Rabu, 13 Jun 2018

Pas bantah cadangan tambak laut Pulau Tioman



Pulau Tioman merupakan sebuah pulau yang sangat sensitif dari sudut ekologinya. Sebarang tindakan ke atas muka bumi akan meninggalkan kesan yang besar, kata Tuan Ibrahim.

Pas mendesak agar laut Pulau Tioman tidak ditambak untuk membolehkan pembinaan lapangan terbang yang lebih besar.

Timbalan presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keindahan pulau Tioman sebagai salah satu pulau tercantik di dunia yang menjadi tumpuan pelancong kerana kecantikan batu karangnya perlu dipelihara.

“Pulau Tioman merupakan sebuah pulau yang sangat sensitif dari sudut ekologinya. Sebarang tindakan ke atas muka bumi akan meninggalkan kesan yang besar kepada keadaan pantai dan lautannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi beliau, tindakan membina satu lapangan terbang untuk pesawat yang lebih besar sehingga terpaksa dilaksanakan penambakan laut akan merosakkan segala yang ada.

“Tidak dinafikan tawaran pembinaan yang dianggarkan RM1.2 bilion dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Berjaya Group sangat menarik.

“Tapi sekiranya ia melibatkan penambakan laut di Tioman, ia tidak berbaloi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan Pahang perlu tegas menjaga keindahan dan keselamatan Pulau Tioman.

“Ia adalah aset pelancongan Pahang yang sangat bernilai kerana keindahannya. Jangan hanya melihat dari aspek ekonomi semata-mata segalanya tergadai.

“Oleh itu, Pas membantah cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Pulau Tioman sebagaimana tawaran yang dibuat oleh Tan Sri Vincent Tan sekiranya ia melibatkan penambakan laut,” katanya.

Bagi ahli parlimen Kubang Kerian itu, cara baru perlu diterokai untuk membesarkan lapangan terbang Pulau Tioman jika ia dilaksanakan.

Dan cadangan baru itu perlu memenuhi laporan penilaian alam sekitar EIA, katanya.

Tiada ulasan: