Oleh MALAYSIA DATELINE
Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi, Khalid
Samad disebut-sebut bakal menjadi dua lagi menteri kabinet dari AMANAH.
Menurut laporan The Malaysian Insight, Mujahid akan dilantik sebagai
Menteri Luar manakala Khalid pula Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
yang menjaga Hal Ehwal Agama.
Laman ini melaporkan 26 anggota kabinet ketika berita angin sebelum
ini menyatakan kabinet akan mempunyai 28 anggota. Kesahihan berita ini
masih belum pasti dan dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri sendiri
namun belum ada penafian rasmi lagi.
Menurut laman itu yang memetik sumber kerajaan, Pengerusi PKR
Sarawak, Baru Bian akan menjadi menteri kerja raya; naib presiden Xavier
Jayakumar (air, tanah dan sumber asli), dan setiausaha agung Saifuddin
Nasution (perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna).
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Abdullah bakal dinamakan sebagai menteri pendidikan tinggi.
DAP pula akan mendapat dua lagi menteri iaitu Teresa Kok dan muka baru, Yeoh Bee Yin.
Kok akan dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan manakala Yeoh,
yang menang kerusi Parlimen Bakri dalam pilihan raya pertamanya,
dijangka dinamakan sebagai menteri tenaga, teknologi dan alam sekitar.
Yeoh adalah jurutera kimia, pemegang biasiswa Petronas yang juga lulusan
sarjana dari Cambridge, lapor laman itu.
Bersatu pula akan mendapat dua menteri baru iaitu ketua sayap
pemudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bakal dinamakan menteri
belia dan sukan.
Ahli Parlimen Alor Gajah Mohd Redzuan Yusof akan memegang portfolio yang dihidupkan semula, Kementerian Pembangunan Usahawan.
Parti Warisan Sabah yang menyokong PH akan mempunyai tiga wakil dalam
Kabinet Dr Mahathir iaitu Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking; Ahli
Parlimen Batu Sapi VK Liew dan Ahli Parlimen Silam Mohamadin Ketapi.
Darell akan jadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri; Liew
sebagai menteri undang-undang manakala Mohamadin bakal menteri
pelancongan.
Sementara itu, Pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy akan diberi
tanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India, selepas usaha kerasnya
memastikan pengundi kaum India memilih PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan