PLUS Berhad (PLUS) selaku pengusaha lebuh raya terbesar di Malaysia akan melaksanakan tujuh langkah tambahan bagi menangani peningkatan jumlah kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan sempena musim perayaan Hari Raya Aidil Fitri kali ini.
Bertujuan untuk mengekalkan keselesaan pengguna, PLUS akan menempatkan tandas mudah alih serta tangki-tangki air tambahan di kawasan Rehat & Rawat dan hentian sebelah lebuh raya.
Di samping itu, seramai 5000 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), anggota bomba dan kakitangan ambulans juga akan bersedia untuk membantu Polis Di Raja Malayasia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menguruskan kesesakan jalan raya yang mungkin berlaku.
Tidak cukup dengan itu, kakitangan ibu pejabat PLUS juga akan bertugas di plaza tol, kawasan Rehat & Rawat, serta hentian sebelah untuk menguruskan sebarang aduan pengguna.
Selain daripada tambahan 70 buah mesin kios layan diri tambah nilai Touch 'n' Go di lokasi terpilih yang sudah diumumkan sebelum ini, PLUS juga akan membuka lorong-lorong tambahan bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Malah, pengguna akan turut menikmati kemudahan pembaca kad Touch 'n' Go mudah alih tambahan yang akan melancarkan aliran trafik di plaza-plaza tol.
Kren dan trak tunda tambahan turut ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi menguruskan sebarang kejadian tidak diingini yang berpotensi mengganggu aliran trafik dan keselesaan pelanggan lebuh raya PLUS.
Semua langkah ini dilaksanakan bagi membantu 2.2 juta kenderaan yang dijangka berada di lebuh raya PLUS menjelang dua hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri iaitu pada 13 dan 14 Jun, seperti diumumkan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail sebelum ini.
Kebanjiran kenderaan ini diunjurkan berlaku susulan pemberian diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus yang diumumkan kerajaan pada 30 Mei.
Pengguna-pengguna disarankan untuk memastikan baki kad tambah nilai adalah mencukupi dan muat turun aplikasi PLUS Mobile Apps untuk sebarang bantuan kecemasan di sepanjang lebuh raya PLUS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan