Selasa, 19 Jun 2018

Khir Toyo bertanding untuk MT Umno

Khir Toyo bertanding untuk MT Umno 
Bekas menteri besar Selangor Dr Khir Toyo merupakan menteri besar dari 2000 hingga 2008, dan pemimpin pembangkang negeri dari 2008 hingga 2010.– Gambar fail The Malaysian Insight
 
BEKAS menteri besar Selangor Dr Khir Toyo yang disabitkan atas kesalahan rasuah cuba untuk kembali dengan bersaing merebut tempat dalam Majlis Tertinggi Umno.

Dr Khir, 52 merupakan menteri besar dari 2000 hingga 2008, dan pemimpin pembangkang negeri dari 2008 hingga 2010.

Pada 2010 beliau didakwa kerana penyalahgunaan kuasa dan rasuah berhubung pembelian rumah di Shah Alam.

Beliau didapati bersalah kerana menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan tanah dan banglo besar di Shah Alam di bawah harga pasaran, dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan.

Bagaimanapun, selepas enam bulan menjalani hukuman di Penjara Kajang, beliau dibebaskan dengan parol.

Bagi pemilihan kali ini, terdapat 124 orang bersaing untuk tempat bagi 25 kerusi Majlis Tertinggi.

Antara penyandang yang bertanding adalah Ahli Parlimen Jeli Mustapha Mohamad, Ahli Parlimen Lenggong Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Tanjong Karang Noh Omar, Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Bekas menteri besar Perak Zambry Abdul Kadir dan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron turut bertanding, setelah sebelum ini menduduki kerusi itu kerana menjadi pengerusi perhubungan negeri.

Bekas pembantu Najib Razak, Lokman Nor Adam turut menawarkan diri manakala blogger Umno yang juga ketua JASA, iaitu unit propaganda kerajaan Barisan Nasional Tun Faisal Ismail Aziz juga turut serta dalam saingan itu.

Penggantinya dalam JASA Puad Zarkashi turut menghantar namanya untuk menjadi ahli majlis tertinggi.

Pencalonan bagi jawatan tertinggi dan ahli majlis tertinggi tamat pada jam 5 petang semalam namun kerana jumlah calon yang ramai dan parti kemudiannya memutuskan unutk mengumumkan senarai calon hari ini.

Pengundian bagi pemegang jawatan tertinggi akan diadakan pada 30 Jun dan untuk ketua sayap (Pemuda, Wanita dan Puteri) pada 23 Jun.

Pemilihan parti diadakan tahun ini selepas dua kali ditangguhkan. Kali terakhir pemilihan dijalankan adalah pada 2013.

Berikutan kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum ke 14, pemilihan parti kali ini akan menyaksikan jumlah calon yang tidak pernah disaksikan sebelum ini bertanding untuk jawatan, memecahkan budaya tiada pertandingan dalam parti sebelum ini atas nama kestabilan dan bagi mencari kepimpinan baharu.

Tiada ulasan: