Selasa, 19 Jun 2018

Ahli akar umbi muda Umno pilih calon berpengalaman

Ahli akar umbi muda Umno pilih calon berpengalaman
Tengku Razaleigh Hamzah jadi pilihan ramai jadi presiden Umno kerana pengalaman dan prestasi kerjanya diperlukan untuk pulihkan imej parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
DI atas kertas, kelebihan Khairy Jamaluddin dalam saingan untuk jadi presiden Umno adalah karismanya yang muda dan idea-idea yang segar.

Tetapi hakikatnya, ahli akar umbi dan aktivis muda Umno yakin Tengku Razaleigh Hamzah, 81, lebih berwibawa untuk menyelamatkan parti itu selepas kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mereka rasa Razaleigh, ahli parlimen Gua Musang yang lebih akrab dengan panggilan Ku Li itu, boleh menawarkan pengalaman dan prestasi bersihnya – dua aset yang boleh mengangkat kembali imej Umno.

Ahli-ahli Umno memberitahu The Malaysian Insight, masih terlalu awal untuk menebak siapa yang ada sokongan lebih besar antara tiga calon utama yang bersaing jawatan presiden pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Masing-masing ada kekuatannya. Mesej yang mereka tawarkan kepada ahli-ahli sepanjang kempen 13 hari akan datang ini akan menentukan sejauh mana sokongan yang akan mereka dapat dari akar umbi Umno.

Khairy dan Razaleigh bersaing dengan pemangku presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan yang akan menentukan boleh atau tidak Umno pulih dalam landskap politik pasca PRU14.

Empat calon lain kurang dikenali juga ikut bertanding tetapi setakat ini, hanya Khairy, Razaleigh dan Zahid yang sebenarnya bersaing.

"Walaupun saya ini orang muda tapi saya rasa Ku Li lebih berpengalaman untuk menangani masalah-masalah dalam Umno,” kata Naib Ketua Pemuda Umno bahagian Batu, Mohd Nizham Abdullah Hamidi kepada The Malaysian Insight.

Walaupun begitu, Nizham tidak menafikan perlunya orang muda dalam parti Melayu yang berusia 72 tahun itu.

Namun, bagi menyandang jawatan presiden, katanya parti yang ditolak mentah-mentah oleh rakyat itu seharusnya diterajui oleh mereka yang berpengalaman dengan rekod kerja terbaik.
Wibawa Khairy Jamaluddin pada kalangan akar umbi muda terjejas kerana beliau dikatakan gagal menarik undi golongan muda pada PRU14, salah satu punca utama kegagalan Umno-BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2018.
Wibawa Khairy Jamaluddin pada kalangan akar umbi muda terjejas 
kerana beliau dikatakan gagal menarik undi golongan muda pada 
PRU14, salah satu punca utama kegagalan Umno-BN. – Gambar 
fail The Malaysian Insight
 
Seorang lagi akar umbi, Iqbal Ismail pula berpendapat kepimpinan calon dalam menguruskan parti lebih penting berbanding faktor usia.

“Calon presiden tak perlu tua atau muda tapi kuat dalam merancang strategi parti dan yang saya lihat dengan jelas adalah Tengku Razaleigh,” katanya.

Menurut Iqbal, satu kelemahan Khairy ialah beliau dilihat gagal menarik sokongan anak muda dalam PRU14 baru-baru ini.

“Khairy gagal wujudkan sentimen anak muda dan jelas sebagai seorang ketua pemuda dia gagal menjalankan tanggungjawab dan dia telah gagal tarik orang muda pada PRU14,” katanya.

Dalam PRU14, Umno hanya menang 54 kerusi Parlimen, merosot daripada 87 yang dipegangnya sebelum Parlimen dibubarkan.

Bagi Haryaty Hamdzah dari Puteri Umno pula, presiden pilihannya ialah pemimpin yang ada pengalaman dan imejnya bersih.

"Kita perlukan lebih daripada populariti orang muda. Kita perlu pulihkan imej pada mata umum dan kita perlukan seseorang yang ada wibawa untuk berdepan dengan Pakatan Harapan," kata ahli Umno Bahagian Kota Melaka itu.

Haryaty enggan menamakan pilihannya. Tetapi ciri-ciri pengalaman dan imej bersih itu sebelum ini dikaitkan dengan Razaleigh.

Buat masa ini, Razaleigh dan Khairy ternampak mendahului saingan persepsi dalam kalangan ahli Umno.
Kesetiaan Ahmad Zahid Hamidi kepada Najib Razak yang penuh skandal menjadi punca popularitinya menurun dalam kalangan akar umbi Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2018.
Kesetiaan Ahmad Zahid Hamidi kepada Najib Razak yang penuh 
skandal menjadi punca popularitinya menurun dalam kalangan 
akar umbi Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight
Zahid pula, walaupun pada suatu ketika sangat popular dalam parti, sentimen terhadapnya menurun selepas Umno kalah PRU14.

Bekas timbalan perdana menteri itu terpalit kerana kesetiaannya kepada Najib Razak yang penuh skandal, antara punca utama Umno kalah.

Kredibiliti akan jadi faktor penentu dalam pemilihan Umno ini, kata Timbalan Ketua Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan. Beliau merasakan setakat ini masih terlalu awal untuk menjangkakan sokongan ahli.

"Buat masa ini masing-masing tak menunjukkan ‘peluru’ mereka," katanya.

Ketua Umno Bahagian Temerloh Mohd Sharkar Shamsudin pula berkata masih terlalu awal untuk mengetepikan mana-mana calon antara tiga calon utama itu.

"Zahid ada kelebihan sebagai penyandang," kata Sharkar, sambil mengingatkan naib presiden itu menjalankan tugas presiden selepas Najib letak jawatan.

"Masih ada 13 hari tempoh berkempen. Kita tidak tahu apakah semua tujuh calon itu akan kekal.

Mungkin akan ada yang tarikh diri, dan kemudian kita hanya ada pertandingan tiga penjuru.

"Semua calon ada kekuatannya. Mungkin juga seorang akan tarik diri dan kita tinggal dua calon. Kita tidak tahu, entah-entah akhirnya tinggal seorang, menang tanpa bertanding."

Tiada ulasan: