Pasukan Petugas Khas 1MDB sedang kesan aliran wang, aset di seluruh dunia
PUTRAJAYA
– Malaysia dan Singapura bersetuju bekerjasama membawa pulang sejumlah
besar wang yang disyaki diseleweng daripada dana 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Persetujuan
itu dicapai pada mesyuarat Pasukan Petugas Khas 1MDB Malaysia dan
Singapura di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
di sini, pagi tadi.
Pasukan
Petugas Khas 1MDB Malaysia dianggotai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul
Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed;
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; dan Pengarah
Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador. Pegawai Bank Negara
Malaysia turut hadir.
Sementara,
pasukan siasatan Singapura dianggotai sembilan pegawai kanan Pejabat
Peguam Negara Singapura; Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura; dan
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).
Pasukan
Petugas Khas 1MDB memberitahu, kerjasama itu juga bertujuan mengumpul
bahan bukti dan mengesan saksi di Singapura secepat mungkin.
“Selain itu,
pasukan ini juga akan melakukan ‘money trail’ bagi mengesan wang serta
aset yang masih wujud,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
1MDB yang
diasaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini disiasat
oleh sekurang-kurangnya enam negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan
Switzerland, atas dakwaan penyelewengan AS$4.5 bilion (RM17.9 bilion).
Singapura
sebelum ini, menutup cawangan dua bank Swiss – Falcon dan BSI – kerana
pengubahan wang haram yang didakwa dicuri daripada 1MDB. Pihak berkuasa
negara itu turut mendenda dua bank lain, UBS dan DBS, kerana melanggar
undang-undang pencegahan pengubahan wang haram. Switzerland pula
mendenda Coutts Bank kerana pengubahan wang haram.
Lima bekas
pengurus bank di Singapura juga didenda dan dipenjarakan kerana peranan
mereka dalam pergerakan dana haram 1MDB daripada akaun berkait dengan
ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho. Jho Low adalah seorang
daripada empat individu yang dinamakan dalam saman Jabatan Kehakiman
(DOJ) AS.
Baru-baru
ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikrar untuk menyiasat
skandal 1MDB dan bertindak terhadap sesiapa yang mungkin bersubahat,
atau mendapat manfaat daripada rasuah berkaitan dana terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan