Isnin, 25 Jun 2018

'Asyraf ketua pemuda, Shahril naib'

 



Selepas berlaku kelewatan ekoran masalah teknikal, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki akhirnya diumumkan sebagai ketua pemuda Umno yang baru.

Bagi naib ketua pemuda pula dimenangi oleh Shahril Sufian Hamdan.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh membuat pengumuman tersebut, malam ini.

Keputusan itu diperolehi selepas 25 bahagian Umno terpaksa melalui proses pengiraan semula.

Sebelum ini, melalui Twitter Pemilihan Umno 2018 yang dikendalikan Unit Penerangan Umno,
kelewatan untuk mengumumkan keputusan sayap-sayap parti berlaku ekoran undi di 25 bahagian berkenaan tidak boleh disahkan kerana terdapat aduan oleh anggota bahagian berkenaan.

Lewat sebab lambat masuk data

Ditanya mengapa kelewatan berlaku, Rauf memberitahu bahawa pihaknya lambat memasukkan data.

Sementara itu, pada sidang media yang dibuat Asyraf bersama Shahril dan turut dihadiri Noraini, beliau berkata Pemuda Umno akan membuang 'pakaian' elit dan bangsawan.

Ini kerana, Asyraf memberitahu pihaknya mahu mendekati serta mendengar suara hati anak muda.

"Paling penting kita kena buangkan pakaian elit, bangsawan.

Tidur di rumah ketua cawangan

"Apa kami akan buat selepas ini masih lagi belum berbincang tetapi selepas pembentukan exco, kita akan jelajah ke semua bahagian (Umno) dan tidak akan tidur hotel.

"Kita akan tidur di rumah ketua-ketua cawangan, kampung. Akan bersama pemuda, bermain bola dengan mereka, bersama halaqah ilmu.

"Ia bagi mendapatkan apa jua maklum balas daripada mereka dan kita kena dengar suara hati anak muda," kata bekas timbalan menteri berkenaan.

Selain itu, Asyraf turut memberitahu, beliau berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama calon Pemuda Umno yang lain dan akan mempertimbangkan manifesto mereka untuk dilaksanakan.

Menurut bekas calon Umno parlimen Pasir Puteh itu, beliau juga mahu menghapuskan budaya 'kelompok' dalam parti Melayu berkenaan.

Tak mahu budaya kelompok

"Kita tak mahu budaya kelompok dalam sebuah organisasi.

"Saya akan bersama-sama dengan calon-calon presiden yang lain, berbincang kesinambungan tugas kepimpinan terdahulu supaya tiada perkara tertangguh.

"Kita juga akan ambil kira manifesto rakan-rakan lain dan teliti manifesto mereka kerana banyak perkara yang ditawarkan memberi manfaat," ujarnya lagi.

Keputusan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita Umno:

Ketua puteri: Zahida Zarik Khan
Naib ketua puteri: Nurul Amal Mohamad Fauzi

Ketua wanita: Datuk Noraini Ahmad
Naib ketua wanita: Norliza Abdul Rahim

Ketua pemuda: Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Naib ketua pemuda: Shahril Sufian Hamdan


Tiada ulasan: