Isnin, 25 Jun 2018

Cukuplah bahasa Melayu untuk urusan rasmi, kata Rais

 
Rais yang pernah berkhidmat dalam kerajaan lebih 40 tahun berkata, apa yang dilakukan oleh Lim Guan Eng itu tidak pernah berlaku sebelum ini.





BANGI: Bekas penasihat kebudayaan kepada kerajaan Tan Sri Rais Yatim turut mempersoalkan langkah Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin, sambil menyeru pemimpin DAP itu memberhentikan amalan itu.

“Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sudah cukup,” kata Rais selepas menyertai forum “Pasca-PRU14: Mendepani Cabaran Melestari Institusi Beraja” di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.

Pelbagai pihak, termasuk pemimpin Umno membidas Lim tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi setiausaha agung DAP itu mempertahankan tindakannya dengan berkata, ia melambangkan pengiktirafan kerajaan Pakatan Harapan terhadap aspek kepelbagaian bahasa dan globalisasi.

Beliau turut merujuk Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada orang boleh dihalang daripada bertutur, mengajar atau belajar bahasa lain.
Lim turut menyifatkan pengkritiknya bersikap “perkauman” dan bertegas tidak akan tunduk kepada kritikan mereka.

Rais berkata, apa yang dilakukan oleh Lim itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, selama lebih 40 tahun berkhidmat dalam kerajaan, tidak pernah digunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris, sekiranya dibenarkan.

“Dengan itu dengan rendah hati saya memohon, jika benar ada edaran dalaman bahasa Mandarin, janganlah diteruskan amalan tersebut. Kita rasmikan kehendak Perlembagaan iaitu bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” katanya.

Tiada ulasan: