Selasa, 12 Jun 2018

Sidang media HRDF di SPRM bertukar kecoh

 
Sidang media salah guna kuasa melibat ahli lembaga pengarah HRDF tegang apabila individu yang didakwa tiba-tiba muncul memberi keterangan.
 
 
 
Datuk Seri P Ganes (berkot putih) diperhatikan individu yang beliau dakwa sebagai RA Thiagaraja (berbaju biru).


PUTRAJAYA: Sidang media mengenai salah guna kuasa melibatkan ahli lembaga pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bertukar kecoh apabila individu yang didakwa muncul secara tiba-tiba dan mencelah.

Salah seorang pembayar levi dan penyedia latihan HRDF Datuk Seri P Ganes pada awalnya membuat laporan kepada SPRM kerana percaya wujudnya salah guna kuasa melibatkan pertubuhan itu.

“Kita percaya sumbangan levi kepada HRDF telah disalahgunakan,” katanya kepada pemberita selepas kira-kira sejam membuat laporan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau mendakwa, salahguna kuasa itu melibatkan seorang ahli lembaga pengarah HRDF.

“Ahli lembaga pengarah tersebut melibatkan diri secara terus dengan syarikat milik beliau melibatkan kontrak yang bernilai jutaan ringgit malah menggunakan taktik pertubuhan atau persatuan industri untuk menyalurkan dana HRDF kepada syarikatnya sendiri.

“Statistik ini adalah berdasarkan daripada maklumat yang dipaparkan untuk tatapan umum dalam laman web HRDF sendiri,” katanya.

Ganes mendakwa, penyalahgunaan kontrak itu melibatkan RM300 juta.

Bagaimanapun, individu yang Ganes dakwa sebagai RA Thiagaraja muncul dan mencelah menyebabkan berlakunya sedikit ketegangan.

“Anda membuat tuduhan terhadap saya. Saya patut berada di sini,” katanya.

Thiagaraja juga mencabar Ganes membuktikan beliau menyalahgunakan kuasa dan memperoleh RM300 juta.

“Bagi mereka buktikan, saya tak menerima jumlah duit itu,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ganes.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang telah mencemarkan nama baik saya,” tegasnya.

LIHAT VIDEO DI SINI



Tiada ulasan: