Sejak namanya terpilih, dia sudah mula mengikuti kursus haji di kampungnya di Parit Yaani, Batu Pahat. Kursus itu sepatutnya diikuti sekali seminggu sepanjang tujuh minggu.
Tetapi sejak kelmarin hatinya sudah tidak menentu selepas kerajaan baru di Putrajaya yang menggantikan kerajaan Najib Razak membatalkan bantuan mengerjakan haji dengan dana yayasan di bawah syarikat pelaburan terbelit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rashid, 55, kini terpaksa menunggu giliran untuk naik haji, sama seperti penyimpan Tabung Haji yang lain.
"Sekarang saya tunggulah giliran yang daftar dengan Tabung Haji, mungkin umur dekat 100 tahun nanti baru dapat pergi Mekah," katanya kepada The Malaysian Insight.
Ahad lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak lagi akan menghantar jemaah ke tanah suci dengan menggunakan duit yang dicuri, merujuk kepada skandal penyelewengan dana 1MDB yang sedang disiasat Putrajaya dan beberapa negara lain.
"Ramai orang tidak akan dapat melaksanakan haji kali ini kerana kerajaan tidak akan membayar haji mereka dengan wang yang dicuri.
"Jika anda mahu kita boleh mencuri dan bayar, tetapi kita tidak percaya pada cara mencuri wang," katanya semasa berucap pada majlis makan malam dengan rakyat Malaysia di Tokyo, Jepun.
Najib bagaimanapun menafikan duit tajaan haji itu duit curi, kerana mana mungkin "1MDB mencuri wang 1MDB sendiri untuk membolehkan syarikat ini membiayai jemaah haji".
Menulis di Facebook, Najib berkata beliau sedih apabila ramai rakyat beragama Islam yang berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan untuk menunaikan haji kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.
Bekas perdana menteri itu juga memberi jaminan dana tajaan itu daripada sumber halal dan beliau yang "akan menanggung dosa yang besar" jika duit itu adalah duit curi.
Najib dan Dr Mahathir sudah beberapa kali berbalas kenyataan di media dan di pentas ucapan mengenai halal haram haji tajaan 1MDB, termasuk mengundang ulasan beberapa tokoh agama.
Ibadah haji diwajibkan dalam Islam ke atas mereka yang berkemampuan termasuk dari segi kewangan dan sihat tubuh badan.
Sejak mula diperkenalkan pada 2011, program naik haji tajaan Yayasan 1MDB sudah menghantar 5,711 jemaah haji. Tajaan itu dinamakan Program Khas Haji Perdana Menteri.
Mereka yang ditawarkan tajaan itu termasuk imam, guru pondok, guru tahfiz, tok batin, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pengamal media.
Sebahagian besar mereka yang terpilih dicalonkan oleh pejabat Umno bahagian yang mengemukakan beberapa nama ke ibu pejabat parti sebelum disaring dan dipilih untuk ke Mekah.
Mengikut laporan media, sejumlah 1,200 orang dijadual berlepas menunaikan haji di bawah program itu pada musim haji tahun ini.
Sementara itu, Abdullah Nasir, 56, merasa dirinya beruntung kerana sempat naik haji dengan kuota tajaan 1MDB itu pada 2014.
Katanya, kalau tidak dengan kuota tajaan itu, gilirannya yang ditetapkan Tabung Haji ialah pada 2050 nanti.
Arab Saudi menetapkan sistem kuota supaya umat Islam dari semua negara dapat menunaikan rukun Islam itu. Bagi Malaysia, kuota yang ditetapkan ialah seramai 30,200 bagi satu-satu musim haji.
Tabung Haji juga menetapkan kos menunaikan haji yang perlu dibayar oleh setiap jemaah ialah sebanyak RM9,980 seorang, dengan baki RM12,470 ditanggung oleh dana itu sebagai subsidi.
Menurut Abdullah, semasa naik haji dengan 1MDB empat tahun lalu, dia langsung tidak keluar duit sebaliknya hanya bawa badan saja.
"Kita tengok pun tak duit itu, semua diuruskan. Kita cuma pergi sahaja. Makan minum, penginapan semua diuruskan," katanya.
Mengimbas pengalamannya naik haji empat tahun lalu, Abdullah berkata, proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan jemaah biasanya sudah selesai sebelum bulan Ramadan lagi.
"Tapi kalau sekarang ini masih belum ada apa-apa lagi, boleh kata tidak adalah jemaah haji ditaja 1MDB tahun ini.
"Dah bukan Najib lagi (jadi perdana menteri), kalau dia (Najib) lagi adalah (program tajaan haji)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan