Sabtu, 2 Jun 2018

Menteri: Tiada cukai jalan jika tak tukar beg udara Takata

 
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengeluarkan arahan tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan kepada JPJ berkuat kuasa serta-merta.



Anthony Loke berkata, 8 kes kemalangan jiwa membabitkan beg udara Takata berlaku di Malaysia setakat ini.


KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan kepada pemilik kenderaan belum menukar beg udara jenis Takata yang bermasalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata arahan itu berkuat kuasa serta-merta.

“Mengikut rekod Honda (Honda (M) Sdn Bhd), sebanyak 71,315 kereta syarikat keluaran 2003 hingga 2013 belum menukar beg udara jenis Takata yang bermasalah.

“Saya telah arahkan JPJ tidak membenarkan pemilik kenderaan terlibat memperbaharui cukai jalan sekiranya tidak mengemukakan surat pengesahan daripada Honda yang mereka telah menukar beg udara.”

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga mangsa maut kemalangan di Taman Len Seng, Cheras, Pong Hou Tien, 23, Ahad lalu (27 Mei) dipercayai akibat kerosakan beg udara kenderaan Honda City yang dipandunya.

Turut hadir pada lawatan di Jalan Damai Perdana, dekat Cheras, di sini adalah Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shahruddin Khalid.

Loke berkata, 8 kes kemalangan jiwa membabitkan beg udara Takata berlaku di Malaysia setakat ini dan beliau menggesa pemilik syarikat kereta lain yang menggunakan beg udara sama, memberi data pemilik kenderaan belum menukar beg udara kepada JPJ.

“Dalam hal ini, saya tidak mahu menuding jari kepada pemilik syarikat kereta kerana mereka dari semasa ke semasa telah mengeluarkan surat peringatan kepada pemilik kenderaan untuk menukar beg udara. Ia bergantung kepada kesedaran pemilik kenderaan sendiri.”

Tiada ulasan: