Selasa, 12 Jun 2018

FMT antara 3 portal berita paling dibaca di Malaysia

 
Sejak tahun lepas, FMT yang merupakan antara portal termuda dalam senarai portal berita utama lain mencatatkan pertumbuhan mantap pembacanya.





PETALING JAYA: Free Malaysia Today (FMT) kini antara 3 portal berita tempatan dengan bilangan pembaca paling ramai, di samping menduduki tempat ke-26 dalam senarai laman web yang dikunjungi di Malaysia mengikut statistik terkini syarikat penilaian pasaran atas talian, SimilarWeb.

Portal berita dwibahasa berusia 9 tahun ini juga mencatatkan lonjakan terbesar dalam trafik, naik 18 tangga untuk menduduki tempat ke-26 laman web paling banyak diakses dalam semua kategori di Malaysia.

Portal yang lebih lama seperti Malaysiakini yang berusia 19 tahun dan The Star Online berusia 23 tahun, masing-masing menduduki tempat ke-11 dan ke-18, mengikut statistik yang dihasilkan sehingga bulan lalu.




Kedudukan FMT juga lebih tinggi daripada laman berita yang dikendalikan syarikat media gergasi, termasuk Astro Awani, Sinar Harian, Harian Metro dan Utusan Online.

Satu portal berita yang menyaksikan lonjakan besar ialah portal berbahasa Cina, China Press yang naik 37 anak tangga menduduki tempat ke-41 dalam senarai laman web utama di Malaysia.

Walaupun minat orang ramai sekitar pilihan raya bulan lepas manjadi faktor peningkatan trafik untuk laman web berita tempatan, FMT sudah pun mula mencatatkan pertumbuhan sebelum musim demam pilihan raya pada April dan awal Mei.

Sebagai perbandingan, pada Januari tahun ini, FMT mempunyai kira-kira 6.5 juta pengunjung manakala The Star Online pula kira-kira 16 juta. Menjelang April, FMT mencatatkan 12.5 juta pengunjung manakala The Star Online terus berlegar sekitar 16 juta.

Jurang antara kedua-duanya semakin mengecil bulan lalu, dengan jumlah lawatan di FMT sebanyak 27.2 juta, kurang 3 juta daripada jumlah pengunjung The Star Online.

FMT Media, syarikat yang mengendalikan portal berita itu dari pejabatnya di Petaling Jaya, berkata angka itu menunjukkan ia mengekalkan reputasinya sebagai portal berita yang paling cepat berkembang di negara ini.

Ia juga merupakan portal berita termuda dalam senarai portal berita paling diakses di Malaysia.

“Kami gembira namun rendah hati dengan kedudukan terkini kami. Ia adalah pengesahan jelas tentang komitmen kami terhadap laporan yang bertanggungjawab dan seimbang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif FMT Media, Rajendran Menon.

Beliau menyifatkan kenaikan trafik disebabkan penambahbaikan kandungan sepanjang 2 tahun ini yang dikendalikan pasukan editorial.

“Apa yang menjadikan kami jenama yang menarik adalah keupayaan kami melaporkan berita seperti itu, menyampaikan kebenaran yang tepat tanpa sebarang kiasan.

“Kami melihat apa-apa yang kurang daripada itu sebagai menjatuhkan reputasi profesional kami,” kata Raj, sambil menambah liputan pasca pilihan raya FMT adalah bukti portal tersebut bebas dan berasaskan pendapatan, bukan “dibiayai”.

Sejak 2016, FMT dilihat membuat perubahan dalam cara ia menyampaikan berita, dengan lebih banyak pemberitaan terpilih di samping laporan lebih mendalam diterbitkan untuk pembaca.

Tetapi Ketua Pengarang Abdar Rahman Koya, berkata masih terdapat tugas besar di hadapan.

Beliau berkata peningkatan pembaca semasa pilihan raya bukan sekadar trend umum, tetapi hasil liputan yang dirancang dengan teliti terhadap kempen pilihan raya dengan menghantar wartawan ke setiap negeri.

“Di laman mikro kami, kami membawa cerita besar dalam bentuk yang kecil dan padat,” katanya.

Beliau berkata minat pembaca yang semakin meningkat terhadap FMT menunjukkan kandungan yang berkualiti adalah penting dalam bersaing dengan portal besar lain yang mempunyai “sumber yang lebih besar”.

“Jenama kewartawanan kami berjaya, tetapi kami menetapkan diri sebagai penanda aras yang melangkaui persaingan tempatan. Lebih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadi nombor 1.”

Fasa pertumbuhan FMT seterusnya akan melihat reka bentuk laman web yang akan diubahsuai sepenuhnya.

Menurut Rahman, reka bentuk baharu itu sengaja ditangguhkan bagi mengelakkan gangguan, tetapi kini ditetapkan untuk dilancarkan beberapa minggu dari sekarang.

Untuk maklumat terperinci mengenai pembaca FMT, sila klik di sini.

Tiada ulasan: