Khamis, 21 Jun 2018

Putrajaya akan terus beri elaun nelayan, kata menteri

Putrajaya akan terus beri elaun nelayan, kata menteri
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub bercakap pada sidang akhbar selepas melawat menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain,
 
NELAYAN akan terus menerima elaun walaupun berlakunya perubahan kerajaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan nelayan bahawa mereka masih belum menerima elaun masing-masing.

“Kami mahu memberi jaminan kepada nelayan bahawa walaupun kerajaan sudah berubah, mereka akan terus menerima elaun.

“Kami juga akan menyiasat aduan berkenaan elaun mereka tidak dimasukkan ke akaun bank masing-masing baru-baru ini,” katanya selepas melawat menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini.

Salahuddin berkata mungkin berlaku kesilapan teknikal dalam sistem perbankan.

Terdapat 57,000 nelayan yang menerima elaun bulanan antara RM200 dan RM300.

Salahuddin berkata wang itu sudah dimasukkan pada 11 Jun dan bagi yang masih belum dapat akan menerimanya esok.

“Sesetengah masih belum dapat kerana ada sedikit masalah dengan Agrobank (Bank Pertanian (M) Bhd), tetapi dengan bank lain tidak ada masalah.

“Kami akan siasat masalah ini supaya pemberian elaun tidak akan terganggu.”

Salahuddin berkata nelayan yang masih belum menerima elaun, boleh menghubungi kementerian.

Katanya, jika ekonomi semakin pulih kerajaan akan mengkaji untuk memberi lebih insentif kepada rakyat.

Tiada ulasan: