Selasa, 12 Jun 2018

‘Libatkan petani, pengilang padi dalam semakan semula BERNAS’

KEADILAN DAILY

gooi_hsiao_leung

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung menggesa Kementerian Pertanian untuk melibatkan golongan petani dan pengilang dalam semakan semula terhadap monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke atas industri beras negara.

Gooi yang sebelum ini rancak berkempen untuk menamatkan monopoli itu yakin pandangan golongan tersebut mampu membantu usaha itu.

“Saya berharap menteri pertanian akan melihat dengan teliti gesaan yang dibuat untuk membina semula Lembaga Padi Negara (LPN) sebagai sebahagian daripada pembaikan dan pembaharuan industri beras nasional yang sangat diperlukan.

“Dalam hal ini, saya menggesa menteri pertanian untuk terlibat secara langsung dengan para petani, pengilang dan pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan input mereka tentang cara memulihkan dan menghidupkan semula industri beras tempatan dalam ‘Malaysia Baru’,” kenyataan beliau dipetik.

Gooi merujuk pengumuman Salahuddin pada 6 Jun mengenai keputusan kabinet untuk memansuhkan monopoli BERNAS dalam import beras.

Salahuddin keesokannya berkata Kabinet bukan mahu menutup BERNAS tetapi mahu mengkaji semula monopoli beras melibatkan syarikat itu.

Gooi yang merupakan mantan ahli Parlimen Alor Setar menyambut baik pengumuman itu yang dilihat cakna terhadap kegusaran petani dan pengilang padi sebelum ini.

“Khususnya, apabila mereka menuding kerajaan kerana membenarkan BERNAS diswastakan sepenuhnya dan dikecualikan daripada membayar berbilion duti import beras.

“Sedangkan, cukai tersebut boleh dikumpulkan dan disalurkan kembali untuk membantu petani padi yang miskin.

“Amalan kerajaan BN untuk membolehkan sebuah syarikat swasta mengawal keuntungan daripada tidak membayar duti import beras adalah jauh berbeza dengan negara-negara seperti Jepun dan Korea yang mengenakan tarif import yang tinggi terhadap padi lebih daripada 200 peratus untuk melindungi industri beras tempatan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: