THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Suria Strategy Energy Resources Sdn Bhd (SSER) gagal mendapatkan sebarang hak daripada Petronas seperti yang dikehendaki oleh undang-undang untuk memasang paip bagi Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata, syarikat itu juga gagal memperoleh tanah yang diperlukan di Sabah untuk melakukan perkara yang sama bagi Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).
“Walaupun terdapat pendedahan yang mengejutkan terbabit, (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak masih mendakwa bahawa semua proses, prosedur dan undang-undang telah dipatuhi berkaitan pemeteraian kedua-dua projek saluran paip tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Untuk itu, Lim berkata, Kementerian Kewangan (MoF) telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
“Satu serbuan SPRM telah dijalankan di pejabat SSER. Kementerian Kewangan telah mengambil alih pejabat SSER. Semua pekerjanya telah diarahkan cuti sehingga notis selanjutnya,” katanya.
Presiden SSER, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, juga telah dipecat sebagai pengarah syarikat dan kementerian dalam proses melantik sebuah Jawatankuasa Eksekutif (Exco) yang diketuai sebuah firma perakaunan untuk mengendalikan syarikat itu dan menyiasat transaksi yang dibuat SSE .
Sebagai rekod, MPP melibatkan saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson ke Jitra, dengan kos RM5.35 bilion. TSGP melibatkan pembinaan saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, dengan kos RM4.06 bilion.
“Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan ingin memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa semua langkah akan diambil untuk mendedahkan kebenaran. Kami akan mengambil apa-apa tindakan yang diperlukan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab bagi melindungi kepentingan pembayar cukai,” tambah Lim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan