Memaparkan catatan dengan label KEBAJIKAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KEBAJIKAN. Papar semua catatan

Isnin, 31 Ogos 2020

PM usul bantuan JKM dinaikkan dari RM200 ke RM1,000

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkkan ke RM1,000.

Katanya cadangan itu akan beliau kemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

"Saya tahu cakap (kenyataan) saya ini mempunyai implikasi besar, but I don't care (tapi saya tidak peduli).

"What is important is the livelihood of our people down there (Yang penting ialah mata pencarian rakyat di akar umbi) … they have suffered for a long time (mereka menderita sejak sekian lama)," katanya pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat, di Sandakan hari ini.

Muhyiddin berkata usaha membantu golongan itu termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinannya.

Beliau juga meluahkan rasa sedih dengan nasib golongan itu walaupun negara telah lama merdeka.

"Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup.

"Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera," katanya.

Muhyiddin kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah, bermula semalam.- Bernama

Ahad, 30 Ogos 2020

Cadangan elaun PJM secara bulanan

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
ISMAIL SABRI YAAKOB

JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan bercadang memberikan Elaun Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai elaun bulanan antara RM300 hingga RM350 bagi menghargai jasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu bagaimanapun masih lagi di peringkat cadangan.

Beliau berkata, buat masa ini penerima PJM hanya menerima pingat dan sijil penghargaan daripada kerajaan.

“Pada masa ini lebih 121,000 bekas anggota ATM layak menerima PJM dan daripada jumlah itu seramai 29,000 telah menerima anugerah ini sejak dilaksanakan.

“Setakat ini mereka hanya terima pingat tetapi tiada elaun bulanan untuk sara hidup, kita cuba untuk memohon kerajaan untuk elaun secara bulanan antara RM300 hingga RM350,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Johor di Ulu Tiram di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 350 bekas anggota ATM menerima pingat PJM.

Ismail Sabri berkata, pada 11 Oktober tahun lalu semasa Pembentangan Belanjawan 2020, PJM diberikan sekali bayaran ‘one off’ sebanyak RM500.

Katanya, bagi fasa pertama dan kedua, pembayaran sudah dibuat kepada 70,000 veteran ATM melibatkan mereka yang berpencen dan tidak berpencen dengan peruntukan RM35 juta.

“Pembayaran untuk fasa ketiga dan keempat pula kita akan buat pembayaran selepas peruntukan diterima Kementerian Pertahanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sabtu, 8 Ogos 2020

Malaysia sumbang RM1 juta bantu rakyat Lubnan: PM

Athirah Huda Zalhe

 

Muhyiddin yakin rakyat Lubnan mampu atasi impak tragedi letupan

BANGI – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyumbang RM1 juta bantuan kemanusiaan untuk rakyat Lubnan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

Bantuan kemanusiaan itu adalah atas dasar semangat persaudaraan akrab dengan Lubnan yang ditimpa tragedi letupan di Pelabuhan Beirut sehingga menyebabkan kemusnahan besar pada 4 Ogos lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia turut berkongsi kesedihan dan penderitaan dengan rakyat Lubnan.

“Kerajaan dan rakyat Malaysia menghulurkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang.

“Malaysia yakin dan percaya rakyat Lebanon mampu mengatasi impak tragedi dan meneruskan kehidupan dengan kekuatan semangat dan perpaduan berterusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Agensi Anadolu melaporkan tragedi letupan yang dipercayai berpunca daripada amonium nitrat yang disimpan di gudang di pelabuhan Beirut itu telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 135 orang terkorban, 5,000 cedera manakala puluhan lagi masih hilang.

Letupan di Pelabuhan Beirut memusnahkan seluruh kawasan sekitar bandar yang menganggarkan kerugian sekitar AS$3 bilion hingga AS$5 bilion.

Selasa, 21 Julai 2020

PPZ-MAIWP terus bantu golongan B40

Oleh Asliza Binti Musa

KUALA LUMPUR: Golongan isi rumah berpendapatan rendah ( B40) yang terjejas akibat penularan Covid-19 terus dibantu menerusi  Program Usrah Saeedah yang digerakkan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PPZ-WAIWP iaitu Khaira PPZ itu adalah kesinambungan usaha pusat tersebut dalam meringankan beban ditanggung golongan memerlukan bantuan selepas program Musaadah Khaira PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shukri Yusoff berkata, program itu yang bermula bulan ini sehingga Disember depan menyasarkan 10 kes menerusi peruntukan sebanyak RM100,000 daripada dana wakalah dan syarikat-syarikat yang berkerjasama.

Katanya, individu yang layak diberikan bantuan tambahan secara ‘one off’ berbentuk keperluan asasi seisi rumah termasuk perubatan, kenderaan, pekerjaan dan peralatan rumah serta baik pulih dan menyediakan rumah baharu.

“Ia berbeza dengan program-program CSR lain kerana ia diadakan secara menyeluruh untuk seisi keluarga.

“Kami sangat mengalu-alukan koloborasi bersama syarikat-syarikat korporat atau mana-mana pihak untuk sama-sama menghulurkan tangan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataannya di sini. 

Program tersebut dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Jalan Kampung Pandan di sini semalam.

Ahmad Shukri berkata, program itu antara lain sebagai tanda keprihatinan institusi zakat dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan di samping menggalakkan lebih ramai individu dan syarikat menunaikannya.

“Program ini adalah satu bentuk bantuan bersama yang boleh dilakukan secara berpasukan dengan mana-mana pihak.

“Saya menyeru semua umat Islam yang layak segera menunaikan zakat agar dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Isnin, 20 Julai 2020

Bayaran BSH fasa ketiga dibuat Jumaat ini

Wartawan MalaysiaGazette
MGF02112018_PIX-BANGUNAN-KEMENTERIAN19-681x454
Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 Fasa Ketiga kepada 4.28 juta penerima akan dilaksanakan mulai Jumaat ini, 24 Julai 2020.

Kementerian Kewangan berkata, peruntukan bayaran bagi fasa ini adalah sebanyak RM3.0 bilion.

Bayaran itu melibatkan 3.75 juta isi rumah dan 53,000 orang bujang (40-59 tahun).

Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah.

Katanya, isi rumah pendapatan bawah RM2,000 akan menerima RM600 dan bujang RM400.

Manakala isi rumah berpendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000 pula menerima RM350 dan RM3,001 hingga RM4,000 pula menerima RM100.

Bagi permohonan baharu BSH yang layak tetapi belum menerima bayaran Fasa 1 dan 2, bayaran berkenaan akan dibuat secara sekaligus dalam pembayaran Fasa 3 mengikut nilai kelayakan kategori BSH 2020.

Kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak berumur 18 tahun ke bawah.

Secara ringkasnya, sebagai contoh sekiranya Encik Ali berpendapatan di bawah RM2,000 dan mempunyai 4 orang anak yang layak, beliau akan menerima RM1,580 merangkumi pembayaran sebanyak RM300 pada Fasa Pertama (Januari 2020), RM200 pada Fasa Kedua (Mac 2020) dan RM1,080 pada Fasa Ketiga (Julai 2020).

Bayaran BSH ini adalah lebih bersasar kerana turut mengambil kira bilangan anak yang layak dalam setiap keluarga.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing yang telah didaftarkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran boleh dituntut secara tunai di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020.

Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 7 Ogos 2020 hingga 6 September 2020.

Kementerian Kewangan berkata, dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM.

Permohonan Rayuan BSH 2020 boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my atau pemohon boleh hadir di mana-mana Cawangan LHDNM/ Pusat Khidmat Hasil (PKH) / Pusat Transformasi Bandar (Urban Transformation Centre – UTC). – MalaysiaGazette

Sabtu, 18 Julai 2020

Putrajaya digesa naik elaun rumah polis, ringan beban anggota pangkat rendah

Abdul Hamid Bador meminta kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana ada
anggotanya yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi, khasnya
yang tinggal di bandar besar dan elaun ketika ini tidak mencukupi.

KUALA LUMPUR: Polis meminta kerajaan menaikkan elaun perumahan anggotanya untuk meringankan beban mereka susulan kenaikan kos sara hidup.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, keutamaan harus diberikan kepada anggota berpangkat rendah kerana mereka dilihat lebih banyak berdepan kesukaran.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini kerana terdapat anggotanya yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi, terutamanya mereka yang tinggal di bandar besar dan elaun ketika ini tidak mencukupi.

“Saya selalu memperjuangkan elaun rumah untuk anggota. Saya bukan mahu kenaikan gaji, tetapi elaun rumah, terutama bagi anggota polis berpangkat rendah.

“Kalau mereka bergaji RM1,500 manakala rumah sewanya dibayar sebanyak RM600 dengan elaun yang hanya dapat RM260, jadi ia perlu ditambah lebih RM300 lagi,” katanya di Bukit Aman hari ini.

Katanya, isu kenaikan elaun perumahan diperjuangkannya sejak Dr Mahathir Mohamad dilantik semula menjadi perdana menteri pada 2018.

Disebabkan pemberian elaun perumahan yang rendah, beliau sering mempertahan dan melarang penjualan tanah milik polis kepada syarikat swasta yang ingin mengambil kesempatan atas alasan mahu membangunkan kawasan tersebut.

Beliau berkata, tanah milik polis harus dibangunkan pasukan keselamatan itu sendiri, bukannya pihak lain.

“Katakanlah 10 tahun akan datang, kita ada 30,000 warga polis di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi, sebanyak 30,000 rumah boleh dibina untuk menempatkan mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka ini ada rumah dan tidak perlu elaun bulanan RM360. Saya akan perjuangkan isu ini demi menjaga kebajikan anak buah saya,” katanya.

Isnin, 29 Jun 2020

Sultan Johor tanggung baik pulih HSA

Shawaliah Hadir
sultan-johor-681x454
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terbakar pada petang semalam.

Baginda memaklumkan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan bermula dengan segera, yang mana kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.

“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titah baginda.

Menurut baginda, rakyat adalah keutamaan dan Yayasan Sultan Ibrahim Johor juga berfungsi membantu masyarakat dalam pelbagai cara.

Pada 2.50 petang semalam, Wad Perubatan Perempuan 1, HSA yang menempatkan 24 orang pesakit terbakar.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan berlaku.

Kejadian semalam merupakan yang kedua kali apabila Wad Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan pernah terbakar pada Oktober 2016 dan mengorbankan enam pesakit.-MalaysiaGazette

Ahad, 21 Jun 2020

Bomba maut ketika bertugas terima sumbangan berjumlah RM215,839

SEORANG Pegawai Bomba, Baharudin Sapuan yang maut akibat kemalangan ketika menunggang uji motosikal berkuasa tinggi milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sumbangan berjumlah RM215,839.

JBPM Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, semua sumbangan itu diserahkan kepada balu arwah, Zetay Akhtar Muhamad, 40 tahun.

“Arwah Baharudin Sapuan menerima sumbangan Koperasi Pekerja Bomba berjumlah RM87,000, Persatuan Kebajikan Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia (RM3,000) dan Persatuan Sukan, Kebajikan dan Kebudayaan Bomba KL (RM1,000).

“Sumbangan turut diberikan oleh Persatuan Khairat Kematian Dan Kebajikan Am Islam (RM1,000), Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Bomba Semenanjung (RM52,000), Insuran Kelompok Takaful (RM49,000), Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (RM22,189.50), KMSB Solution (RM2,000) dan MILDEF International Technologies sebanyak RM1,200,” katanya.

Menurutnya, semua sumbangan itu adalah manfaat kebajikan yang telah disertai arwah sepanjang perkhidmatannya sejak 15 Februari dan manfaat kebajikan diberikan Kerajaan.

Jelasnya, arwah telah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Nur Aqilah Maisarah, 14; Nur Afza Darwisyah, 10; Nur Wadhiah Husna, 8 dan Nur Syifaa Munawwarah, 5 tahun.

Arwah Baharudin yang juga seorang anggota unit ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur terbunuh selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika berkonvoi di Kilometer 203.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), dekat Alor Gajah pada 7 Jun lalu.

Baharudin Sapuan, 44, meninggal dunia selepas dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas dan terseret pada penghadang jalan sejauh kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret 100 meter.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa menunggang motosikal Kawasaki Versys 650 ABS bersama-sama enam anggota unit berkenaan dari Kuala Lumpur ke Kluang, Johor.

“Siasatan mendapati mangsa dan enam penunggang motosikal unit berkenaan dalam sesi latihan ujian kemahiran motosikal dan memulakan perjalanan pada 8 pagi.

“Mangsa menunggang di bahagian tengah konvoi, tetapi setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum terseret dan tercampak ke tepi lebuh raya,” katanya. -SM

Jumaat, 19 Jun 2020

MAPIM akan bina Perkampungan Ummah untuk golongan asnaf

MAPIM akan bina Perkampungan Ummah untuk golongan asnaf
Negeri Kedah bakal menjadi destinasi pertama pembinaan Perkampungan Ummah.

SIK: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan membina kediaman yang lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi golongan asnaf di negara ini.

Dijangkakan kediaman yang dinamakan Perkampungan Ummah akan bermula Ogos ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, negeri Kedah bakal menjadi destinasi pertama pembinaan Perkampungan Ummah.

Katanya, beberapa daerah telah dikenal pasti dan dalam rundingan bersama kerajaan negeri untuk dijadikan ‘City Center’ dimana golongan asnaf yang terpilih bukan sahaja bakal menduduki rumah baharu dan selesa malah mereka turut diberikan bimbingan untuk berniaga.

Beliau berkata, golongan asnaf ini akan tiggal di Perkampungan Ummah ini dalam tempoh tiga tahun dan diberikan latihan keusahawanan sehinggalah mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

Jelas Dr Ahmad Sani, untuk peringkat permulaan, pihaknya akan membina 50 buah rumah selain dilengkapi sekolah, masjid, klinik bergerak dan taman permainan kanak-kanak.
Kos keseluruhan projek pembinaan dianggarkan RM10 juta.

"Ini melibatkan 15 ekar tanah dan melibatkan 50 buah rumah yang akan dijadikan sebagai pusat transformasi, daripada asnaf kita bimbing mereka sehinggalah mereka dapat keluar menjadi sebagai pembayar zakat.

"MAPIM jangkakan dalam sedikit masa lagi kemungkinan Insya-Allah dalam bulan Ogos nanti kita akan mulakan pembinaan Perkampungan Ummah ini," kata beliau.

Dr Ahmad Sani sebelum itu mengadakan lawatan meninjau kerja-kerja baik pulih rumah golongan asnaf di sini pada Khamis

Sebelum ini, MAPIM, kata Dr Ahmad Sani telah membina Perkampungan Ummah di Idlib, Syria.

Sebanyak 100 buah rumah itu dilengkapi kemudahan seperti masjid, sekolah dan klinik telah dibina di perkampungan itu yang menempatkan pelarian Syria.


 

Sabtu, 13 Jun 2020

LHDN: Rayuan geran khas Prihatin untuk PKS boleh dibuat sebelum 15 Jun

Geran khas Prihatin merupakan peruntukan khas sebanyak RM2.1 bilion untuk
perusahaan kecil dan sederhana mikro secara ‘one-off’ berjumlah RM3,000 untuk
memulakan semula perniagaan.

PUTRAJAYA: Pemohon geran khas Prihatin (GKP) yang tidak diluluskan boleh membuat permohonan rayuan sebelum atau pada 15 Jun melalui portal GKP di https://gkp.hasil.gov.my.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, permohonan rayuan akan diberikan pertimbangan sewajarnya dan keputusan rayuan akan dimaklumkan mulai 22 Jun.

“Bagi permohonan rayuan yang diluluskan, pembayaran GKP dijangka akan dibuat mulai 29 Jun,”katanya.

GKP merupakan peruntukan khas sebanyak RM2.1 bilion yang disediakan kerajaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bagi memberi bantuan kewangan secara ‘one-off’ berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro memulakan semula perniagaan.

Sabtu, 23 Mei 2020

Kutipan masjid berkurang hingga 95% ketika jemaah diarah solat di rumah

Masjid seluruh negara diarah tutup ketika Ramadan ketika PKPB.

PETALING JAYA: Bagi kebanyakan umat Islam, Ramadan dan Aidilfitri begitu sinonim dengan masjid dan surau yang penuh sesak.

Bagi mereka, berkumpul di surau bukan sahaja untuk beribadat tetapi juga perhimpunan sosial, terutama bagi warga tua.

Namun kali Ramadan ini, jemaah terpaksa mengamati bulan puasa secara berbeza dengan bersolat di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi menangani pandemik Covid-19.

Bagi surau kecil, ia bermakna pemotongan yang besar dalam kutipan mereka apabila terpaksa menggunakan dana yang ada untuk aktiviti, penyelenggaraan, gaji untuk kakitangan dan kebajikan.

Pengerusi Jawatankuasa Surau Hidayah di Shah Alam, Nasir Khan Akbar Khan, memberitahu FMT mereka biasanya mengutip hingga RM100,0000 setiap bulan Ramadan.

Bagaimanapun, sejak rumah ibadat terpaksa ditutup, mereka hanya menerima 5% daripada jumlah tersebut.

Katanya, tahun-tahun sebelum ini, sumbangan surau biasanya lebih banyak lagi pada waktu begini.

“Mereka tahu apabila mereka menyumbang pada bulan Ramadan, pahala mereka berlipat kali ganda,” katanya.

Pentadbir surau terpaksa berkongsi butiran perbankan atas talian mereka dalam kumpulan WhatsApp untuk memberi jalan kepada jemaah tetap memberi sumbangan mereka.

“Hanya orang tertentu memberikan sumbangan dengan cara ini,” kata Nasir.

Umat Islam biasanya menikmati moreh selepas solat tarawih, pemandangan biasa di masjid dan surau semasa Ramadan.

Beliau menambah ramai jemaah tetap dalam keadaan suram sejak dilarang mengunjungi surau mereka.

“Ia menyedihkan, terutamanya jika mereka kerap solat di surau dan tiba-tiba mereka tidak dapat berbuat demikian lagi.

“Tiada yang berani datang. Satu perkara mengenai jemaah kita ialah mereka benar-benar tidak melanggar undang-undang, mereka mengikuti arahan,” katanya, sambil menambah memandangkan jemaah tetap biasanya berumur lebih 60 tahun, mereka memahami mereka lebih berisiko untuk dijangkiti Covid-19.

Akibat kekurangan pendapatan, jawatankuasa kini tidak dapat menyumbang kepada badan amal mereka – biasanya sekolah anak yatim.

“Sayangnya, akibat PKP, anak-anak yatim tidak dapat datang ke surau kami. Sekiranya kita ingin memberikan sumbangan menerusi perbankan atas talian, mereka sukar dijangkau dan ia sukar untuk berkomunikasi dengan mereka. Jadi tahun ini, kita tidak dapat memberikan wang.”

Wahilman Siwar, pengerusi Surau al Munawwarah, berkata kutipan bulan Ramadan menurun sebanyak 70% berbanding tahun lalu.

Beliau berkata tahun-tahun sebelum ini, kutipan dapat mencapai RM7,000 seminggu sepanjang Ramadhan.

“Kami harap para jemaah akan membuat sumbangan melalui perbankan atas talian. Ada sesetengah yang buat, tetapi tidak ramai,” katanya.

“Kami menggunakan dana tersebut untuk membayar guru agama yang mengajar kelas kami,” tambahnya. “Juga untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan penyaman udara.

“Kami mempunyai dana tambahan yang kami bawa dari kutipan tahun lalu, jadi kami masih dapat mengekalkan pembayaran untuk pengurusan dan utiliti. Sebenarnya bil utiliti berkurangan kerana kami kurang menggunakan air dan elektrik. ”

Beliau berkata jemaah mempersoalkan penutupan surau, terutama ketika tempat awam lain dibenarkan untuk beroperasi.

“Pada pendapat saya, ia harus bergantung pada saiz ruang solat. Sekiranya besar maka mungkin ada kapasiti yang cukup besar untuk jarak sosial. Kami boleh sesuaikan ikut ruang.”

Sabtu, 16 Mei 2020

Bantuan khas hari raya peneroka FELDA, FELCRA dan pekebun kecil

Wartawan MalaysiaGazette
MGP27122017_GETAH-5PAGI0011
Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri 2020 bernilai RM300 seorang kepada peneroka FELDA, FELCRA dan pekebun kecil.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri 2020 bernilai RM300 seorang kepada peneroka FELDA, FELCRA dan pekebun kecil.

Pekebun kecil terbabit ialah mereka yang bernaung di bawah FELDA, RISDA dan FELCRA dalam kategori B40 di seluruh negara.

Kenyataan Pejabat Perdana hari ini berkata, bantuan khas melibatkan peruntukan RM148 juta itu akan memberi manfaat kepada 113,000 peneroka FELDA, 90,000 pengusaha FELCRA dan 292,000 pekebun kecil RISDA iaitu pekebun yang mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi 2.5 hektar.

“Penyaluran Bantuan Khas Hari Raya Aidilfitri 2020 itu akan bermula 18 Mei ini dan kerajaan berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban agensi terbabit terutamanya dalam persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba,” kata kenyataan yang sama.

Kerajaan mengambil maklum kedudukan harga pasaran global komoditi seperti kelapa sawit dan getah yang kian merosot disebabkan penulan wabak Covid-19 yang juga memberi kesan pendapatan kepada hampir 500,000 peneroka, peserta dan pekebun kecil bernaung di bawah FELDA, RISDA dan FELCRA seluruh negara.- MalaysiaGazette


Selasa, 12 Mei 2020

BPN: Bukan semua rayuan boleh diluluskan

Wartawan MalaysiaGazette
MGF01052020_MENTERI-KEWANGAN-RASMI-GKP08
Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan tidak berjanji semua rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh diluluskan tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah dengan bukti dokumen yang berkaitan boleh diluluskan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian itu menerima pandangan yang mana terdapat kemungkinan bahawa mereka yang benar-benar layak telah tercicir daripada menerima BPN.

Contohnya, ada yang kehilangan pekerjaan pada tahun ini disebabkan Covid-19 dan status terkini tidak dirakam di dalam pangkalan data.

Ada yang data pasangan belum dikemaskini, malah ada juga yang berdaftar dengan SSM atau merupakan pengarah syarikat tetapi syarikat berstatus tidak aktif, tiada pendapatan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, kementerian membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh rayuan BPN sehingga 31 Mei ini.

Pemohon yang tidak lulus boleh menghantar emel beserta dokumen berkenaan kepada rayuanbpn@hasil.gov.my  ataupun pergi ke mana-mana kaunter LHDN seluruh negara.

”Kami tidak janji semua rayuan boleh diluluskan, tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, dengan bukti dokumen yang berkaitan, Insya-Allah boleh diluluskan,” katanya ketika membentangkan laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, antara 4 hingga 10 Mei, bayaran Fasa Kedua telah bermula melibatkan 5.79 juta penerima dengan jumlah RM2.63 bilion dan bayaran akan diteruskan pada minggu ini.WhatsApp-Image-2020-05-12-at-14

Bagi mereka yang tiada akaun bank atau berstatus Gagal Kredit, penerimaan bayaran secara tunai akan boleh dibuat daripada BSN mulai 14 Mei, melibatkan 800,000 penerima dengan peruntukan RM300 juta.

Artikel berkaitan: Netizen kecewa rayuan BPN ditolak gara-gara SSM

Daripada 8.3 juta penerima yang telah diluluskan, pencapaian pembayaran Fasa Pertama adalah pada kadar 96% manakala Fasa Kedua yang sedang berjalan ini di tahap 49%.

”Saya telah mengingatkan pegawai kementerian agar memastikan pembayaran disampaikan dengan secepat mungkin dan bayaran dijangka disempurnakan menjelang hujung minggu ini,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, sehingga 10 Mei, seramai 10.6 juta rakyat Malaysia merupakan penerima BPN dengan peruntukan sebanyak RM11 bilion iaitu tambahan RM1 billion daripada peruntukan asal RM10 bilion, komitmen kerajaan untuk membantu rakyat memang tidak berbelah bahagi. – MalaysiaGazette



Ahad, 10 Mei 2020

Zahid saran BPN diperluas pada peniaga kecil bawah SSM

MALAYSIAKINI
 
Malaysiakini
 
 
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kerajaan supaya memperluaskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) merangkumi peniaga kecil yang mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Zahid berkata, beliau khuatir jika individu yang pernah mendaftar perniagaan sebelum ini sudah tidak lagi aktif berniaga dan akhirnya tercicir daripada menerima bantuan kerajaan itu.

"Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang satu ketika dulu pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini mereka sudah tidak lagi aktif berniaga.

"Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja ataupun bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa.

"Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod mereka yang mendaftar perniagaan dengan SSM secara automatik tidak layak untuk mendapat BPN.

Sebaliknya mereka perlu memohon Geran Khas Prihatin (GKP). Bantuan yang diberikan melalui GKP ini adalah berjumlah RM3,000.

Namun, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk seseorang itu memohon GKP antaranya adalah jumlah jualan atau perolehan tahunan perniagaan kurang daripada RM300,000 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.

Pada 27 Mac lalu, ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (Prihatin), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan BPN.

Melalui BPN kerajaan menyalurkan bantuan dalam bentuk one off atau sekali bayar kepada kumpulan B40 dan M40.

Semalam, sebanyak 2.3 juta lagi permohonan baru dan rayuan BPN telah diluluskan, melibatkan jumlah sebanyak RM1.7 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata kelulusan itu dibuat selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) selesai membuat semakan ke atas permohonan baru dan rayuan ini.

Dalam pada itu, Zahid berkata alasan yang digunakan sebelum ini sekiranya seseorang itu mempunyai syarikat yang berdaftar dgn SSM, secara automatik tidak layak untuk mendapat bantuan tunai BSH, BPN dan sebagainya tidak tepat.

Ini kerana katanya, di negara ini terdapat ramai individu berniaga pada skala kecil, ramai juga yang mengambil gaji bulanan sedikit saja dari syarikat mereka dan keuntungan syarikat yang diaudit dilaporkan ke LHDN juga menunjukkan keuntungan yang sangat.

"Saya berpandangan, sekiranya jumlah pendapatan tahunan mereka layak sebagai penerima bantuan (dari dividen syarikat dan gaji bulanan yang diambil), maka kerajaan seharusnya tetap memberi bantuan tunai kepada mereka menerusi BPN.

"Sekiranya ini dilaksanakan, pada hemat saya, secara tak lansung kerajaan dapat galakkan rakyat untuk melaporkan pendapatan secara telus dan jujur pada masa akan datang.

"Justeru, saranan saya adalah kerajaan perlu memperluaskan bantuan BPN kepada golongan ini agar tujuan pakej rangsangan ekonomi yang dirangka kerajaan mencapai objektifnya," kata Zahid lagi.


Sabtu, 9 Mei 2020

BPN: Sebanyak 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan diluluskan

BPN: Sebanyak 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan diluluskan
Semakan status permohonan baharu dan rayuan boleh dibuat mulai 9 Mei 2020. - Foto Astro AWANI
 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.3 juta permohonan baharu dan rayuan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diluluskan melibatkan jumlah RM1.7 bilion.

Kelulusan dibuat selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) selesai membuat semakan ke atas permohonan baharu dan rayuan ini.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pembayaran BPN bagi yang layak akan dibuat secara sekaligus mulai 15 Mei.

“Dengan kelulusan permohonan baharu dan rayuan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini adalah sebanyak 10.6 juta, merangkumi jumlah bayaran bernilai RM11 bilion (iaitu tambahan RM1 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BPN merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN Rakyat bernilai RM260-bilion. Kementerian Kewangan membuka permohonan baharu dan rayuan antara tempoh 1 - 30 April, 2020.

Semakan status permohonan baharu dan rayuan boleh dibuat mulai hari ini melalui pautan https://bpn.hasil.gov.my/.

Rabu, 29 April 2020

Zahid nafi dakwaan dana AS$50 juta bantu Rohingya masuk akaun peribadi

MALAYSIAKINI

Malaysiakini


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan menerima dana berjumlah AS$50 juta daripada Qatar Development Fund yang bertujuan untuk membantu pelarian Rohingya di Malaysia dan dimasukkan ke akaun peribadi.

"Ada beberapa perkongsian di Facebook menuduh saya telah menerima dana dari Qatar Development Fund dan dimasukkan ke akaun persendirian.

"Tuduhan ini jelas fitnah dan bertujuan mengaibkan saya," katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa lalu mengusahakan dana bagi membantu pelarian Rohingya di Malaysia.

"Qatar berbesar hati memberi penajaan terhadap isu Malaysia ketika itu.

"Namun kerajaan ketika itu tidak menerima apa dana atau bantuan bagi membantu Rohingya. Sehinggalah tampuk di Putrajaya berubah," katanya.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata "dana sebanyak AS$50 juta diterima ketika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya."

MP Bagan Datoh itu turut berkongsi pautan Facebook bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyokong kenyataannya.

Pada hantaran bertarikh 25 November 2018, Dr Wan Azizah menulis: "Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau atas sumbangan AS$50 juta Kerajaan Qatar untuk program bantuan pelarian Rohingya.

"Zahid menggesa PH memberikan penjelasan terperinci mengenai dakwaan dana dari Qatar ini.

"Malah Duta Qatar Essa Mohamed juga menyatakan kerajaan Qatar telah mengikrarkan AS$50 juta (RM198.9 juta) bagi membantu masyarakat Rohingya di Malaysia.

"Kenyataan ini dikukuhkan dengan kedatangan Pengerusi Yayasan Qatar bagi Pembangunan Pendidikan, Sains dan Komuniti (QF) dan Pendidikan Yang Penting (EAA), YAM Sheikha Moza Nasser ke Malaysia dan lawatan ke pusat pembelajaran anak pelarian," dakwanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Dr Wan Azizah bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.

LIHAT FB DI SINI

Bayaran fasa kedua BPN pada 4 Mei ini

Wartawan MalaysiaGazette
MGF16102019_Persidangan-Hari-Membasmi-Kemiskinan-Antarabangsa_10
Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Pembayaran fasa kedua kepada semua penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibuat mulai 4 Mei ini.

Pembayaran ini membabitkan golongan B40 dan M40, sama ada isi rumah atau individu bujang, akan dibuat mulai 4 Mei 2020, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Menurutnya, sebanyak 7.74 juta penerima telah menerima bayaran BPN berjumlah RM5.47 bilion.
Proses bayaran tunai bagi mereka yang tiada akaun bank telah bermula sejak 17 April 2020 dan berjalan lancar dengan lebih 157,000 menerima bayaran secara tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara.

Tengku Zafrul menambah, sehingga 26 April, lebih 3.26 juta permohonan baharu dan juga rayuan telah diterima.

Daripada jumlah ini, sebanyak 2.96 juta merupakan permohonan baharu dan 305,000 adalah rayuan.
Proses ini akan tutup pada hari Khamis ini, 30 April manakala pembayaran pula akan dibuat pada minggu depan selepas proses semakan selesai.

Manakala Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 untuk 2.5 juta penjawat awam dan pesara, termasuk veteran angkatan tentera tidak berpencen telah dibuat pada 23 April lalu dan bantuan kepada 1.5 juta pelajar Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM200 sekali beri telah dibuat semalam. – MalaysiaGazette

Isnin, 27 April 2020

PBSM daerah Klang gigih hulurkan bantuan

 
Malaysiakini
 
 
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat, tidak mematahkan semangat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) daerah Klang untuk terus memberi perkhidmatan terbaik dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Tinjauan Malaysiakini ke bilik gerakan PBSM daerah Klang semalam mendapati mereka menyediakan hampir semua jenis bantuan keperluan asas kepada penduduk di sekitar Klang dan Lembah Klang.

Ditubuhkan pada tahun 1956, ibu pejabat PBSM Klang terletak bersebelahan bangunan siasatan jenayah narkotik, ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.

Sebaik sahaja menjejak kaki di pekarangan bilik gerakan berkenaan, pelawat diminta melalui alat penyembur pembasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kami menjadikan ibu pejabat kami, sebagai bilik gerakan Covid-19 sejak 27 Mac untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Buat masa ini kami mempunyai lebih 100 anggota PBSM dan sukarelawan di sini untuk membantu kami," kata pengerusinya Song Kee Chai.


Berkongsi pengalaman PBSM dalam menangani krisis Covid-19, Song berkata sehingga kini mereka telah menyediakan bantuan makanan dapur kepada lebih 7,000 keluarga.

"Kami menerima sumbangan daripada Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia (MIMTA), ahli-ahli dermawan dan juga dari rumah-rumah ibadat.
"Kami menolak sebarang sumbangan kewangan. Kami hanya terima sumbangan dari segi barangan dan sebagainya. Kemudian, kami agihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan Klang dan Lembah Klang.

"Badan (PBSM) ini tidak bermotifkan politik dan tidak melihat latar belakang seseorang dalam memberi bantuan. Ini adalah misi kemanusiaan.

"Kami akan terus memberi yang terbaik," katanya yang mengalu-alukan sebarang bantuan barangan keperluan dan tenaga kerja di bilik gerakan PBSM Klang.

Tambahnya, selain bantuan barangan dapur kepada 7,000 keluarga, mereka juga memberi bantuan makanan seperti ikan dan sayur-sayuran kepada lebih 3,200 keluarga.

Sediakan makanan untuk barisan hadapan

Selain itu, Naib Pengerusinya A Saravanan Joe berkata pertubuhan itu juga menyediakan makanan kepada barisan hadapan dan rakyat miskin.

"Daripada sumbangan yang diterima, kami mempunyai sukarelawan untuk memasak untuk 500 anggota barisan hadapan dan rakyat miskin.

"Kami masak di belakang bilik gerakan. Tiap-tiap hari, kami menyediakan makanan kepada 200 anggota barisan hadapan, 200 rakyat miskin di sekitar Klang dan 150 masakan khas bagi yang berbuka puasa.
"Kami juga memberikan bantuan makanan kepada 1,000 orang sebanyak tiga seminggu di Kapar," katanya.

Beliau menambah pertubuhan itu mempunyai 35 ahli yang bertindak sebagai barisan hadapan di tiga buah klinik.

"Kita mempunyai 35 anggota pertubuhan di barisan hadapan di tiga buah klinik masing-masing di Klinik Pandamaran, Bukit Kuda dan Bandar Botanik.

"Mereka berkerja dalam tiga syif denagn membuat ujian periksa suhu badan, pemerikasaan kesihatan jika terdapat simptom dan sebagainya. Sekiranya ada simptom, individu tersebut diasingkan di kawasan tertentu sebelum dirujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut," katanya.

Nyah kuman bangunan kerajaan

Selain itu, PBSM Klang juga menyediakan perkhidmatan semburan nyah kuman di bangunan-bangunan awam.

"Penjara Shah Alam dan beberapa bangunan sekitar Klang adalah antara kawasan dinyah kuman oleh pertubuhan kami.

"Kami ke sana (bangunan kerajaan) untuk membantu mereka dinyah kuman. Ini adalah untuk memastikan wabak ini tidak menular," kata M Somasuntharam.

Tambahnya, selain memberi bantuan, pertubuhan itu juga bertindak memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai ancaman wabak Covid-19 ini.
"Semasa mengedar bantuan makanan, kami bertanya beberapa soalan seperti tahap kesihatan ahli keluarga.

"Matlamat kami adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebersihan diri dan sekeliling," katanya.

Dalam pada itu, S Thinesvaran, pengerusi Biro Bencana dan Reaksi Kecemasan PBSM Klang berkata misi pihaknya kini adalah memberi bantuan kepada lebih 250 keluarga yang terjejas akibat banjr.
"Sejak tiga hari hujan lebat di kawasan Klang memperlihatkan banyak tempat dinaiki banjir.

"Jadi, kami mengarahkan sukarelawan kami untuk bantu mereka. Setakat ini kami beri bantuan makanan termasuk barangan dapur kepada lebih 20 keluarga di sekitar kawasan Meru," katanya.

Ahad, 26 April 2020

Ustaz Ebit Lew kembali menyumbang

Raja Noraina Raja Rahim
 
EBIT bertemu keluarga yang memerlukan bantuan di Baling. FOTO FB Ebit Lew
 
 

MESKIPUN berdepan pelbagai kecaman sejak beberapa hari lalu, namun ia tidak mematahkan semangat pendakwah bebas Ebit Lew untuk terus menyumbang khidmat baktinya kepada golongan memerlukan.

Ini dibuktikan menerusi entri terbaharu di akaun Facebook miliknya, semalam, yang mana beliau kembali meneruskan aktiviti kebajikannya.

Jumaat lalu, beliau membuat keputusan untuk tidak membantu secara langsung golongan kurang berkemampuan selepas dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berikutan reaksi orang ramai terhadap tindakannya memaparkan aktiviti kebajikan yang dilakukannya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, Ebit yang terkenal dengan sikap pemurahnya membantu orang susah dan golongan memerlukan mendakwa tidak dapat tidur apabila mengetahui terdapat satu keluarga yang memerlukan bantuan menyebabkan beliau 'turun padang'.

"Menangis lagi di Baling, Kedah. Dah dua hari tak tidur apabila dapat berita tentang suami isteri dan empat anak masih kecil dah setahun tinggal di sini.

"Sedihnya. Selepas sahur terus ke sini. Jauh dari orang dan dalam kebun getah. Tak lepas kereta saya kena jalan kaki.

"Banyak nyamuk. Tandas tiada air, air hujan jer (saja). Setahun macam manalah anak baik tinggal di sini. Ya Allah maafkanlah saya. Ampunkan dosa diri saya," katanya.

Dalam hantaran sama, pendakwah itu memaklumkan keluarga terbabit sudah mendapat perhatian ketua masyarakat di kawasan berkenaan untuk membantu mereka mendapatkan rumah, tetapi ia perlu dilakukan selepas PKP.

Ebit melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan dan pihak lain yang banyak membantu keluarga itu termasuk memberikan bantuan makanan.

Bagaimanapun beliau yang sedih melihat kedaifan enam beranak terbabit tetap mahu membantu mencarikan rumah sewa sementara keluarga itu mendapat rumah daripada pihak kerajaan.

"Sehari adik (keluarga itu) di sini buat saya tak boleh tidur. Sedih sangat dan rasa bersalah.

"Bagi saya sehari mereka di sini adalah dosa buat saya yang tidur lena, makan sedap. Rumah saya besar dan kenderaan macam-macam (tetapi) anak kecil ini penuh nyamuk. Mereka anak yang baik, senyum bahagia, anak yang baik sangat, comel, cemerlang pelajaran dan sukan," katanya.

Menurutnya, beliau akan mencari rumah dan akan menanggung bayaran sewa selama mana mereka tinggal di rumah berkenaan.

Beliau meminta orang ramai mendoakan usaha mencari rumah sewa sementara kepada keluarga itu dipermudahkan.

Khamis, 23 April 2020

Hentikan sangkaan negatif terhadap Ustaz Ebit

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF16012019_ZAHIDA-KOMUNITI-ORANG-ASLI08-1
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Pihak tertentu diminta supaya menghentikan sangkaan negatif terhadap pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang prihatin untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Zahida Zarik Khan berkata, kerja amal yang dilakukan oleh Ebit amatlah dialu-alukan kerana tidak mungkin satu pihak mampu melakukan semua perkara.

Kataya, setiap bantuan besar mahu pun kecil sekurang-kurangnya dapat memberi keceriaan kepada mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksana ketika ini.

“Malangnya saya terbaca ada juga segelintir pihak kurang senang dengan kebaikan yang dilakukan.
Apa jua alasan, kita seeloknya tidak ada sifat negatif hingga ada rasa siapa lebih baik atau siapa lebih layak menghulurkan bantuan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas tindakan sesetengah netizen yang mempertikaikan usaha Ebit yang menyampaikan sumbangan sampai ke Kedah sehingga menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

Zahida seterusnya memberitahu, semua pihak sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada siapa sahaja yang datang untuk membantu insan memerlukan.

Jangan jadikan ia sebagai isu politik hingga ada tindakan kecam-mengecam sesama kita, ujarnya.
Tambah beliau, kesan daripada kerja amal itu telah menggerakkan hati lebih ramai rakyat Malaysia yang berkemampuan untuk turut sama menyumbang.

“Saya percaya Ustaz Ebit Liew berniat baik dan bertujuan menunjukkan nilai-nilai murni ajaran Islam kepada semua yang melihat.

“Kami doakan Ustaz terus diberikan kesihatan yang baik, dilimpahi rezeki dan dirahmati Allah sentiasa,” katanya. – MalaysiaGazette