Roketkini.com
Pesawah padi negara ini boleh menghela nafas lega apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub mengumumkan syarikat BERNAS yang diberikan hak monopoli pengeluaran beras tempatan sejak beberapa dekad lalu dihentikan.
Jelas beliau, Kabinet telah bersetuju menamatkan monopoli syarikat tersebut berdasarkan hujah relevan yang disetujui.
“Selain Bernas, semua yang kita anggap monopoli akan disemak sama ada akan dikekalkan atau dirombak,” katanya.
Dalam perkara berkaitan, Salahuddin memaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan beliau menyediakan memorandum berkaitan langkah memecahkan monopoli yang akan dibawa kepada Kabinet.
Sementara itu menurutnya, Perdana Menteri juga mengarahkan beliau menyediakan memorandum kepada Kabinet berkaitan kaedah memecahkan monopoli tersebut.
Sehubungan itu, beliau telah pun meminta Ketua Setiausaha Kementerian berhubung dengan seluruh agensi bagi mengenalpasti beberapa model pengeluaran beras secara terbuka yang diamalkan negara luar.
Monopoli BERNAS dalam industri beras negara ini didakwa menindas golongan pesawah apabila ramai di kalangan mereka mengalami kerugian apabila berlakunya pemotongan harga padi basah.
Langkah kerajaan menghentikan monopoli BERNAS ini juga selaras dengan pendirian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah disuarakan sebelum ini.
Menyambut baik langkah pengumuman kerajaan itu, Badan Bertindak Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) dalam muat naik status Facebook rasminya menzahirkan terima kasih kepada kerajaan atas komitmen yang terkandung dalam manifesto.
“Perlu di ingat, penghapusan monopoli BERNAS terhadap import mesti digantikan dengan sebuah Lembaga Padi Dan Beras yang baru. LPN baru ini mesti bertanggungjawab mengawal beras import agar tidak berlebihan. Selain tanggungjawab2 lain.”
Pada Konyensyen Pakatan Harapan Januari lalu, Padi Rescue menyeru supaya industri beras negara ini diselamatkan dari monopoli pihak tertentu.
Menurut wakilnya, Rosli Yahya, badan itu telah mengemukakan 14 cadangan kepada kerajaan mengenai isu dan masalah yang dihadapi pesawah padi negara ini.
Salah satu daripada 14 cadangan Padi Rescue ialah supaya kerajaan memansuhkan BERNAS yang dilihat memonopoli pengeluaran beras negara ini sehingga menyebabkan penindasan dan kezaliman ke atas pesawah khususnya pesawah bumiputera.
Lebih medukacitakan, segala tuntutan tersebut gagal dipenuhi kerajaan UMNO-BN ketika itu. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan