Khamis, 7 Jun 2018

PKR adakan pemilihan parti akhir Ogos ini, kata Saifuddin

THE MALAYSIAN INSIGHT

PKR adakan pemilihan parti akhir Ogos ini, kata Saifuddin
Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution Ismail berkata proses pemilihan parti itu tidak boleh dilaksanakan melangkaui tempoh 18 bulan penangguhan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang berakhir, 21 Nov ini. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PKR akan mengadakan pemilihan parti pada akhir Ogos ini, kata Setiausaha Agung parti Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata tempoh sah jawatan setiap pemimpin cabang dan pusat parti berakhir 22 Feb tahun hadapan.

Bagaimanapun, katanya proses pemilihan parti itu tidak boleh dilaksanakan melangkaui tempoh 18 bulan penangguhan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang berakhir, 21 Nov ini.

"Parti ini dah hampir tamat 18 bulan tempoh lanjutan. Jadi kongres ini mesti diadakan tak lebih dari tarikh berkenaan, kalau lebih kita (parti) akan terbatal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim kepada ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Petaling Jaya, hari ini. Turut hadir Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu seramai 48 daripada 50 ahli Parlimen dan 51 daripada 67 ADUN PKR hadir.

Mengikut Perlembagaan PKR, Kongres Nasional Tahunan parti hendaklah diadakan sekali dalam setahun pada bila-bila masa sebelum berakhir bulan Jun atau pada tarikh yang ditetapkan Majlis Pimpinan Pusat dengan syarat tidak lewat daripada lapan belas bulan dari tarikh Kongres Nasional Tahunan yang lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata Anwar dalam taklimatnya menegaskan bahawa setiap wakil rakyat PKR perlu menyokong dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya pentadbiran negara dapat dijalankan dengan efektif tanpa masalah.

 "Tugas dan tanggungjawab Dr Mahathir sejurus menerima mandat kerajaan adalah satu tugas berat. Ini penting bagi membolehkan Dr Mahathir menjalankan tanggungjawab dengan lebih tenang dan efektif tanpa fikir sebarang benda yang boleh ganggu perjalanan kerajaan," katanya. – Bernama

Tiada ulasan: