdiri daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu N17 Salor (27,164 pengundi), N18 Pasir Tumboh (26,257) dan N19 Demit (28,597) memiliki keseluruhan 82,018 pengundi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: