Isnin, 11 Jun 2018

KU LI SEDIA TANDING PRESIDEN?


Oleh: HASPAIZI MOHD ZAIN




Meskipun masih berteka-teki dengan keputusan sama ada akan bertanding merebut jawatan Presiden UMNO ataupun tidak, Tengku Razaleigh Hamzah memberi bayangan kesediaan untuk mengemudi parti itu sekiranya ‘kena pada caranya’.

Malah, ketika ditanya wartawan mengenai tindakan yang akan diambil beliau sekiranya diberi kepercayaan menerajui UMNO, Tengku Razaleigh telah bersedia dengan ‘pelan pemulihan’ parti itu.

Antara tumpuannya ialah, untuk mengangkat ekonomi rakyat serta meremajakan UMNO bagi memastikan parti itu terus mendapat tempat dalam kalangan anak muda supaya kekal relevan.

Dalam sidang media hampir satu jam, meskipun didesak wartawan supaya memberi jawapan untuk bertanding Presiden UMNO ataupun tidak, beliau berkata perkara itu akan diumumkan bila tiba masanya.

“Sabarlah…masa masih panjang lagi,” jelas Tengku Razaleigh dalam sidang media di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur, Ahad.

“Saya sayang UMNO…jika perlu saya bertanding, maka saya bertandinglah, apa pun tunggulah dulu,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan penyertaannya untuk merebut jawatan Presiden UMNO.

Menurut sumber, Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali sebagai Ku Li sedia untuk memimpin UMNO sekiranya diberi ruang oleh Ahmad Zahid.

Ku Li dikatakan cuba untuk mengelak daripada berlakunya pertembungan ataupun pertandingan bagi jawatan nombor satu itu demi kepentingan UMNO.

Tiada ulasan: