Ketua umum PKR itu tidak akan menyertai Dewan Rakyat
pada sidang pertama bulan depan, dan hanya akan bercakap tentang
penglibatan aktif selepas selesai semua urusan peribadi.
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai Dewan Rakyat sebagai ahli kelab penyokong kerajaan kerana “saya belum pernah menjadi seorang ahli kelab penyokong” tetapi bukan sebagai Ahli Parlimen Pandan, dan sekurang-kurangnya bukan dalam masa 2 bulan ini, katanya.
Parlimen akan bersidang bulan depan, dan Dewan Rakyat dijadualkan akan bermesyuarat pada 16 Julai ini melantik seorang Speaker. Urusan Parlimen akan bermula keesokan hari.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh ini dibebaskan dari penjara bulan lepas dan diberi pengampunan diraja. Pengampunan ini membolehkan beliau menyertai politik secara aktif.
Beliau berkata penyertaan semula ke arena politik secara aktif hanya akan dibincangkan selepas 2 bulan ini kerana masih mempunyai komitmen lain di dalam dan luar negara, seperti kuliah dan bertemu pemimpin dunia, termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang juga kawan lamanya.
Anwar juga berkata dia tidak akan bertanding di Parlimen Pandan, kerusi yang dimenangi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bulan lepas.
Anak mereka, Nurul Izzah menang di Parlimen Pauh.
“Azizah ada mencadangkan perkara itu, tetapi tidak praktikal kerana dia perlu meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan sekarang ini saya tidak mahukan jawatan Kabinet,” kata Anwar.
Isterinya ialah timbalan perdana menteri dan menteri hal ehwal wanita dan kebajikan dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar berkata dia lebih suka kembali ke Parlimen sebagai ahli kelab penyokong kerajaan. “Saya belum pernah menjadi seorang ahli kelab penyokong,” katanya.
Awal hari ini, Anwar bertemu dengan hampir 100 ahli PKR yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN pada pilihan raya bulan lalu. Kehadiran mereka diwajibkan.
Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution berkata Anwar meminta mereka memberikan sokongan penuh kepada kerajaan baru.
“Anwar mengingatkan kepada ahli Parlimen dan Adun yang menjadi sebahagian dari kerajaan persekutuan dan negeri, supaya teguh berikan sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir.
“Hal ini kerana, Dr Mahathir memikul tanggungjawab sangat berat, tugas yang besar serta berikan dokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.
Anwar turut meminta wakil rakyat PKR terus memperjuangkan reformasi dan mesti diterjemahkan melalui perlaksanaan sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.
Dua pemimpin tinggi parti tidak menghadiri pertemuan ini iaitu Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang sedang menjalani umrah dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang ke Eropah untuk menyertai satu persidangan selaku menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan