Rabu, 20 Jun 2018

Sidek Hassan, tunggu apa lagi?

Sidek Hassan, tunggu apa lagi?
Mohd Sidek Hassan perlu baca petanda yang kedudukannya di Petronas tergugat selepas setuju jadi pak turut pentadbiran Najib Razak. – Gambar Facebook
 
ADAKALANYA, kita hanya perlu membaca petanda.

Tidak perlu ada hitam putih atau pesan yang bertiup dari khabar angin.

Ahli sukan bersara apabila umur mereka meningkat. Ahli politik bersara apabila pengundi tidak lagi hendakkan mereka. Manakala, mereka yang dilantik ke lembaga korporat dan kedudukan yang jadi buruan ramai diam-diam berhenti apabila penaung mereka berhenti.

Jadi, nasihat terbaik kepada Pengerusi Petronas Sidek Hassan, bacalah tanda-tandanya.

Sidek masih belum meletakkan jawatan daripada syarikat petroleum negara itu atas alasan yang hanya beliau sendiri tahu. Mungkin beliau masih menunggu dicuit oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atau Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Mungkin juga beliau yakin beliau tidak masuk dalam senarai ketua agensi kerajaan yang sudah melanggar batas dengan berkempen untuk Najib Razak dan Barisan Nasional.

Bekas ketua setiausaha negara itu patut berhenti daripada berfikir begitu. Beliau seorang pun sudah ada kategorinya yang tersendiri.

Ada banyak bekas kakitangan awam kanan dan teraju korporat yang bagai dicucuk hidung tunduk kepada Najib tanpa sedikit pun mereka bertanya diri sendiri apakah yang mereka lakukan itu wajar.
Selebihnya, ada Sidek Hassan.

Pada mata kerajaan Pakatan Harapan, beliau tonggak utama Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bersidang dengan motif politik untuk memburukkan imej Dr Mahathir.

Skandal matawang asing di Bank Negara berlaku beberapa dekad lalu. Walaupun ada gesaan berulang kali daripada pembangkang untuk perkara itu disiasat, BN tidak berbuat apa-apa sehinggalah pada 2017.

Najib ketika itu perlu mengetepikan Dr Mahathir yang sudah jadi duri dalam dagingnya. Beliau perlu menghancurkan pemimpin pembangkang itu yang mencemarkan reputasinya dengan membangkitkan skandal 1MDB.

Maka, Najib dan konco-konconya memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap kerugian matawang asing itu dan menyusun skrip siasatan sebelum ia bersidang.

Keputusannya ialah Dr Mahathir mesti dipersalahkan atas kerugian berbilion ringgit itu. Setelah skripnya dipersetujui, konco-konco Najib mengatur pasukan yang akan menjalankan muslihat itu.

Mereka perlukan seorang yang dihormati untuk mengetuai RCI itu dan menutup muslihat busuk itu.

Mereka menawarkannya kepada Sidek dan beliau setuju.

Jadi, bekas ketua setiausaha negara itu jadi pak sanggup dan bersubahat.

Beliau boleh saja menolak tawaran itu. Atau, beliau boleh saja memastikan prinsip undang-undang jenayah yang ketat digunapakai semasa prosiding siasatan. Sidek tidak buat apa pun.

Sebaliknya, siasatan itu langsung tidak mempedulikan konsep melampaui keraguan munasabah dan bukti yang menyokong serta tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.

Pada penutup siasatan yang wayang itu, kesalahan jenayah dilonggokkan di hujung kaki Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, yang merupakan menteri kewangan ketika kerugian itu berlaku.

Sejak menang Putrajaya, kerajaan Pakatan Harapan sudah menegaskan bahawa semua lantikan politik di agensi kerajaan perlu letak jawatan. Pentadbiran Mahathir juga tidak mahu berurusan dengan sesiapa pun yang tercemar integriti dan tata kelolanya semasa Najib berkuasa.

Kita tidak faham apa lagi yang Sidek Hassan tunggu.

Tiada ulasan: