Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata cadangan tersebut bertujuan membolehkan semua rakyat Malaysia dapat menikmati hasil e-ekonomi dan e-dagang negara.
"Cadangan untuk membawa internet kepada rakyat Malaysia akan membawa banyak manfaat kepada rakyat dan tidak melibatkan sebarang elemen politik selain daripada akses kepada maklumat untuk semua warganegara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Malaysia Digital Economy Corp (MDEC) di Cyberjaya hari ini.
Gobind berkata jika akses kepada internet menjadi hak asasi yang dijamin di bawah Perlembagaan, kerajaan negeri dan dan kerajaan Persekutuan akan lebih serius dalam melaksanakan usaha untuk membawa internet kepada setiap rakyat Malaysia.
"Saya melihat kepada pindaan perlembagaan, tetapi sebagai permulaan saya akan bangkitkan (cadangan ini) di peringkat Kabinet dan selepas itu saya akan lihat sama ada cadangan ini mendapat sokongan dalam kalangan ahli Parlimen atau tidak," katanya.
Jelas Gobind, cadangan berkenaan akan turut memberikan kesan positif kepada kemudahan internet negara dari tiga aspek iaitu ketersambungan, kos internet yang lebih rendah dan prestasi perkhidmatan termasuk kelajuan internet yang lebih baik.
Katanya pengumuman berhubung perkhidmatan internet dijangka dibuat selepas cuti Aidilfitri dan pada masa ini, perbincangan dengan syarikat telekomunikasi untuk menambah baik ketiga-tiga aspek berkenaan masih diadakan.
Ditanya mengenai kebocoran data yang berlaku di Kementerian Pendidikan dan Astro, Gobind berkata beliau memberikan tempoh seminggu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menghantar laporan mengenai isu tersebut.
"Kebocoran data adalah masalah yang sangat serius. Saya tidak memandang ringan. Saya mahu MCMC memaklumkan kembali kepada saya mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau juga meminta mana-mana pihak yang mengesan kejadian kebocoran maklumat berlaku di mana-mana supaya membuat laporan agar siasatan terperinci boleh dilakukan dan langkah penambahbaikan bagi membendung perkara yang sama daripada berulang dapat diambil.
Setakat ini hanya dua kes yang dibawa kepada perhatian umum, katanya.
Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara waktu susulan isu kebocoran maklumat dalam sistem berkenaan.
Turut dilaporkan bocor ialah maklumat peribadi lebih 50,000 pelanggan Astro yang ditawarkan untuk dijual dalam talian termasuk nama, alamat, nombor MyKad dan nombor telefon pada kadar RM3,000 untuk 10,000 pelanggan. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan