Memaparkan catatan dengan label TABUNG HARAPAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label TABUNG HARAPAN. Papar semua catatan

Sabtu, 28 Julai 2018

Tarian gelek LGBT kutip derma, apa komen Zawawi?



37794283_297683147644594_2742749171579617280_n-681x383




KUALA LUMPUR – Penularan tarian gelek yang didakwa melibatkan mak nyah dalam satu majlis kutipan Tabung Harapan tular di media sosial.

Majlis makan malam bagi mengutip sumbangan Tabung Harapan itu kelmarin telah dicemari insiden yang memalukan.

Ini kerana majlis yang berlangsung di Pelabuhan Klang itu telah mengundang penari makyah yang berpakaian seksi membuat persembahan.

Mengulas perkara itu, calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam tertanya-tanya apa pendirian lawannya dari PKR, Mohd. Zawawi Mughni yang lebih dikenali Ustaz Zawawi.

“Agaknya apa pendirian Ustaz Zawawi terhadap keputusan Pakatan Harapan memanggil tarian gelek LGBT untuk mengutip derma bagi Tabung Harapan ya?

“Mampukah seorang ADUN Pakatan Harapan menyanggah Perdana Menteri atau timbalannya?

“Jika tidak, serahkan tugas itu kepada pembangkang dengan mengundi BN,” ujar Lokman dalam status media sosialnya hari ini.- MalaysiaGazette


Selasa, 17 Julai 2018

Jangan kutip derma Tabung Harapan melalui surat, NUTP beritahu sekolah

 
NUTP menasihati mana-mana sekolah yang ingin mengutip derma daripada murid untuk THM, membuatnya secara lisan. 


Presiden NUTP Kamarozaman Abdul Razak berkata jika permintaan dibuat secara lisan, murid mempunyai pilihan sama ada mahu menderma ataupun tidak. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menegaskan mana-mana sekolah yang ingin mengutip derma daripada murid untuk Tabung Harapan Malaysia (THM), mesti membuatnya secara lisan tanpa perlu membuat surat kepada ibu bapa atau penjaga.

Presidennya, Kamarozaman Abdul Razak berkata, sekiranya permintaan itu dibuat secara lisan, murid mempunyai pilihan sama ada mahu menderma ataupun tidak.

“Bila bersurat, ada kalangan murid ini, ayah dia, mak dia mungkin berpolitik. Itu sahaja isunya.

“Isu ini sepatutnya tidak berlaku kalau guru besar dan pengetua profesional secara mengurus. Saya mohon pengetua dan guru besar serta guru-guru ambil sikap profesional. Kalau nak buat juga mesti secara lisan, jangan bersurat,” katanya ketika dihubungi FMT semalam.
Beliau mengulas perkara itu selepas tular di media sosial mengenai sebuah sekolah di Shah Alam yang mengeluarkan surat kepada ibu bapa mengenai aktiviti yang dibuat murid pada Julai dan Ogos.

Dalam surat itu, antara aktiviti yang dilakukan adalah pelancaran THM pada 9 Julai lalu yang disasarkan kepada murid tahap 1 dan 2, selain semua murid digalakkan memberi sumbangan ikhlas kepada tabung berkenaan.

Mengulas lanjut, Kamarozaman berkata, pihaknya juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik berhubung perkara berkenaan.

Kamarozaman berkata, Maszlee turut menyatakan derma berkenaan bukan satu paksaan.

“Yang penting, patutnya yang menderma adalah orang yang berpendapatan, murid-murid ini kita jangan ganggu. Kalau dia (sekolah) nak menerangkan tak apa. Tapi kalau dia buat surat ini tak berapa eloklah. Sebab nanti orang kata berat sebelah kepada politik dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar sekolah berkenaan menarik balik semula surat yang dikeluarkan sebelum ini.

“Sebab dia akan menganggu emosi penjaga, ibu bapa dan murid-murid itu sendiri. Kalau anda nak buat, anda terangkan pada perhimpunan secara lisan, kutip derma itu tak ada masalah. Secara lisan, bukan secara bertulis,” tegasnya.

Mengulas isu sama, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata pihak sekolah tidak sepatutnya mengutip derma untuk THM di sekolah.

“Tidak payah sampai ke sekolah. Saya rasa murid-murid bukannya ada duit pun. Biasanya mereka bawa duit pun cukup-cukup untuk makan.

“Saya rasa ini kewajipan orang dewasa, ada cara lain untuk menderma dan korporat-korporat semua bagi duit,” katanya.

Sabtu, 14 Julai 2018

Kutipan Tabung Harapan Malaysia lebih RM148.9 juta

Shawaliah Hadir
 
Tabung-Harapan-Malaysia-681x511


KUALA LUMPUR – Selepas sebulan ditubuhkan, Tabung Harapan Malaysia hari ini mencecah kutipan lebih RM148.9 juta.

Jumlah berkenaan direkodkan dan dipamerkan di laman Facebook Menteri Kewangan Malaysia hari ini.

Untuk rekod, tabung derma itu ditubuhkan pada 31 Mei yang lalu bagi tujuan memudahkan rakyat menyalurkan sumbangan kepada kerajaan.

Strategi itu  digunakan selepas pengumuman hutang kerajaan yang mencecah RM1 trilion.-MalaysiaGazette


Jumaat, 6 Julai 2018

Maszlee tidak pernah arah sekolah derma kepada Tabung Harapan

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bertulis atau lisan kepada sekolah khususnya di Kelantan untuk memberikan sumbangan kepada Tabung Harapan sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata kempen kutipan Tabung Harapan di sekolah-sekolah seluruh negeri itu adalah inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sendiri.

“Walau bagaimanapun pelancaran kutipan tabung berkenaan telah dibatalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan,” katanya.

Surat mengenai pelancaran kempen kutipan untuk Tabung Harapan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan tular semalam dan mendapat kritikan pengguna media sosial.– Bernama

Isnin, 25 Jun 2018

Tabung Harapan Malaysia cecah RM108.2 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS




SHAH ALAM: Tabung Harapan Malaysia (THM) mengumpulkan RM108,215,946.39 juta, setakat jam 3 petang tadi.

Jumlah itu berjaya dikumpulkan sejak dilancarkan, pada 30 Mei lalu dan dimaklumkan melalui laman Facebook Kementerian Kewangan.

Penubuhan tabung itu diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang membantu menangani masalah hutang negara yang kini lebih RM1 trilion.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit menerusi akaun Maybank 5660 1062 6452.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, sumbangan derma yang disalurkan kepada THM akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan.

Sabtu, 23 Jun 2018

Tabung Harapan adalah usaha Malaysia bersihkan korupsi silam

Tabung Harapan adalah usaha Malaysia bersihkan korupsi silam
Sejak Pakatan Harapan takluk Putrajaya, pelbagai skandal korupsi dan salah tadbir terbongkar. Tabung Harapan menyediakan peluang kepada rakyat mengambil bahagian dalam proses penyembuhan negara, ia bukan soal wang, ia soal penglibatan.

WALAUPUN jadi salah satu inisiatif paling berjaya dan diterima rakyat dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tabung Harapan Malaysia masih tidak terlepas daripada kecaman.

Ada pihak yang menyifatkan tabung itu adalah gimik politik PH untuk tingkatkan popularitinya.

Ada juga yang mempersoalkan sama ada ia akan jadi mekanisma kekal dan berpanjangan untuk membayar hutang negara yang dakwa pentadbiran semasa cecah RM1 trilion.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan ENg melihat tabung itu dalam sudut pandang berbeza, menegaskan yang ia adalah aspek mustahak dalam usaha kerajaan membebaskan negara daripada kesilapan silam.

“Dah tentu ia bukan untuk selamanya. Tetapi kita akan teruskan buat masa sekarang. Ia bukan hanya soal wang,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.

“Ia adalah untuk rakyat tunjukkan rasa cinta mereka kepada negara dan kejelikan mereka kepada korupsi sehingga buat kita berhutang RM1 trilion.

“Ia untuk tunjukkan yang kita bersama-sama harungi perkara ini, sama-sama atasi untuk kejayaan bersama.”

Tabung itu diumumkan seminggu selepas PH mengambil alih Putrajaya pada PRU14 yang bersejarah. Sejumlah RM92 juta sudah dikutip setakat ini.

Keputusan itu dibuat selepas beberapa kempen dijalankan individu persendirian untuk mengumpul derma selepas pentadbiran baharu mendedahkan tahap hutang negara lebih tinggi berbanding yang dimaklumkan sebelum ini.

Tabung itu serupa dengan kempen sebelum Merdeka di Tanah Melayu apabila penduduk menggadai barangan kemas dan memberikan wang untuk membiayai lawatan Tunku Abdul Rahman ke London untuk rundingan Merdeka dengan penjajah British.

Sejak dilancarkan, rakyat Malaysia pelbagai latar belakang menderma serendah RM10 sehingga puluhan ribu kepada tabung itu.

Lim juga menggunakan misalah tindakan menderma kepada tabung itu sebagai proses penyembuhan mereka yang mengalami tragedi buruk dalam hidup.

“Bila kita rasa kehilangan, kita rasa menderita. Sama dengan hal ini, kita semua ada skandal (korupsi negara) ini yang kita perlu bersihkan daripada diri kita.”

Lim menganggarkan pembayar cukai perlu menanggung RM50 bilion kerugian dan hutang disebabkan 1MDB yang merupakan skandal terbesar pernah dibongkar kerajaan.

“Pertamanya, kita perlu tahu kebenaran, berdepan dengannya, atasinya dan baru bergerak ke depan. Meletakkan semuanya di belakang,” katanya.

“Tabung itu adalah sebahagian proses untuk berdepan skandal ini. Selepas proses pembersihan ini barulah kita boleh bergerak ke depan dan menyumbang kepada negara.”

Rabu, 20 Jun 2018

Pemimpin PKR selar DAP terima derma dari budak sekolah

 


Seorang pelajar sekolah rendah mengetepikan sementara impiannya untuk memiliki satu set dram, sebaliknya menggunakan wang yang disimpan selama beberapa bulan untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Ervin Devadasan, 12, menyerahkan wang itu kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, pada satu sidang media di pusat khidmat Anggota Parlimen Segambut, Hannah Teoh, hari ini.

"Saya ingin mendermakan simpanan saya kepada Tabung Harapan Malaysia sebab selepas PRU14, saya dapat tahu Malaysia perlukan wang.

"Wang ini saya simpan selama enam hingga lapan bulan," katanya.

Bagaimanapun langkah pelajar tahun enam tersebut tidak disenangi seorang anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR dan menganggapnya sebagai tindakan murahan.

Menerusi Twitter Latheefa Koya berkata: "Tabung Harapan (Malaysia) ialah dana bersifat politik.

Jadi membawa seseorang berusia 12 tahun untuk menyerahkan simpanannya adalah mengarut dan agak murahan."

Pada ciapan itu Latheefa turut menggunakan tanda pagar #startgoverning (mula mentadbir) dan #enoughofgimmicks (cukup-cukuplah gimik).

Tak perlu ditunjuk-tunjuk

Dihubungi Malaysiakini kemudian, Latheefa menjelaskan, memang Devadasan berhak menunaikan kehendak patriotismenya. Namun pada masa sama, kata Latheefa, wang berkenaan tidak wajar diterima.

"Kamu membuat semua benda (kelihatan) boleh dieksploitasi. Ia agak bersifat eksploitasi," katanya.

Menurut peguam itu tidak disangsikan kanak-kanak terbabit menunjukkan sifat patriotik tetapi pihak yang satu lagi sepatutnya menolak derma berkenaan sambil tidak lupa memberikan penghargaan.
Pada masa sama katanya ia tidak wajar ditunjuk-tunjuk kepada umum.

Malah kata Latheefa kanak-kanak tidak wajar diheret dalam isu berkenaan.

"Ia adalah satu pertunjukan dan dibuat atas nama apa? Patriotisme? Dan sidang media itu, kamu tahulah," katanya.




Latheefa juga mengingatkan pemimpih Pakatan Harapan bahawa mereka kini bukan lagi pembangkang.

"Kita patut tunjukkan bagaimaa kita boleh mentadbir. Cukup-cukuplah dengan aksi pegun, jangan buat gimik lagi, sebaliknya cuma buat kerja.

"Semua benda ni - bagaimana ia boleh membantu anda mentadbir? Ia tidak menambah apa-apa. Apa yang ingin dikatakan ialah, kanak-kanak pun suka kita. Kita tak perlukan aksi semacam itu.

"Mereka harus menumpukan pada hal itu (mentadbir) dan tidak melakukan benda-benda begini.

"Saya tak kata mereka belum mula mentadbir... tetapi semua aksi ini mengganggu fokus dan kesungguhan.

"Anda membuat diri anda kelihatan seperti selama-lamanya kita dalam semangat pilihan raya," katanya.

Terdahulu Yeoh menjelaskan derma yang disumbangkan oleh Devadasan adalah antara "keindahan Malaysia" selepas pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

"Semua golongan - muda dan tua - mahu memainkan peranan masing-masing untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik," katanya.

Tabung Harapan Malaysia setakat jam 3 petang semalam sudah mengumpul dana berjumlah RM88.36 juta, berbanding RM75.1 juta kelmarin.

Sabtu, 16 Jun 2018

'Tabung Harapan dijangka bantu bayar hutang lebih awal'

 
 
   

Dana itu mungkin sumbang kepada faedah bon 1MDB bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan antara September dan November, kata Ketua Ekonomi RHB Research Institute.

Walaupun jumlah yang dikutip oleh tabung amanah, Tabung Harapan Malaysia (THM), agak kecil berbanding jumlah hutang negara yang melebihi RM1 trilion, sumbangan itu mungkin digunakan untuk membayar hutang pada tarikh yang lebih awal.

Hutang negara melebihi RM1 trilion, manakala sumbangan kepada THM sebanyak FRM66.67 juta sehingga 3 perang, 14 Jun.

Ketua Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon, berpendapat dana itu mungkin menyumbang kepada faedah bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bernilai RM810.21 juta yang dijadualkan antara September dan November tahun ini.

"Walaupun saiz dana agak kecil berbanding jumlah hutang yang besar, saya yakin ia akan dibelanjakan untuk menyelesaikan hutang dan bukan untuk tujuan lain, memandangkan dana masyarakat itu digerakkan atas semangat patriotik sebagai tanda sokongan rakyat kepada kerajaan," katanya kepada Bernama.

Fungsi sebenar THM dikritik sejak pembukannya pada 30 Mei 2018.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa dana masyarakat itu bertujuan mengurangkan hutang negara, dan diwujudkan sebagai respond kepada keprihatinan rakyat terhadap salah urus oleh kerajaan Barisan Nasional.

Peck berkata Malaysia bukanlah negara pertama yang melancarkan dana masyarajat di peringkat kebangsaan kerana Korea Selatan telah memulakan kempen pengumpulan dana yang sama semasa krisis kewangan Asia 1997/98 atau lebih dikenali sebagai krisis IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) dalam kalangan penduduk tempatan.

Ditanya sama ada kerajaan sepatutnya menetapkan garis masa atau sasaran mengutip dana itu sebagai panduan jelas untuk rakyat ‘menyelamatkan’ negara, Peck berkata ia hanyalah kempen patriotisme.

"Lebih-lebih lagi, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah menyebut sebelum ini bahawa tidak ada had sumbangan," katanya, sambil menambah bahawa beliau percaya saiz dana akan terus berkembang seiring waktunya.

Lim dilaporkan berkata bahawa hutang negara berjumlah RM1 trilion pada 31 Dis, 2017, termasuk hutang kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion ditambah jaminan kerajaan berjumlah RM199.1 bilion untuk membayar bagi pihak entiti yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Namun, menteri itu menegaskan bahawa asas-asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, sektor kewangan stabil, sektor perbankannya mempunyai modal yang tinggi dan terdapat mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran.

Sementara itu, akaun dana masyarakat THM dengan akaun Maybank (A/C 566010626452) akan terus dibuka sehingga kerajaan berjaya mencapai sasaran yang besar.

Bagaimanapun, tiada jumlah tertentu dan garis masa ditetapkan setakat ini.

Lim memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengurus semua sumbangan secara sistematik dan telus, dengan dana yang dikumpul akan dikemas kini di laman web Kementerian Kewangan (KKM) dan platform media sosialnya setiap hari, manakala penyumbang diberikan pengecualian cukai, termasuk syarikat.

Wang yang disumbangkan layak mendapat pengecualian cukai.- Bernama


Rabu, 13 Jun 2018

Peniaga pasar TTDI berpakat, buat sumbangan ke Tabung Harapan


 Roketkini.com

Demi membantu mengurangkan beban kewangan negara, Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur berjaya mengumpul sebanyak RM12,350 untuk diserahkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Majlis serahan sumbangan telah diadakan secara sederhana pagi tadi di pasar tersebut dengan kehadiran Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bagi menyempurnakan acara penerimaan replika cek daripada persatuan berkenaan.

Hannah ketika bercakap kepada media berkata, pelancaran Tabung Harapan dua minggu lalu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai di pelbagai peringkat.




“(Tabung) ini bukanlah permintaan daripada kerajaan tetapi daripada rakyat sendiri yang mahu beri sumbangan.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak persatuan dan mereka yang teah memberikan sumbangan. Kita berharap kerajaan tidak menyalah guna setiap sen daripada tabung ini,” katanya.

Terdahulu, Hannah dipelawa Ahli Jawatankuasa Persatuan mengadakan kunjungan dari gerai ke gerai bagi mengisi Tabung Harapan Malaysia.

Menurut pengerusi persatuan, Jenny Loo, 66, jumlah tersebut berjaya dikumpul selama 10 hari dengan sokongan daripada para peniaga dan pelanggan.

“Apabila kami mendengar mengenai hutang negara mencecah RM1 trilion, kami semua terkejut.

“Jadi kami buat inisiatif ini dan rasa amat terharu apabila menerima sumbangan daripada peniaga-peniaga kecil dan pelanggan di sini.

“Kami ingin tunjukkan kami sayangkan negara. Ini hanyalah sumbangan kecil kami buat negara!” kata peniaga sayur itu dengan nada terharu.

Penasihat persatuan, Shafia, 59, yang merupakan peniaga kelengkapan Haji dan Umrah di pasar itu berkata, sumbangan derma yang diberikan itu merupakan tanda rasa sayang kepada Malaysia.

“Kita tahu negara banyak hutang, jadi, kita buatlah apa yang boleh kita bantu demi masa depan anak cucu generasi akan datang,” katanya.

Bagi seorang peniaga sayur Steven Tan, beliau rasa gembira dapat turut sama membantu kerajaan menangani hutang negara.

“Jadi, kita buat sesuatu untuk sokong kerajaan. Kita semua adalah rakyat Malaysia!” katanya bersemangat. – Roketkini.com


Selasa, 12 Jun 2018

42 Ahli Parlimen DAP akan sumbang sebahagian gaji untuk Tabung Harapan


Roketkini.com

Kesemua 42 Ahli Parlimen DAP akan menyumbang sebanyak RM210,000 kepada Tabung Harapan Malaysia dengan derma RM5,000 setiap orang untuk membantu memulihkan krisis hutang negara kata tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurut beliau, Tabung Harapan merupakan wadah dan manifestasi semangat patriotik dan  cintakan negara melangkaumi suku bangsa, agama dan daerah.

“Tabung Harapan adalah satu manifestasi ‘kelahiran semula’ Malaysia di mana rakyat Malaysia seluruhnya menunjukkan kecintaan kepada negara.

“Sebab itu saya juga ingin bertanya adakah Ahli Parlimen UMNO-BN juga akan memberi sumbangan kepada Tabung Harapan?

“Tak ada siapa berharap tabung ini akan berjaya mengumpul sehingga menghampiri jumlah trillion ringgit hutang negara namun ia boleh dikatakan sebuah katarsis nasional apabila rakyat Malaysia – walau apa yang telah dilakukan pemimpin sebelumnya, rakyat keseluruhannya tidak akan membiarkan tanah air dan masa depan negara digadaikan oleh pemimpin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga hari ini 11 Jun 2018, Tabung Harapan Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak RM56,662, 086.58 sejak dilancarkan pada 30 Mei lalu.

Tabung ini dilancarkan ekoran wujudnya banyak permintaan daripada rakyat Malaysia untuk meringankan beban hutang negara yang ditinggalkan kerajaan BN terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak. – Roketkini.com


Dr Amim sebak, sumbang RM1 juta untuk Tabung Harapan


Roketkini.com

Kecintaan dan semangat untuk menyelamatkan negara telah mendorong seorang doktor gigi menderma sebanyak RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia hari ini.

Pemilik Amim Dental Surgery, Dr Amim yang juga merupakan pemilik lima buah klinik pergigian sekitar Johor Bahru hari ini menzahirkan rasa gembira dan terharu dapat melakukan sumbangan terhadap negara.

Serahan sumbangan tersebut dibuat dalam sebuah majis sederhana penyerahan replica cek kepada tokoh veteran Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin; dan Exco Pembangunan Wanita & Pelancongan Johor, Liow Cai Tung.

“Ini adalah saat terindah dalam hidup saya apabila dapat berkongsi kegembiraan dengan yang lain.

“Saya gembira kerana saat ini saya boleh beri sumbangan kepada negara. Saya juga berbangga dengan kakitangan saya, kita mempunyai pakar yang bagus dan juga jururawat yang setia. Tanpa anda, kita mungkin tidak berupaya memberi sumbangan ini,” kata Dr Amim menahan sebak.

Ketika memberikan ucapan, veteran DAP Lim Kit Siang berkata Tabung Harapan merupakan  manifestasi ‘kelahiran semula’ Malaysia di mana rakyat Malaysia seluruhnya menunjukkan kecintaan kepada negara.

“Tak ada siapa berharap tabung ini akan berjaya mengumpul sehingga menghampiri jumlah trillion ringgit hutang negara namun ia boleh dikatakan sebuah katarsis nasional apabila rakyat Malaysia – walau apa yang telah dilakukan pemimpin sebelumnya, rakyat keseluruhannya tidak akan membiarkan tanah air dan masa depan negara digadaikan oleh pemimpin,” katanya membaca kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin berkata, jumlah RM1 juta yang disumbangkan tersebut bukanlah satu jumlah yang kecil.

“Sebagai Ahli Parlimen, kita akan terus bersuara kepada rakyat supaya Pakatan Harapan menjadi kerajaan yang telus, bersih, tidak mencuri wang rakyat, akauntabel dan bertanggungjawab demi memastikan Malaysia dapat ditadbir dengan baik!”

Exco Pembangunan Wanita & Pelancongan Johor Liow Cai Tung pula dalam ucapan ringkasnya berkata sumbangan yang dilakukan seperti ini menunjukkan semangat patriotik kepada negara.

“Harapan rakyat Malaysia amat tinggi kepada Pakatan Harapan. Kami berjanji akan menggunakan dana Tabung Harapan ini di tempat yang betul dan secara telus,” katanya.

Selain pimpinan DAP, turut hadir memberikan sokongan ialah Dr Zakiah (isteri), para doktor dan jururawat dari seluruh kliniknya.

Menurut Dr Zakiah, pihaknya ingin membuat sumbangan sejak awal Tabung Harapan Malaysia dilancarkan secara senyap tanpa mahu didedahkan kepada umum namun terkejut apabila diberitahu bahawa Lim Kit Siang membuat keputusan menemui mereka hari ini. – Roketkini.com


Isnin, 4 Jun 2018

Pegawai awam Selangor terima bonus raya, tolak 10%

 
Menteri Besar Azmin Ali berkata penjawat awam gred 44 negeri dan keatas 'terdorong' untuk menyumbang.


Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. (Gambar bernama)


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan 10% daripada bantuan khas kewangan Aidilfitri penjawat gred 44 negeri dan ke atas akan dipotong dan disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata penjawat awam “terdorong” untuk menyumbang 10% kepada tabung yang ditubuhkan untuk membantu negara menangani masalah hutang dan liabiliti RM1 trilion.

Azmin berkata demikian ketika mengumumkan bonus sebanyak sebulan gaji kepada 17,109 penjawat awam negeri yang akan disalurkan pada 25 Jun ini.

“Saya yakin penjawat awam Selangor yang makmur juga sangat patriotik. Mereka turut terpanggil untuk bersama dalam usaha murni mengurangkan bebanan hutang negara yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama,” katanya di Majlis Rapat Ramadan Penjawat Awam Bersama Menteri Besar Selangor hari ini.

Pengawai Komunikasi Strategik Menteri Besar, Yin Shao Loong, mengesahkan kerajaan akan memotong 10% daripada bonus raya pegawai awam terbabit.

“Sebanyak 10% daripada bantuan khas kewangan yang dinikmati penjawat awam gred 44 akan di sumbangan ke Tabung Harapan Malaysia,” katanya.

Jumaat, 1 Jun 2018

MUFTI BANTAH TABUNG HARAPAN MALAYSIA

Wartawan Watan-Online
 

Kerajaan tidak perlu menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi mengutip derma rakyat untuk meringankan bebanan hutang negara, ujar Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman.

Menurutnya walaupun tindakan mengutip derma bagi membantu negara tidak dilarang oleh syarak, namun perkara tersebut perlu merujuk kepada konteks semasa dan situasi yang tertentu.

“Dari segi syarak memang dibolehkan, tidak salah untuk membantu macam zaman Rasulullah SAW masa di Madinah, masyarakat menghulurkan derma bagi membantu negara.

“Tapi itu dalam keadaan negara baru yang tidak mempunyai apa-apa selain sesama umat Islam.

“Tetapi jika kita lihat dalam konteks (Malaysia) sekarang tidak perlu (kutip derma) sebab kekuatan ekonomi kita bukan berada pada tahap yang sangat lemah,” katanya ketika dihubungi wartawan Watan Online pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau yakin sumber cukai dan perolehan kewangan negara yang sedia ada masih memadai untuk menggerakkan ekonomi dan melunaskan hutang negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Tapi kalau kita lihat sekarang ini bagi saya kita dah kutip cukai, itupun salah satu cara untuk bantu kerajaan, makna cukai itu sepatutnya sudah mencukupi,” katanya.

Abdul Rahman turut mempersoalkan tindakan kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang besar bagi menyiarkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018.

Menurut beliau, perkara tersebut dilihat bertentangan dengan masalah hutang negara yang dialami sehingga perlu mewujudkan tabung derma tersebut.

“Kita nampak mereka keluar peruntukan besar untuk siarkan perlawanan bola sepak. Sepatutnya tak payah dalam keadaan sekarang.

“Peruntukan untuk bola sepak dan hiburan lain itu sahaja sudah mampu selamatkan jumlah wang yang besar untuk disalurkan kepada hutang negara tadi,” katanya yang merujuk kepada pengumuman Menteri Kementerian dan Komunikasi, Gobind Singh Deo mengenai penyiaran 41 daripada 64 perlawanan Piala Dunia 2018 di RTM yang menelan belanja sebanyak RM40 juta.

Jangan tertipu dengan akaun palsu Tabung Harapan Malaysia- Guan Eng

Kumara Sabapatty
Lim Guan Eng menasihati orang ramai supaya berhati hati dengan akaun palsu kutipan tabung harapan malaysia yang tular dalam media sosial.. ketika ini.
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menafikan sebuah poster yang tular di laman sosial berkaitan nombor akaun Tabung Harapan Malaysia yang dikatakan palsu.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, nombor akaun yang tertera di poster palsu itu adalah berlainan dengan nombor akaun Tabung Harapan Malaysia yang bernombor 5660 1062 6452 (Maybank) seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Ingin ditegaskan bahawa Kementerian Kewangan akan membuat laporan polis terhadap mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan di atas kebaikan orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati serta menyemak terlebih dahulu nombor akaun sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Lim Guan Eng berkata setakat 3 petang hari ini, Tabung Harapan Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak RM18,608,925,36.

Katanya ia merupakan peningkatan sebanyak 163 peratus berbanding RM7,075,508.79 yang dikutip semalam.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia bersatu sehati sejiwa seraga dalam membantu meringankan beban hutang kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Untuk maklumat lanjut tentang Tabung Harapan Malaysia dan jumlah yang dikutip setakat jam 3 setiap hari, orang ramai boleh melawat laman sesawang Kementerian Kewangan di www.treasury.gov.my, di Facebook (Kementerian Kewangan Malaysia), Instagram (MOF_malaysia) dan Twitter (MOFmalaysia). – MalaysiaGazette


Khamis, 31 Mei 2018

Lebih RM7 juta diterima selepas sehari Tabung Harapan Malaysia dibuka

Lebih RM7 juta diterima untuk hari pertama selepas THM dilancarkan.


Sehingga 3 petang hari ini, sebanyak RM7,075,800.79 telah berjaya dikumpulkan oleh Tabung Harapan Malaysia (THM) yang dibentuk oleh kerajaan untuk membolehkan rakyat negara ini turut menyumbang kepada negara.

Demikian diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang medianya hari ini.
Sumbangan kepada tabung ini dikecualikan cukai, “Jadi simpan resit anda,” kata Lim Guan Eng.

THM yang diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet semalam telah mula menerima sumbangan sebaik sahaja ia dibuka.

Terdahulu dari itu, seorang aktivis muda yang juga graduan undang-undang, Shazarina Bakti telah melancarkan usaha pungutan derma melalui sumbangan orang ramai untuk membantu Malaysia membayar hutangnya.

Selepas seminggu ia dilancarkan, laman yang beliau buat telah berjaya memungut RM13,476.57, kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini yang turut mengucapkan terima kasih atas usaha anak muda itu.

Semalam, selepas Dr Mahathir mengumumkan pembentukan Tabung Harapan Malaysia,  Lim Guan Eng telah mengumumkan sumbangan mereka boleh diberikan menerusi akaun Maybank 566010626452.

Beliau berkata penubuhan tabung itu yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet hari ini, adalah bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.

“Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja,” katanya dalam kenyataan itu.

Lim turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

“Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada kerajaan bagi menangani isu tersebut,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri berkata terdapat ramai rakyat Malaysia sanggup memberi derma kepada kerajaan selepas mengetahui kedudukan kewangan negara dan kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik mereka.

10% gaji ketua menteri, exco Pulau Pinang untuk Tabung Harapan

10% gaji ketua menteri, exco Pulau Pinang untuk Tabung Harapan
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemotongan itu diputuskan dan diluluskan sebulat suara semalam pada mesyuarat exco, jumlah potongan adalah RM13,526.80 setiap bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 
 
 
SEBAGAI tanda sokongan kepada tindakan kerajaan persekutuan memotong gaji perdana menteri dan menteri Kabinet, kerajaan Pulau Pinang hari ini juga mengumumkan pemotongan 10% gaji pemimpin kanan negeri itu.

Gaji ketua menteri akan dipotong sebanyak RM1,417.51 dan gaji 10 exco negeri pula dipotong sebanyak 1,210.92 setiap seorang bermula bulan depan, wang itu akan disalurkan kepada Tabung Harapan- inisiatif Kementerian Kewangan untuk mengutip derma orang awam yang berhasrat membantu Malaysia melunaskan hutang negara.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pemotongan itu diputuskan dan diluluskan sebulat suara semalam pada mesyuarat exco, jumlah potongan adalah RM13,526.80 setiap bulan.

“Keputusan ini selaras dengan tindakan pemotongan gaji semua menteri kerajaan persekutuan sebanyak 10%. Potongan itu akan berkuatkuasa sehingga arahan selanjutnya diberikan.

“Kami berharap langkah ini akan membantu kerajaan persekutuan menangani hutang negara yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu Barisan Nasional,” katanya pada sidang media hari ini.

Dilaporkan hutang negara kini mencecah RM1 trilion.

Semalam, Kedah dan Johor- dua lagi negeri ditadbir Pakatan Harapan- juga mengumumkan yang gaji menteri besar dan exco dipotong 10%.