"Ini adalah berita yang sangat hebat kepada Malaysia kerana sudah terlalu lama badan kehakiman tidak bebas dan adil," kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen kepada The Malaysian Insight.
"Tentunya, pelantikan semula Raus dan Zulkefli yang tidak berperlembagaan hanya memburukkan lagi keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, dan peletakan jawatan mereka menjadi petanda baik bagi negara," katanya.
Kedua-duanya menyatakan peletakan jawatan dalam surat kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 7 Jun, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Kenyataan itu berkata, Raus dan Zulkefli bertemu perdana menteri pada 15 Mei untuk menyampaikan hasrat mereka untuk meletakkan jawatan.
Gurdial Singh Nijar, bekas profesor undang-undang di Universiti Malaya, berkata pelantikan kedua-dua hakim mencemarkan kedudukan baik mereka, serta persepsi orang ramai terhadap badan kehakiman.
"Indikasi jelas menunjukkan perlantikan itu tidak berpelembagaan sejak awal lagi.
"Ia membuatkan saya kesal dan sedih yang kedua-dua hakim tertinggi ini, yang mengendalikan banyak kes Perlembagaan dalam kerjaya kehakiman mereka, tidak melihatnya demikian.
"Kesannya, ia menerima pelbagai persepsi dan agak terjejas bukan sahaja kedudukan mereka yang baik tetapi juga institusi kehakiman."
Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata "perkembangan yang dialu-alukan."
"Badan Peguam Malaysia beberapa kali memanggil ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan untuk melakukan perkara terhormat dan meletak jawatan, dan saya gembira kerana mereka akhirnya mengendahkan gesaan Badan Peguam Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan