Bekas ketua editor NST itu membuat keputusan ini bagi mengelak kesipuan kepada majlis dan percanggahan kepentingan.
Keputusan itu demi mengelak kekeliruan masyarakat berkaitan peranannya dalam majlis tersebut serta pandangannya dalam blog peribadi dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian.
Beliau sekarang ini disiasat bawah Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung artikel mengenai Yang di-Pertuan Agong.
Kadir dalam kenyataan berkata dia menulis atas kapasiti sebagai seorang penulis blog dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang dipegang, serta segala pendapat di dalam blog itu pendapat peribadi semata-mata.
“Bagaimanapun, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan saya terus mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.
“Bagi mengelak kesipuan kepada majlis dan percanggahan kepentingan di pihak saya maka saya memohon untuk mengundur diri dan ini telah dipersetujui oleh Pengerusi Tun Daim Zainuddin,” katanya di blog hari ini.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Daim atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepadanya, dan kepada petugas unit media dan komunikasi majlis itu atas ketekunan dan kerja kuat mereka.
“Saya akan terus menyumbang bakti kepada tanah air kita yang tercinta ini dan rakyat jelatanya dengan cara terbaik yang saya ketahui, iaitu menerusi mata pena saya.”
Dalam artikel di blognya baru-baru ini, Kadir mempersoalkan usaha untuk meyakinkan raja Melayu mengenai status mereka.
Selain daripada itu, Kadir dalam catatan blog peribadi semalam turut mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Beliau mendakwa secara purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan