OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM : Peranan ketua kampung terus mendapat
pengiktirafan di peringkat pentadbiran negeri menerusi pemberian bonus
Aildifitri sebulan gaji kepada golongan itu.
Penghargaan itu disampaikan Exco Pemberdayaan Generasi Muda &
Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi,
Amirudin Shari kepada lebih 373 ketua kampung pada Majlis Berbuka Puasa
bersama Ketua-Ketua Kampung Seluruh Negeri, semalam.
Bertempat
di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, majlis dihadiri Timbalan
Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim
dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Makro dan
Penswastaan), Nor Azlina Abdul Aziz.
Insentif kewangan itu diberikan susulan pengumuman Dato’ Menteri
Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengumumkan pemberian bantuan
khas kepada penjawat awam di bawah peruntukan berjumlah RM31.2 juta.
Amirudin berkata, insentif kewangan itu diberikan selepas mengambil
kira keperluan dan sumbangan berterusan ketua kampung yang memberi
khidmat bakti terbaik dalam mengukuhkan lagi agenda kemasyarakatan
negeri.
“Di
kesempatan ini, Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan terima kasih atas
khidmat bakti yang diberikan semua ketua kampung dalam menjalankan
tugas,” katanya ketika berucap pada program itu.
Pada masa sama, Amirudin yang baru memegang standco pembangunan
kampung tradisi negeri mendedahkan, beberapa pembaharuan akan
dilaksanakan sepanjang tempoh ini.
Katanya, ia termasuklah pengukuhan agenda Pelan Tindakan Khas Desa
yang akan dijalankan oleh PLANMalaysia Selangor bagi Kajian
Penstrukturan Semula Kampung Dalam Bandar yang akan melibatkan 27 buah
kampung dari 591 kampung seluruh Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan