Jumaat, 1 Jun 2018

Jangan tertipu dengan akaun palsu Tabung Harapan Malaysia- Guan Eng

Kumara Sabapatty
Lim Guan Eng menasihati orang ramai supaya berhati hati dengan akaun palsu kutipan tabung harapan malaysia yang tular dalam media sosial.. ketika ini.
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menafikan sebuah poster yang tular di laman sosial berkaitan nombor akaun Tabung Harapan Malaysia yang dikatakan palsu.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, nombor akaun yang tertera di poster palsu itu adalah berlainan dengan nombor akaun Tabung Harapan Malaysia yang bernombor 5660 1062 6452 (Maybank) seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Ingin ditegaskan bahawa Kementerian Kewangan akan membuat laporan polis terhadap mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan di atas kebaikan orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati serta menyemak terlebih dahulu nombor akaun sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Lim Guan Eng berkata setakat 3 petang hari ini, Tabung Harapan Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak RM18,608,925,36.

Katanya ia merupakan peningkatan sebanyak 163 peratus berbanding RM7,075,508.79 yang dikutip semalam.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia bersatu sehati sejiwa seraga dalam membantu meringankan beban hutang kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut tentang Tabung Harapan Malaysia dan jumlah yang dikutip setakat jam 3 setiap hari, orang ramai boleh melawat laman sesawang Kementerian Kewangan di www.treasury.gov.my, di Facebook (Kementerian Kewangan Malaysia), Instagram (MOF_malaysia) dan Twitter (MOFmalaysia). – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: