KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja diminta meneliti semula
cadangan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN) bagi melindungi
dan mempertahankan institusi diraja di negara ini.
Bekas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) , Datuk
Ibrahim Ali berkata, penubuhan badan berkaitan institusi itu perlu
kerana ia akan menjadi benteng dalam mempertahankan institusi beraja dan
agama Islam.
“MUIN yang diwakili semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam
dan Melayu serta akan menjadi benteng kepada Islam, orang Melayu dan
lebih penting bagi mempertahankan Raja-Raja Melayu.
“Perkasa juga mencadangkan MUIN diletak dan diwujudkan
dengan restu Majlis Raja-Raja dan sekretariatnya di bawah Penyimpan
Mohor Besar Raja-Raja,” katanya dalam Majlis Berbuka Puasa dengan
Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan ahli-ahli Perkasa di Kelab Sultan
Sulaiman sebentar tadi.
Pertubuhan itu sebelum ini pernah mencadangkan penubuhan
MUIN yang diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri
Syed Danial Syed Ahmad pada 6 Oktober 2016.
Bagaimanapun tiada apa-apa maklum balas mengenai cadangan itu.
Katanya lagi, penubuhan MUIN dapat memastikan suara-suara
sumbang yang mempertikaikan keistimewaan orang Melayu dan institusi
diraja dapat dibendung sepenuhnya.
“Kalau Majlis Raja-Raja sedia buka ruang untuk didampingi
orang Melayu dan Islam, saya percaya institusi raja akan lebih mantap
dan kita pula boleh memainkan peranan dengan berkesan, tidak lagi jadi
seperti anjing menyalak bukit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan