Rabu, 20 Jun 2018

Johari jawab PAS: Kenapa parti 18 MP mahu Umno dibubarkan?

 
   
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menolak cadangan penyelesaian Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah supaya Umno dibubarkan.

Johari, yang bakal bertanding untuk jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti 30 Jun ini, menegaskan bahawa partinya mempunyai lebih banyak ahli parlimen daripada PAS.

"Pertama, mengapa kita harus bubarkan Umno?

"Kita masih mempunyai 54 orang anggota parlimen sedangkan PAS hanya ada 18 orang," katanya kepada Malaysiakini.

Johari diminta mengulas kenyataan Mohd Amar bahawa Umno harus dibubarkan setelah gagal mempertahankan kerajaan BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Bagi bekas menteri kewangan II, beliau yakin Umno mampu membuat kemunculan semula jika mereka dapat menyelesaikan segala kelemahan dan ekurangannya.

"Saya tidak fikir kita berhasrat untuk membubarkan parti ini tetapi saya memberi jaminan bahawa jika kita mampu memperbaiki diri dan memperbetulkan apa jua kelemahan, saya yakin Umno akan kembali pada pilihan raya akan datang," katanya.

Johari juga menolak sebarang kerjasama dengan PAS buat masa sekarang.

"Biarkan mereka dengan cara mereka dan kami dengan cara kami," katanya, sambil menekankan betapa perlunya Umno memperbaiki diri mereka.

BN memenangi 79 kerusi parlimen pada pilihan raya umum 9 Mei, jatuh daripada 133 kerusi pada pilihan raya umum ke-13.

Walau bagaimanapun, gabungan itu retak selepas kekalahan teruk, dengan sembilan daripada 13 parti komponen meninggalkan gabungan itu.

Ini menyaksikan BN kini hanya tinggal dengan 57 kerusi, 54 daripadanya dipegang oleh Umno. Baki kerusi dipegang oleh MIC dan MCA.

Walaupun kekalahan teruk, Umno dengan 54 kerusi, kekal sebagai parti terbesar di Parlimen.
Ini diikuti oleh PKR dengan 47 kerusi dan DAP dengan 42 kerusi.


Tiada ulasan: