Memaparkan catatan dengan label PENGANGKUTAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PENGANGKUTAN. Papar semua catatan

Rabu, 2 September 2020

Lebuh raya bawah badan amanah idea buruk, Putrajaya diberitahu

Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan semua 
35 lebuh raya, termasuk 6 dalam pembinaan, bawah badan 
amanah.

PETALING JAYA: Dua pakar pengangkutan membantah cadangan meletakkan semua 35 lebuh raya tol bawah badan amanah yang akan ditetapkan kerajaan, mengatakan rancangan itu diragui akan meringankan beban rakyat.

Goh Bok Yen dan Rosli Azad Khan, kedua-duanya perunding perancangan pengangkutan, berkata ada cara yang lebih baik untuk membantu pengguna jalan raya menjimatkan duit.

Goh berkata, kerajaan perlu memperbaiki laluan alternatif dengan memperluaskannya atau membina jalan sambungan baru.

Katanya, elemen persaingan akan mendorong syarikat konsesi lebuh raya mengekalkan tol pada kadar rendah untuk mengekalkan lalu lintas.

Sementara itu, Rosli berkata, Putrajaya perlu berusaha menghapuskan semua tol daripada mengurangkan kadar tol dan melanjutkan tempoh konsesi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed baru-baru ini berkata kerajaan sedang meneliti cadangan tersebut dalam usaha untuk mengurangkan kadar tol. 35 lebuh raya itu termasuk 6 yang masih dalam pembinaan.

Goh memberitahu kadar tol masalah utama pengguna lebuh raya bandar, yang jumlahnya kurang daripada 1/3 daripada semua lebuh raya.

Beliau berkata meletakkan semua lebuh raya bawah badan amanah boleh menyebabkan masalah kelak dan apa yang dihasratkan sebagai penyelesaian kepada masalah bandar akhirnya boleh mencetuskan masalah lain.

Jelasnya, banyak lebuh raya mencapai tempoh akhir konsesi dan beberapa jalan yang jarang digunakan di akhir proses penerimaan. “Mengapa perlu letak bawah badan amanah?”

Katanya, tidak semua lebuh raya dimiliki oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Menyusun semula semuanya (lebuh raya) menjadi 1 entiti amanah dengan tempoh konsesi yang berbeza-beza akan menyebabkan banyak kesukaran dari segi penetapan harga dan penilaian.

“Ini akan menjadi suatu eksesais korporat besar-besaran yang, pada akhirnya, tidak akan masuk akal dari segi perniagaan. Dalam analisis terakhir, pengguna akan terus menderita dan masih perlu membayar tol,” katanya.

Rosli berkata Putrajaya perlu mengambil kira baki tempoh beberapa konsesi dan juga mempertimbangkan tawaran dari sektor swasta, terutamanya untuk lebuh raya yang kini dimiliki Khazanah dan KWSP dalam PLUS Expressways Bhd.

Langkah itu mungkin membebaskan Putrajaya daripada jaminan kerajaan bernilai “berbilion” ringgit.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan pengenalan kepada sebuah dana amanah dibuat yang akan membantu menampung kos operasi, penyelenggaraan, dan penambahbaikan lebuh raya.

“Perlu dinyatakan bahawa kerajaan sedang mengumpul sejumlah besar cukai jalan setiap tahun, lebih RM5 bilion tahun lepas,” katanya.

“Jumlah ini boleh disalurkan kepada dana amanah untuk operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetapi lebuh raya bawah dana amanah mesti bebas tol.”

AirAsia kenakan caj RM20, RM30 untuk daftar masuk di kaunter

Norlaile Abd Rahman
MGF14122018_AirAsia_06-681x452
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – AirAsia mengenakan caj daftar masuk melalui kaunter di beberapa lapangan terbang terpilih sebanyak RM20 seorang untuk penerbangan domestik dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataannya berkata, caj tersebut dikenakan di kaunter lapangan terbang Malaysia, Vietnam, Brunei, Kemboja, Laoes serta Taipei, Kaohsiung dan Honolulu.

Tiada bayaran dikenakan bagi penggunaan kiosk daftar masuk tanpa sentuhan dan aplikasi mudah alih atau laman web AirAsia.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata, caj itu adalah untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital yang mana syarikat penerbangan tersebut telah membelanjakan kos yang besar untuk meningkatkan kecekapan operasi serta kemudahan pengguna.

“Berikutan pandemik Covid-19, kemudahan daftar masuk sendiri ini menjadi amat penting bagi mengurangkan kontak fizikal antara para tetamu dan kakitangan kami.

“Dalam dua bulan lepas, beribu-ribu tetamu yang melakukan perjalanan penting telah menggunakan prosedur perjalanan tanpa sentuhan kami yang merupakan langkah keselamatan dan sekuriti tambahan untuk kesejahteraan dan keselamatan para tetamu dan kakitangan kami,” katanya.

Tambah Javed, respon yang diterima bagi penggunaan perkhidmatan daftar masuk sendiri adalah baik setakat ini.

“Kami juga merupakan salah satu syarikat penerbangan pertama yang membolehkan laporan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dipaparkan di laman web AirAsia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

“Para tetamu boleh memuat naik laporan PCR mereka atau dokumen perjalanan terpilih dan mendaftar masuk sebelum tiba di lapangan terbang untuk pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pengecualian caj daftar masuk melalui kaunter akan diberikan kepada tetamu kurang mobiliti, Premium Flex atau Premium Flatbed, tetamu yang terjejas oleh gangguan penerbangan atau gangguan kiosk di lapangan terbang serta beberapa pengecualian lain. – MalaysiaGazette

Ahad, 30 Ogos 2020

Pemandu kenderaan diberi masa perbaharui lesen sehingga 30 September

Wartawan MalaysiaGazette
Pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) 
dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) semasa tempoh Perintah 
Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan selepas 31 Ogos 
ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan selepas 31 Ogos ini.

Ini kerana, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua kaunter JPJ telah dibuka sepenuhnya seperti biasa, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

”Memandangkan pelanjutan PKP selepas 31 Ogos 2020 sebagaimana Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Ogos 2020, maka pengecualian ini akan ditamatkan melalui satu instrumen pembatalan yang khusus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Berikutan itu, orang ramai yang memiliki LMM dan LKM yang tamat tempoh masih diberi masa untuk memperbaharuinya dalam tempoh 30 hari iaitu sehingga 30 September ini.

Ka Siong berkata, pembatalan pengecualian itu selaras dengan kuasa Menteri di bawah seksyen 66(1)(x) dan 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengecualian) 2020.

Semasa pelaksanaan PKP, Kementerian Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan pengecualian pembaharuan LMM dan Lesen Kenderaan Motor LKM dalam tempoh PKP kepada orang ramai bertujuan supaya mengelakkan kesesakan orang ramai di kaunter-kaunter agensi-agensi berkaitan.

Orang ramai dibenarkan memandu dan menggunakan kenderaan masingmasing semasa PKP dilaksanakan walaupun LMM atau LKM mereka telah tamat tempoh, dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang sah dan masih berkuatkuasa.

Buat masa ini, pengecualian bagi pembaharuan LMM dan LKM masih berkuatkuasa selagi Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 masih dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette

Sabtu, 29 Ogos 2020

Putrajaya kaji cadangan tubuh badan amanah lebuh raya, turunkan kadar tol

Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan melihat semula 
terma perjanjian 7 daripada 35 tol yang dipersetujui kerajaan 
terdahulu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kertas cadangan untuk mengumpul semua 35 lebuh raya, termasuk 6 yang dalam proses pembinaan untuk diletakkan di bawah sebuah badan amanah lebuh raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, ia antara usaha kerajaan untuk menurunkan kadar tol, termasuk di lebuh raya PLUS.

“Terdapat cadangan sebagai contoh, oleh sebuah syarikat untuk menubuhkan amanah lebuh raya, meletakkan segalanya dalam amanah.

“Dengan berbuat demikian, kadar tol kemungkinan dapat diturunkan, tetapi buat masa sekarang, ia sedang dibincangkan kerana perkara ini sangat rumit dan kami perlu melalui butiran terperinci,” katanya dalam sebuah program yang disiarkan TV3 hari ini.

Antara lebuh raya utama di negara ini termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dimiliki UEM Group, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah, Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Pada masa sama, Mustapa berkata, kerajaan juga akan melihat semula terma perjanjian yang dipersetujui kerajaan terdahulu, membabitkan pengurangan kadar tol PLUS.

“Kajian itu kini dalam peringkat perbincangan dan dijangka siap 6 bulan lagi. Saya tidak mahu berjanji untuk mengurangkan kadar tol.

“Apa yang sedang dilaksanakan kami adalah melihat semula terma untuk memastikan perjanjian terbaik bagi semua pihak berkepentingan, ini babitkan 7 daripada 35 tol dan bagi yang lain, kita akan kaji juga.”

Antara pemegang kepentingan terbesar konsesi lebuh raya di negara ini ialah Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sementara itu, seorang penganalisis ekuiti berkata, langkah untuk meletakkan semua pemegang konsesi lebuh raya di bawah satu bumbung akan dapat menstabilkan harga tol bagi jangka panjang.

“Bagaimanapun, kita perlu akui apabila semuanya berpusat, keuntungan yang diperoleh pemegang konsesi lebih raya juga akan berkurangan. Penjualan saham tertentu mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi ia tidak akan lama kerana pemegang saham utama adalah pemain peranan utama.”

Mengenai impak cadangan itu kepada rakyat, beliau berkata, langkah itu dapat mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya, terutamanya mereka yang berulang-alik setiap hari.

“Pengguna lebuh raya mungkin dapat berjimat sedikit dalam jangka panjang, tetapi buat masa ini, kita perlu tunggu dan lihat berapa peratus penurunan yang mungkin dilaksanakan.”

Rabu, 26 Ogos 2020

Loke saran JPJ saman pemimpin tidak pakai topi keledar

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PARLIMEN l Bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke mahu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman kepada pemimpin yang menunggang motosikal tidak memakai topi keledar.

Menunjukkan bukti bergambar di Dewan Rakyat, Loke (PH-Seremban) berkata beberapa pemimpin BN telah dirakamkan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen pilihan raya kecil Slim.

Mereka termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan; Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican; Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, dan calon BN bagi kerusi Slim Mohd Zaidi Aziz.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) kemudian berkata bahawa dia juga ada gambar Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang menunggang tanpa topi keledar, dan ingin mengikut Loke dalam bertemu JPJ.

Dalam ucapannya, Loke berkata tidak ada masalah untuk menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi pemimpin perlu memakai topi keledar.

“Itu (berkempen sambil naik motor) tak apa, tapi pakai la topi keledar. Tunjukkan contoh yang baik.

“Sebagai mantan PM, boleh kempen, ambil motosikal tak ada masalah, pakai la topi keledar. Saya bimbang Pekan (Najib) jatuh nanti, kemalangan,” kata Loke.

Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) kemudian mencelah dan mempertahankan Najib, dengan berkata, ia hanya membabitkan perjalanan singkat ke masjid untuk solat Jumaat.

Loke berkata, menunggang motosikal tanpa topi keledar, termasuk di kampung, adalah jelas melanggar undang-undang yang ditetapkan oleh JPJ.

Oleh itu, katanya, ahli politik perlu memberikan contoh baik dengan memakai topi keledar.

Dia berkata, pihaknya akan menyerahkan gambar pemimpin BN yang tidak memakai topi keledar kepada JPJ agar mereka dapat mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya nak bagi tahu bahawa gambar-gambar ini saya akan hantar ke JPJ. Saya sarankan kepada JPJ hantar saman kepada orang orang ini. Jangan bagi muka, kita laksanakan undang-undang secara sama rata.

“Pihak JPJ jangan bimbang ada backup dari PM (Muhyiddin Yassin). PM keluarkan kenyataan semalam, (dia kata) tak ada pilih kasih, semua sama rata. Kalau menteri buat salah pun menteri kena, jadi tunjukkan kita ambil tindakan,” katanya.

Muhyiddin, semalam membuat kenyataan bahawa siasatan lengkap akan dibuat terhadap Menteri Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang melanggar kuarantin kendiri setelah kembali dari Turki bulan lalu.

Ucapan Loke mengenai pentingnya memakai topi keledar dibuat semasa membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan.

Antara pindaan utama adalah meningkatkan hukuman ke atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.

Semasa menyokong rang undang-undang itu, Loke berkata, bahawa memandu dalam keadaan mabuk hanya menyumbang sejumlah kecil kematian di jalan raya.

Sebaliknya katanya, 22,375 kematian akibat kemalangan jalan raya dari 2015 hingga Mei 2020 melibatkan penunggang motosikal.

Ini, katanya, adalah 64 peratus daripada 34,891 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tempoh tersebut.

"Hantar mesej kepada orang ramai, topi keledar penting untuk selamatkan nyawa," katanya.

Isnin, 3 Ogos 2020

Seksyen C ECRL masih dalam proses dimuktamad – Ka Siong

Wartawan MalaysiaGazette
MGF15072020_SIDANG-DEWAN-RAKYAT06-1-681x454
Dr. Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan laluan dan stesen bagi Seksyen C (jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses ini perlu dijalankan untuk kerajaan mengambil kira beberapa faktor seperti daya maju projek, kesalinghubungan rel dan implikasi kewangan sebelum kelulusan diberikan bagi jajaran ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanya adakah terdapat sebarang perubahan yang akan berlaku terhadap jajaran baru ECRL
seperti yang telah diumumkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

Projek ECRL membabitkan tiga bahagian.

Selain Seksyen C, ia turut terbahagi kepada Seksyen A (jajaran dari Kota Bharu – Dungun), Seksyen B (jajaran dari Dungun – Mentakab) dan Seksyen C (jajaran dari Mentakab – Pelabuhan Klang).

Sebelum ini Ka Siong memberitahu bahawa kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan perjanjian tambahan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjaya memberi penjimatan sebanyak RM21.5 bilion berbanding perjanjian asal tidak tepat.

Katanya, apabila ada pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.

Bagaimanapun, kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos lain di samping terpaksa menanggung kos pembinaan tambahan dan komplikasi pengoperasian pada masa depan.

Tegasnya, setelah disemak secara mendalam, kadar unit bagi kos pembinaan samada struktur jejambat, terowong yang digunakan oleh kontraktor projek ECRL tidak pernah berubah atau dikurangkan meskipun jajaran baharu telah dicadangkan oleh PH.

Jajaran semasa ECRL, yang menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, dijangkakan berharga RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion yang diperuntukan oleh Kerajaan BN.

Untuk rekod, Seksyen C yang dicadangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional membabitkan lapan stesen iaitu dari Mentakab ke Pahang melalui Permatang Kuarza Klang Gate dengan terowong di Genting Sempah.

Jajaran baharu yang dicadangkan oleh PH pula lebih rendah tetapi hanya mempunyai tujuh stesen dari Temerloh, Pahang, melalui Kuala Klawang dan Nilai di Negeri Sembilan serta berakhir di Pelabuhan Klang. – MalaysiaGazette

Hukuman berat menanti pemandu mabuk

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata isu pemandu mabuk adalah
perkara yang dipandang serius oleh kerajaan khsususnya kementerian.

PETALING JAYA: Hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap pemandu disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk apabila Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda bagi meningkatkan hukuman kepada pesalah yang mengingkari undang-undang jalan raya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, isu pemandu mabuk adalah perkara dipandang serius kerajaan khususnya kementerian, jika tidak dibendung dengan serius boleh membawa kesan buruk kepada pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Katanya, menurut kaji selidik dijalankan Kementerian Pengangkutan dari 21 Mei hingga 4 Jun lalu, seramai 97% daripada 345,000 responden bersetuju hukuman sedia ada bagi pemandu yang disabitkan kesalahan mabuk tidak memadai.

“Seramai 94% atau 324,409 responden juga mahu hukuman penjara atau denda ditingkatkan bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya mengenai kesan negatif membabitkan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

“Sebagai strategi utama mencegah peningkatan kes ini, Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta 333 akan dipinda bagi meningkatkan hukuman berkaitan kepada pesalah yang mengingkari undang-undang jalan raya termasuk pemandu mabuk.

“Bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) dilaksanakan pada sesi Parlimen 27 Julai 2020 manakala bacaan ke-2 dan ke-3 turut dijadual pada sesi Parlimen kali ini. Secara spesifik, pindaan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 adalah komitmen kerajaan untuk memastikan tindakan tegas terhadap pesalah yang memandu secara melulu termasuk merempit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Wee Ka Siong

Beliau menjawab soalan Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang ingin tahu bilakah Kementerian Pengangkutan akan membentangkan RUU berkaitan kes pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Selain itu, Hasan juga ingin tahu apakah kerajaan akan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah berkenaan dan bagaimana kerajaan hendak memastikan pemandu tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Ka Siong berkata, bidang kuasa kementerian adalah dari segi advokasi, mengenakan penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan kepada rakyat supaya mereka patuh kepada peraturan.

“Bagi sesiapa yang melanggar peraturan, hukuman berat akan menanti anda. Kali ini, kerajaan lakukan dengan serius dan kita harap ia dapat sokongan semua pihak.

“Kita hendak tekankan kepada semua, sentuh sedikit saja alkohol, tidak boleh memandu,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Nizar Zakaria (BN-Parit) yang mahu tahu apakah tindakan kerajaan menggalakkan mereka yang mabuk supaya tidak memandu, Ka Siong berkata: “Pihak kementerian menggalakkan syarikat e-panggilan seperti Grab untuk memperhebat kempen mereka supaya pengunjung pusat hiburan gunakan perkhidmatan e-panggilan.”

Ahad, 2 Ogos 2020

Pagoh – Port Dickson sesak luar biasa

KESESAKAN luar biasa dilaporkan berlaku di lebuhraya utara selatan (PLUS) menuju utara di sepanjang Pagoh – Port Dickson.

Sejak petang tadi, beberpa kilometer sebelum susur masuk dari Plaza Tol Pagoh mulai sesak menyebabkan aliran kenderaan terhenti seketika.

Kemudian aliran trafik bergerak sangat perlahan dan sesak di beberapa kawasan sebelum Plaza Tol Tangkak dan Jasin.

Situasi yang sama turut dilihat sebelum susur di Plaza Tol Ayer Keroh sehingga hentian R&R Ayer Keroh.

Kesesakan juga dilihat berlaku di beberapa kawasan sepanjang dari Plaza Tol Alor Gajah, Melaka menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.

Situasi ini dianggap luar biasa kerana kesesakan jarang berlaku di bahagian Utara Johor pada hujung minggu.

Selain aliran trafik, beberapa hentian seperti di R&R Pagoh, Ayer Keroh dan Seremban dilihat sesak dengan kehadiran pengguna lebuh raya.

Kesesakan ini dipercayai berpunca daripada orang ramai yang kembali pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidiladha.

Dalam tinjauan wartawan Suara Merdeka dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur, beberapa kenderaan Peronda Plus kelihatan di beberapa tempat bagi membantu pengguna memerlukan bantuan.

Selain itu, kenderaan pihak berkuasa juga dilihat berada dekat beberapa kawasan bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menggunakan lorong kecemasan sesuka hati.

Sambutan Aidiladha kali ini dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung susulan mereka tidak dapat pulang pada Aidilfitri lalu.

Faktor kesesakan juga berlalu susulan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada sekatan merentas negeri dikuatkuasakan pada Aidiladha.

Oleh demikian, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan pulang ke rumah masing-masing.

Ini kerana bagi mengelak daripada berlaku perkara tidak diingini ketika berhadapan dengan kesesakan di lebuh raya.

Bermula 1 Ogos, penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dijalankan selepas kerajaan mewajibkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka di tempat awam.

Justeru, pengguna lebuh raya yang ingin singgah di R&R perlu memakai pelitup muka dan mematuhi SOP penjarakan sosial. – SM

Khamis, 30 Julai 2020

Wee: Kos RTS RM10 bilion, Malaysia biaya 39%, Singapura 61%

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, pembinaan RTS akan dibuat dalam
2 fasa, iaitu fasa pertama dari awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi pembinaan
atau pembangunan struktur sivil.

JOHOR BAHRU: Kos keseluruhan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di sini dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah itu, 61% daripadanya dibiayai oleh kerajaan Singapura, manakala 39% lagi ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

“Berdasarkan kepada perjanjian Singapura-Malaysia, nisbah (kos) ialah 61:39, lebih kurang jumlahnya ialah RM10 bilion. Singapura akan membiayai 60 hingga 61%, manakala pihak kita pula ialah 39% dengan kos RM3.716 bilion.

“Maka kos RM10 bilion itu ialah untuk jarak sepanjang 4 kilometer. Jarak Malaysia ialah kira-kira 2.7 km dan 1.3 km untuk Singapura,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wee juga berkata, pembinaan RTS berkenaan akan dilakukan dalam 2 fasa iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.

Sementara itu, fasa 2 akan bermula awal 2025 hingga akhir 2026, melibatkan pembinaan sistem seperti isyarat, “rolling stock”, telekomunikasi, dan pengujian sistem.

Ketika ditanya mengenai keperluan mempunyai depoh Wadi Hana di Johor Bahru, Wee berkata, depoh itu diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan RTS yang mengguna pakai sistem Transit Aliran Ringan (LRT) kerana Singapura menggunakan sistem berlainan, iaitu Mass Rapid System (MRT).

“Perlunya ada depoh di Wadi Hana ialah kerana kita menggunakan sistem LRT. Lagipun, Prasarana mempunyai pengalaman mengendalikan sistem landasan LRT.

“Kita perlukan depoh penyelenggaraan, tempat untuk kita menyelenggara dan sebab itulah kita pilih Wadi Hana. Bagaimanapun saiz tanah untuk depoh berkenaan belum dimuktamadkan lagi kerana kita perlu berbincang dengan kerajaan negeri.

“Tetapi setakat ini, kita mengenal pasti 40 lot (tanah). Saiz sebenar akan dimaklumkan secepat mungkin,” katanya.

Selasa, 21 Julai 2020

Harga tiket penerbangan kembali normal pada bulan November

Wartawan MalaysiaGazette
MGF27042020_ESSAY-KLIA19-681x454
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan memutuskan untuk memberi pengecualian arahan penjarakan sosial di dalam pesawat untuk membolehkan syarikat penerbangan beroperasi semula namun tidak semestinya harga tiket akan turun serta-merta.

Ini kerana, syarikat penerbangan perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal seperti sebelum wabak Covid-19.

Di samping itu, syarikat penerbangan juga mempraktikkan konsep cross-subsidisation dalam penetapan harga tambang.

Mana-mana laluan penerbangan yang mencatatkan keuntungan akan menampung kos operasi laluan-laluan yang tidak menguntungkan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Melalui konsep ini syarikat penerbangan mampu menawarkan harga penerbangan yang rendah dan mampu dibeli oleh penumpang.

Pelaksanaan konsep ini juga amat bergantung kepada jaringan penerbangan yang meluas ditawarkan oleh syarikat penerbangan berdasarkan permintaan.

Ka Siong menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) yang meminta menteri itu menyatakan apakah langkah kementerian mengenai harga tiket penerbangan antara wilayah Sabah dan Sarawak ke Semenanjung Malaysia yang terlalu tinggi dan adakah satu garis masa telah ditetapkan untuk mengembalikan harga tiket kepada tahap yang mampu milik.

Tambahnya, syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa antara 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada impak wabak Covid-19.

Berdasarkan analisa yang dilaksanakan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan harga tiket penerbangan akan kembali normal kepada harga purata pada tahun 2019 menjelang November 2020 setelah syarikat penerbangan kembali menyediakan perkhidmatan penerbangan dengan kapasiti sebenar.

”Akan tetapi ianya bergantung kepada situasi pandemik Covid-19.

Namun, pemantauan yang dilaksanakan oleh Mavcom bagi tempoh di antara 2 Jun hingga 8 Julai 2020, didapati harga tambang penerbangan terutama daripada Semenanjung ke Sabah dan Sarawak telah menunjukkan trend penurunan berbanding dengan bulan Mei 2020.

Bagi perjalanan bagi bulan Julai 2020 pula, harga tambang menunjukkan kestabilan dan hampir menyamai harga purata yang ditawarkan pada tahun 2019.

Sebagai contoh, harga tiket bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching untuk sehala adalah di antara RM200 hingga RM400 jika dibandingkan dengan harga yang telah dikenakan pada bulan Jun 2020 iaitu melebihi RM1,000.

Ka Siong berkata, orang ramai disaran untuk membuat perancangan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding dengan pembelian di saat-saat akhir. – MalaysiaGazette

Jalan Banting-Klang ditutup berikutan kejadian tanah mendap

Tanah mendap dipercayai kerana kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek
Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menyebabkan Jalan Banting-Klang ditutup hari ini.
(Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Jalan Klang-Banting berhampiran Johan Setia ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja-kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli berkata mendapan itu dikesan berlaku kira-kira 3 petang di persimpangan lampu isyarat Kampung Johan Setia menghala ke Banting.

Pada awal kejadian, polis membuka lorong kontra bagi kegunaan kenderaan yang menghala ke arah Banting.

“Bagaimanapun selepas beberapa jam, mendapan turut dikesan berlaku di laluan kontra berkenaan dan kini lorong bagi kedua-dua arah ditutup sepenuhnya.

“Pengguna bagi laluan tersebut dilencongkan ke arah Jalan Bayu Emas dan ke Lebuhraya Shah Alam atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, insiden itu juga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

Tambah Shamsul Amar, Jabatan Kerja Raya dan MRCB George Kent (MRCBGK) selaku kontraktor projek berkenaan sedang menyiasat kejadian itu dan pengguna laluan berkenaan diminta mematuhi arahan polis demi kelancaran lalu lintas.

Sementara itu, MRCBGK dalam kenyataan memaklumkan arahan berhenti kerja (SWO) dikeluarkan kepada kontraktor pakej kerja (WPC), SN Akmida Sdn Bhd yang melakukan aktiviti pengorekan.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan dengan segera.

“Tiada laporan kemalangan jiwa dan kawasan yang terjejas telah ditutup,” menurut kenyataan itu.

MRCBGK menambah, bagi melindungi keselamatan awam, WPC memberi taklimat kepada penduduk Kampung Johan Setia yang tinggal berhampiran kawasan itu dan melaksanakan segera pelan pengurusan trafik (TMP) untuk menutup jalan terjejas dan melencongkan lalu lintas sehingga diberitahu kelak.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian ini dan ingin memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang timbul buat masa ini,” menurut MRCBGK.

Ahad, 19 Julai 2020

LRT3 dijangka siap dibina Feb 2024, kata pengerusi Prasarana

Kerja menaikkan U-Girder dilakukan menggunakan kren pada Majlis Pelancaran
U-Girder Projek LRT3 di Seksyen U1, Shah Alam malam tadi. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Feb 2024, kata Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, projek dengan jajaran sepanjang 37.8km itu yang menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur, sudah mencapai 33.12% setakat 30 Jun lalu.

Beliau berkata, projek LRT3 bakal memanfaatkan lebih 2 juta penduduk di kawasan itu dan mampu membawa kira-kira 67,000 penumpang sehari di peringkat permulaan, sebelum sistem rel urban “Greater Klang Valley” siap sepenuhnya.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya di Majlis Pelancaran U-Girder Projek LRT3 dan Majlis Makan Malam Pengerusi Prasarana bersama media malam tadi.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Muhammad Nizam Alias dan Pengerusi MRCB George Kent Sdn Bhd, Judin Abdul Karim.

Tajuddin berkata, projek LRT3 buat pertama kali menggunakan blok “U-trough girder”, iaitu komponen pembinaan yang dibina terlebih dahulu di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

Katanya, kaedah pembinaan itu dipilih kerana kos lebih efisien, tempoh kerja pembinaan lebih cepat dan improvisasi terhadap impak visual.

“Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit sudah dilancarkan dan dipasang.”

Sabtu, 18 Julai 2020

3 ditahan memandu dalam keadaan mabuk

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

ANTARA pengguna jalan raya yang ditahan.

TIGA individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol pada Op Mabuk di beberapa lokasi di sekitar daerah Petaling Jaya, hari ini.

Pada operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir tiga jam kemudian, 266 pengguna jalan raya turut diperiksa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, individu ditahan berusia 36 hingga 55 tahun.

"Mereka ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi kadar ditetapkan.

"Tinjauan sepanjang operasi ini mendapati masih ramai pengguna yang memandu dan menunggang di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45(a)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pahang Gesa ECRL Perlu Diteruskan Ikut Cadangan Asal

Oleh: Zylan Moha



KUANTAN – Menurut perancangan awal yang telah dibuat oleh kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, jajaran asal awal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melalui negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata terdapat beberapa faktor agar perancangan awal ini diteruskan, antaranya adalah untuk meningkatkan lagi penghantaran kargo dari utara berbanding ke selatan kerana di kawasan selatan sudah mempunyai pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

“Kita juga ingin melihat ECRL yang jajarannya melalui Gombak akan dilaksanakan kerana ini akan menghasilkan integrasi dengan sistem aliran Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan LRT.

“Terkini di Negeri Pahang Darul Makmur, projek ini telah mula dilaksanakan dan sudahpun berada pada tahap 13% atau 14%.

“Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bahawa projek ini akan dikurangkan kos dengan perubahan-perubahan yang sedikit, ia adalah satu perkara yang amat merugikan kerana kita telahpun mengambil langkah untuk menyediakan tanah bagi melengkapkan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Wan Rosdy lagi, pada tahun 2019, sebanyak 1,394.4 hektar tanah yang merangkumi 232.5km jarak perjalanan yang merentasi Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan telahpun dalam proses untuk diambil-alih.

Tegasnya juga, dengan adanya ECRL mengikut pelan asal, ia akan membawa kembali peluang pekerjaan kepada anak-anak Negeri Pahang.

“Dan semestinya ledakan ekonomi akan berlaku sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini apabila siapnya infrasturktur ini.

“Saya telah menulis surat pada Mac 2020 yang lepas kepada YAB Perdana Menteri agar dapat mengkaji semula pelaksanaan asal ECRL yang benar-benar lebih menguntungkan untuk jangka masa yang lebih panjang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu lagi.

Justeru katanya, Pahang berharap agar satu keputusan dapat dicapai untuk mengembalikan semula pelan asal ECRL kepada perancangan awalnya. – UMNO ONLINE

Rabu, 15 Julai 2020

Denda RM100,000 terhadap pemandu mabuk dalam draf pindaan RUU

KUALA LUMPUR: Denda maksimum RM100,000 terhadap pemandu mabuk terkandung dalam draf cadangan pindaan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat sekarang.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menjelaskan cadangan itu mencadangkan kadar denda bagi kesalahan pertama daripada RM20,000 kepada RM100,000, dan RM150,000 bagi kesalahan seterusnya.

Turut dicadangkan tempoh pemenjaraan maksimum 15 tahun bagi kesalahan pertama, dan 20 tahun bagi kesalahan seterusnya; dan menaikkan tempoh penggantungan lesen daripada 10 tahun kepada 20 tahun.

Tahap baru hukuman bagi kesalahan memandu melibatkan alkohol, dadah, dan melulu itu terkandung dalam draf RUU yang akan dibawa ke Kabinet pada 17 Julai dan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat sekarang.

Wee berkata Kabinet bersetuju secara dasarnya untuk meminda Seksyen 41 hingga Seksyen 45 dalam Akta Pengangkutan Jalan bagi memperkenalkan hukuman lebih berat terhadap pesalah memandu dalam keadaan mabuk, bawah pengaruh dadah, atau melulu.

“Anda boleh minum sebanyak mana yang anda mahukan tetapi apabila minum minuman keras, jangan memandu kenderaan. Kalau mahu memandu kenderaan, sama juga jangan minum minuman keras,” katanya.

Isu berbangkit lain seperti pemandu perkhidmatan e-panggilan enggan membawa pulang penumpang mabuk akan diperjelaskan kemudian.

“Begitu juga bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol tetapi berhenti di bahu jalan apabila melihat polis melakukan sekatan. Itupun kita akan ambil tindakan. Siapa yang lari dari ujian alkohol dilakukan pihak berkuasa juga akan dianggap kesalahan,” katanya.

Selasa, 14 Julai 2020

RM800 juta saman JPJ tak dibayar sejak 10 tahun

Bernama

Malaysiakini
 
Sebanyak 2.7 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas sejak tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM800 juta masih belum dijelaskan, kata Ketua Pengarah JPJ Shaharuddin Khalid.

"Saman tersebut merangkumi kesalahan seperti memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tiada lesen memandu.

"Pihak JPJ akan mengambil tindakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mahu membayar saman tertunggak antaranya dengan menyenarai hitam nama mereka sekiranya memperbaharui lesen memandu," katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata pihaknya sedang menyelaraskan had laju maksimum pada kelajuan 110 km sejam di semua laluan di lebuh raya utama di seluruh negara.

Beliau berkata had laju itu terpakai di lebuh raya utama kecuali di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) bagi laluan Terowong Menora di Ipoh, Perak dengan had laju 70 km sejam bagi mengurangkan risiko kemalangan di kawasan terbabit.

Selain itu, Shaharuddin berkata empat kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) juga akan ditambah di kawasan berkenaan.

"Penambahan itu menjadikan keseluruhan 49 kamera Awas yang terdapat di seluruh negara termasuk 22 di Plus setakat ini," katanya.-Bernama

Sabtu, 11 Julai 2020

Lelaki dan wanita ditahan memandu secara mabuk

mabuk

Seorang lelaki dan wanita berusia 38 dan 43 tahun ditahan kerana memandu secara mabuk dalam sekatan jalan raya di Petaling Jaya, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, pihaknya melakukan Op Alkohol di beberapa lokasi di sekitar daerah tersebut bermula pukul 11 malam semalam hingga 3 pagi tadi.

“Sebanyak 516 orang pengguna jalan raya dan 500 buah kenderaan telah diperiksa .

“Selain itu, 16 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, kedua-dua yang ditahan itu akan disiasat di bawah Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jelasnya, fokus utama operasi yang dijalankan itu adalah untuk mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sekaligus membahayakan keselamatan orang lain.

Tambahnya, operasi ini akan terus dijalankan untuk memberi kesedaran terhadap lebih ramai orang serta menjamin keselamatan penduduk setempat. -SM

Isnin, 6 Julai 2020

Wee: MB Pahang cadang tukar jajaran ECRL balik ke asal

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini berkata cadangan untuk mengembalikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) balik ke jajaran asal datang dari Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kami mengadakan pertemuan bulan lalu yang dihadiri oleh menteri-menteri besar negeri yang terlibat.

"Semasa kami membincangkan penjajaran baru, kerajaan Pahang menyarankan untuk kembali ke penjajaran asal. 

"Menteri besar Pahang yang membangkitkan perkara itu," katanya pada wawancara dengan 8TV.

Wee berkata belum ada keputusan muktamad dibuat tetapi memaklumkan beberapa perkara mengenai bagaimana penjajaran asal di bawah BN dapat memenuhi permintaan logistik dan keperluan penduduk dengan lebih baik.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Berdasarkan penjajaran asal BN, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak dan menuju ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Pentadbiran PH ketika itu mengubah jajaran itu supaya tidak melalui Bentong dan Gombak seperti yang direncanakan pada awalnya. Ia bertujuan mengelakkan pembinaan terowong sepanjang 17.8km yang mahal melalui Ridge Quartz Klang Gates, khazanah alam semulajadi rabung kuarza tulen terpanjang di dunia.

Sebaliknya, dari Mentakab ia menuju ke selatan melakui Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum memasuki Selangor melalui Bangi/ Kajang dan kemudian menuju ke Putrajaya Sentral dan akhirnya ke Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, Wee berkata terdapat keperluan yang lebih mendesak untuk menghantar kargo dari utara berbanding di selatan ke Pelabuhan Klang.

Menurutnya, hal ini kerana kargo di selatan akan menggunakan pelabuhan lain seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Sekiranya ECRL melalui Gombak, jelas Wee ia akan memungkinkan integrasi dengan sistem aliran KTM dan LRT.

'PH jimat sebab kurang skop kerja'

Katanya lagi, penduduk Bentong lebih ramai berbanding Kuala Klawang.

Wee berkata terdapat keperluan untuk memastikan muatan dan penumpang mencukupi supaya ECRL tidak menjadi projek gajah putih.

Ditanya sekiranya penukaran laluan itu boleh menyebabkan kos pembinaan ECRL meningkat, Wee berkata penjimatan yang diperolehi kerajaan PH sebelumnya sebahagian besarnya adalah daripada pengurangan skop kerja.

Mengenai kemungkinan berlaku kelewatan akibat pertimbangan balik ke cadangan laluan asal, Wee berkata pembinaan Pakej A (Kota Bharu ke Dungun) dan Pakej B (Dungun ke Mentakab) ECRL sedang berjalan.

Beliau berkata perbincangan mengenai sama ada mengambil jalan utara atau selatan adalah untuk Pakej C, dari Mentakab ke Pelabuhan Klang.

Perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad ketika itu berpendapat bahawa penjajaran baru akan memberikan integrasi yang lebih baik terhadap jalur pengangkutan sedia ada.

"Dengan jajaran baru ini Laluan Ekspres KLIA (ERL) yang sedia ada, serta laluan MRT2 Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya pada masa depan, membolehkan lebih banyak negeri mengambil bahagian dalam manfaat ekonomi hasil daripada perjanjian yang ditambah baik itu.

"Ini akan menambah baik sistem ketersambungan penumpang di kawasan lain di pantai barat semenanjung di samping menyediakan rangkaian terus ke KLIA," katanya.

Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) juga dijangka melalui kawasan Putrajaya/ Bangi.

Ditambah dengan beberapa perubahan lain termasuk pengurangan stesen dari 24 menjadi 20, PH telah mengurangkan kos projek daripada RM66.5 bilion kepada RM44 bilion.

Awal hari ini, Anggota Parlimen Umno Jalaluddin Alias mahu Putrajaya mengekalkan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diusahakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menghubung laluan ke arah selatan Lembah Klang menerusi Negeri Sembilan.

"Tidak ada sebab mengapa ia perlu diubah kembali.

"Kita tetap mahukan projek ECRL itu melalui Jelebu memandangkan kebanyakan penduduk di daerah ini juga tidak sabar menanti projek berkenaan," katanya.

Sementara itu, exco kerajaan Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata beliau telah mewakili menteri besar Aminuddin Harun dalam mesyuarat Rancangan Fizikal Nasional pada 11 Jun lalu dan telah menyuarakan bantahan mengenai penjajaran semula ECRL.

Menurutnya, Negeri Sembilan akan mempertahankan jajaran ECRL sedia ada yang dicadangkan pentadbiran PH dahulu.

Selasa, 30 Jun 2020

Operasi bas hidrogen di Kuching akan disambung selepas penyelenggaraan

Bernama
bus-1-681x360
Gambar Hiasan

KUCHING – Penyambungan semula perkhidmatan bas yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api di bandar raya Kuching, hanya akan diumumkan selepas semua bas berkenaan telah melalui kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sepenuhnya oleh juruteknik dari pengeluarnya yang berpangkalan di China, Foshan Feichi Automobile Co. Ltd.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Husain dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkhidmatan bas hidrogen pertama negara itu dihentikan buat sementara pada 18 Mac lepas, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpunca daripada pandemik COVID-19.

“Ketika ini bas-bas hidrogen masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga juruteknik daripada pengeluar bas berkenaan, Foshan Feichi Automobile Manufacture Co., Ltd (Feichi) di China, dapat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual sewajarnya, dan bas berkenaan masih dalam jaminan pengeluar.

Menurutnya juruteknik yang dijadualkan tiba di Kuching Mac lepas, masih tidak dapat memasuki Sarawak disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan sejak permulaan PKP.

Beliau berkata, selain memberikan perkhidmatan sokongan yang masih dalam jaminan, pengeluar bas itu juga dijadualkan menyiapkan jadual latihan untuk juruteknik tempatan di Kuching, sebagai sebahagian daripada obligasi berterusan kepada SEDC di bawah perjanjian sokongan teknikal.

“Malangnya rancangan itu juga terpaksa ditangguhkan disebabkan sekatan perjalanan yang berkaitan dengan COVID-19, memandangkan kebolehpercayaan dan keselamatan penumpang kami adalah keutamaan palong tinggi. Oleh yang demikian perkhidmatan bas berkenaan hanya akan dibenarkan kembali beroperasi apabila setiap kenderaan dibuktikan selamat sepenuhnya untuk berada di jalan raya,” katanya.

Abdul Aziz berkata, sebaik sahaja perkhidmatan itu disambung semula, orang ramai boleh terus menggunakan perkhidmatan bas menggunakan hidrogen sebagai bahan api itu secara percuma.

“Kami gembira mendengar orang ramai amat berminat dengan penyambungan semula perkhidmatan itu, dan mereka masih boleh menggunakan perkhidmatan itu secara percuma,” katanya dan menambah perkhidmatan bas itu dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada 21 Jan lepas.

Perkhidmatan bas itu menerima sambutan yang amat menggalakkan dari warga kota serta pelancong asing, yang dapat menggunakan perkhidmatan itu untuk melancong di sekitar bandar raya, dan juga Pantai Dalam, serta Santubong pada hujung minggu.

Beliau memberi jaminan bahawa perkhidmatan bas itu akan disambung semula supaya penduduk tempatan dan pelancong akan dapat terus menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang mesra alam dan selesa, sekali lagi. – Bernama

Isnin, 22 Jun 2020

Mat Rempit ‘semput’ kena tolak motor sejauh 5 kilometer

SUDAHLAH kena tahan polis, lepas itu dipaksa pula menolak motor sejauh lima kilometer hingga ke Balai Trafik Kota Damansara.

Itu padah yang diterima sekumpulan mat rempit yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan dan Pencegahan Jenayah oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkasaan Trafik (BSPT) Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Operasi yang bermula pukul 5 hingga 7 petang itu dijalankan di Persiaran Mahogani, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, dalam operasi tersebut sebanyak 32 orang telah diperiksa dan 29 buah motosikal telah disita.

“Daripada jumlah itu, 23 orang penunggang motosikal dikenakan Tindakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Enam lagi lelaki lingkungan 17 hingga 21 tahun ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan bahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nik Ezanee, pihaknya akan terus melakukan operasi bagi membanteras dan mencegah ativiti samseng jalanan yang menunggang motosikal secara melulu dan bahaya hingga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain. -SM