Timbalan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Dr Azmi Sharom berkata sejak
pertukaran kerajaan pada Mac lalu, situasi politik Malaysia cair, maka
SPR perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Jadi dari segi kemungkinan PRU, realitinya apabila terdapat pertukaran kerajaan pada Mac, SPR memang sudah in alert hadapi kemungkinan.
"Kami
tahu situasi politik cair. Saya tidak mengulas tentang politik, saya
mengulas apa yang kami perlu buat. Realitinya keadaan politik cair, kita
pun mesti bersedia.
"Itu yang kami buat sejak Mac, memang banyak kerja untuk bersedia bagi menghadapi pilihan raya yang dijalankan berterusan.
"Kalau
ada PRU15, kita buatlah. Kalau parlimen dibubarkan, kita ada 60 hari
dan dalam tempoh itu kita mesti buat (PRU) juga," katanya pada wawancara
bersama Bernama.
Beliau menjawab soalan mengenai persediaan SPR sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan pada bila-bila masa.
Menjelaskan
lanjut, bekas timbalan dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya
itu berkata selain latihan kepada pegawai SPR dan banyak persiapan lain
yang dilakukan berterusan.
"Contohnya, untuk menentukan pusat
mengundi. Saya sendiri pun ikut sama dengan Urusetia SPR untuk melihat
tempat mengundi baharu dan sebagainya.
"Proses ini berterusan, kita bukan kerja sekali dalam masa lima tahun sahaja," jelas beliau lagi.
Berikut adalah antara sedutan soalan dan jawapan dalam wawancara wartawan Bernama, Nursyabiha Sukri dan Rosmalis Anuar bersama Dr Azmi Sharom:
Soalan: Bagaimana dengan pandangan Dr Azmi terhadap sistem penjalanan pilihan raya di Malaysia?
Azmi:
(Sistem Pilihan Raya) banyak yang bagus, terdapat banyak
penambahbaikan yang berlaku, misalnya kita ada sistem PACA (ejen tempat
mengundi dan ejen mengira undi) dan sistem pemerhati. Sistem sebegini
membantu orang ramai rasa lebih yakin dengan pilihan raya diadakan.
Contohnya menerusi sistem PACA, undi itu dikira dalam saluran sendiri,
jadi ia tidak perlu mengira undi itu di satu kawasan/tempat/pusat yang
lain. Pengiraan undi disaksikan oleh PACA, mereka juga tandatangani
Borang 14. Jadi ini bermakna, kalau hendak menipu, mustahil. Kisah-kisah
dahulu ada yang mengatakan muncul kotak baharu dan sebagainya, mustahil
perkara itu boleh berlaku kerana apa yang penting adalah Borang 14 yang
ditandatangani oleh saksi iaitu PACA dan ketua tempat mengundi.
Adanya
sistem sebegini dan sistem pemerhati yang datang boleh menyaksikan
perkara yang berlaku, ini bermakna proses pengundian itu adalah lebih
telus. Kalau kita terbuka dengan apa yang kita lakukan susah untuk
mengundang perkara yang tidak elok berlaku. Dari satu aspek lagi, ada
kekukuhan sistem pengundian dan pilihan raya. namun banyak lagi ruang
untuk perbaiki sistem. Apa yang saya inginkan adalah sistem pilihan
raya dan SPR tidak disebut langsung oleh orang ramai. Maksudnya orang
tidak kisah (pertikai) lagi dengan SPR dan semua rakyat merasakan
seratus peratus yakin dengan sistem pilihan raya. Harapan saya orang
lupa SPR, bukan sebab kita hilang tetapi kerana SPR melakukan kerja
dengan teliti dan cekap sehingga tidak menimbulkan isu.
Soalan:
Apakah rakyat Malaysia boleh melihat suatu sistem pilihan raya yang
lebih mantap dan tidak asyik dilihat sentiasa berpolitik dan berhadapan
dengan pilihan raya?
Azmi: Tugas rakyat adalah mengundi
calon yang mereka betul-betul yakini, bukan tugas SPR untuk menentu
siapa yang sepatutnya mereka mengundi. Kalau rakyat ingin ahli politik
tidak asyik main politik tetapi mementing rakyat, pilihlah calon yang
begitu, itu yang dinamakan demokrasi. Kalau suka mereka (ahli politik)
yang suka main politik, jadi undilah mereka. Tetapi itu bukan kerja SPR,
itu kerja rakyat.
Ada cadangan bahawa kalau ada calon meninggal
dunia dan sebagainya parti yang menang itu akan teruskan, iaitu diganti
dengan calon baharu. Cadangan itu bukan dalam sistem perundangan SPR,
jika Parlimen ingin menukar sistem, itu kerja Parlimen. SPR hanya
mengendalikan pilihan raya sahaja, sistem demokrasi yang diingini adalah
kerja Parlimen. Sebenarnya itu kehendak rakyat.
SPR hanya
mengendalikan pilihan raya. SPR tidak terlibat dengan isu-isu seperti
itu. Kerja-kerja yang dilakukan sekarang berasaskan tanggungjawab yang
sedia ada maksudnya rancangan reformasi kita berasaskan pengendalian dan
pelaksanaan pilihan raya, perbaiki daftar pemilih, perbaiki
persempadanan, ini tanggungjawab kita. SPR sekarang ini sangat mengambil
berat untuk memperbaiki sistem dan mereformasikan sistem.
Di luar
daripada itu, seperti menggunakan sistem first-past-the-post, sistem
berkadar. Memang ada penyelidikan tentang perkara itu, tetapi ia
dijalankan oleh Election Reform Committee (ERC) yang diketuai oleh Tan
Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. SPR hanya mengkaji apa yang ada dalam hak
kuasa SPR sahaja, di luar itu kalau ERC mahu lakukan dan Parlimen
bersetuju, ia akan menjadi satu perkara lain.
Soalan:
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC)
mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya iaitu usaha mengubah
landskap pilihan raya pada masa akan datang? Apakah pandangan SPR dalam
hal ini?
Azmi: ERC sebahagian daripada satu usaha untuk
perbaiki seluruh sistem pemimpinan kita di Malaysia, dan pada pandangan
saya semua usaha ini adalah sesuatu yang memang elok dan baik.
Kita
tidak boleh duduk diam atau statik sahaja, kita harus fikir ke depan.
Demokrasi adalah sesuatu yang saya rasa sangat penting. Sistem demokrasi
bukan semata-mata memilih pemimpin tetapi sistem ini memberi hak kepada
rakyat menentukan masa depan mereka. Sekiranya tidak boleh memilih
siapa pemimpin kita, bermaksud kita hanya hamba abdi. Kalau kita tahu
suara kita bermakna dan undi kita bermakna, kita perlu yakin sistem
demokrasi itu wujud.
Bagi memperbaiki sistem demokrasi dan
pimpinan kita, penambahbaikan ini sangat penting, ia bukan tentang orang
nak simpan kuasa dan sebagainya, ia adalah untuk rakyat dan keamanan
negara. Semua usaha untuk memperbaiki apa yang sedia ada, sama ada ERC
ataupun komuniti-komuniti yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu, saya
rasa ia berterusan sekarang ini. Ini semua perkara yang elok dan
digalakkan.
Soalan: Menyentuh tentang tindakan pemimpin yang
melompat parti atau tiba-tiba meletak jawatan, menyebabkan Pilihan Raya
Kecil (PRK) terpaksa diadakan, adakah ini adil kepada pengundi di
kawasan berkenaan?
Azmi: Saya faham kenapa rakyat
berasa kecewa apabila ia berlaku. Itulah sebabnya kerja SPR sangat
penting supaya rakyat yakin bahawa jikalau sesuatu perkara itu telahpun
berlaku dan jika mereka tidak puas hati dengan perkara sebegitu, mereka
ada kuasa untuk melakukan sesuatu pada masa hadapan.
Rakyat perlu
mengambil tanggungjawab soal calon kawasan mereka, cabar calon anda,
apakah pendirian (calon) mengenai isu-isu ini. Kita sebagai manusia yang
bebas, kita ada tanggungjawab sendiri, kita tidak boleh mengharap
kepada institusi sahaja untuk membuat kerja kita, kita mesti
bertanggungjawab dengan kehidupan kita. Sekiranya mahu SPR menjelaskan
serta memperbaiki sistem bagi menangani isu lompat parti dan sebagainya
dan menghalang perkara itu berlaku, saya tidak akan komen, kerana ia di
luar bidang kuasa SPR.
Soalan: Banyak pihak terutamanya
pemerhati politik berpendapat Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan pada
bila-bila masa? Apakah persediaan SPR ke arah itu?
Azmi: Sebenarnya
SPR telah membuat persediaan dari segi latihan pegawai-pegawai dan
banyak persiapan yang kita lakukan berterusan. Contohnya, untuk
menentukan pusat mengundi. Saya sendiri pun ikut sama dengan Urusetia
SPR untuk melihat tempat mengundi baharu dan sebagainya. Proses ini
berterusan, kita bukan kerja sekali dalam masa lima tahun sahaja. Jadi
dari segi kemungkinan PRU, realitinya apabila terdapat pertukaran
kerajaan pada Mac, SPR memang sudah in alert hadapi kemungkinan.
We
know that the political situation is fluid. I’m not making comment on
the politics, I’m commenting on what we have to do. The reality is jika
political situation is fluid, kita pun mesti bersedia. That’s what
we’ve been doing since March, memang banyak kerja untuk bersedia bagi
menghadapi pilihan raya yang dijalankan berterusan. Kalau ada PRU15,
kita buatlah. Kalau Parlimen dibubarkan, kita ada 60 hari dan dalam
tempoh itu kita mesti buat (PRU) juga.
Soalan: Apakah harapan SPR?
Azmi: We (SPR) must continue to improve,
kita tak boleh angkuh dan rasa sempurna. Kita mesti menerima kritikan
secara terbuka dan terima cadangan penambahbaikan. Sekurang-kurangnya
kritikan dan cadangan penambahbaikan tu perlu dikaji dan jika elok kita
laksanakan. Kita sendiri mesti mengambil inisiatif untuk memperbaiki
diri kita.
Setiap ahli SPR yang ada bertanggungjawab dalam
jawatankuasa masing-masing untuk memperbaiki sistem kita. Ada
jawatankuasa untuk pendaftaran pengundi, ada untuk persempadanan, undi
pos, kesalahan pilihan raya dan ada juga jawatankuasa memperbaiki cara
beroperasi. We are working to improve dan saya harap ia akan
berterusan. We must improve because kalau kita stagnant sahaja its not
good, we must keep on moving forward kerana rakyat Malaysia deserve it.
Saya
mahu rakyat percaya dengan sistem pilihan raya dan yakin dengan SPR,
kita tidak mahu timbul isu SPR tidak telus, kalau boleh setiap kali
pilihan raya saya tidak mahu dengar rakyat menyalahkan SPR.