Memaparkan catatan dengan label SIDANG DEWAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SIDANG DEWAN. Papar semua catatan

Rabu, 2 September 2020

Sidang Dewan Negara bermula hari ini

Bernama
MGF22062020_YDP-DEWAN-NEGARA-TAMAT-TEMPOH01-681x454
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran memberi 
ucapan pada hari terakhirnya sebagai Yang Dipertua Dewan 
Negara sempena Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan 
Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL 
ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Negara akan bersidang hari ini hingga 23 Sept depan dengan hari pertama tertumpu kepada pelantikan Yang Dipertua Dewan Negara ke-18.

Pelantikan itu bagi menggantikan Tan Sri S.A.Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu dan sekiranya terdapat lebih satu nama dikemukakan, pemilihan akan diadakan.

Upacara yang berlangsung di Dewan Negara, Blok Utama Parlimen itu akan disusuli dengan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu mengangkat sumpah jawatan.

Turut dijadualkan berlangsung hari ini adalah majlis angkat sumpah empat Ahli Dewan Negara baharu iaitu Mohamad Apandi Mohamad, lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Seri S. Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong), serta Ahmad Yahaya dan Datuk Wira Othman Aziz (lantikan DUN Kedah).

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa, persidangan kali ini juga akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Persidangan juga akan membahaskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) yang telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ini.

Ia termasuk tiga rang undang-undang berkaitan pandemik COVID-19, iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.- BERNAMA

Jumaat, 28 Ogos 2020

Dewan Rakyat lulus 10 RUU dalam sidang berakhir semalam

 
Persidangan pertama di bawah kerajaan PN pimpinan Perdana 
Menteri Muhyiddin Yassin ini secara tidak langsung 
memperlihatkan kekuatan sokongan kepada kerajaan apabila 
2 usul melalui undi belah bahagian memihak kepada gabungan itu.

KUALA LUMPUR: Hukuman lebih berat bagi pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan kebenaran prosiding mahkamah diadakan secara dalam talian antara 2 perkara signifikan yang mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 persidangan Dewan Rakyat yang menutup tirai semalam.

Masing-masing diluluskan melalui Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan melalui 3 rang undang-undang berkaitan mahkamah, iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020; Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020.

Selain 4 rang undang-undang itu, persidangan selama 25 hari itu turut menyaksikan 6 lagi rang undang-undang diluluskan, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Turut diluluskan ialah 3 rang undang-undang berkaitan pandemik Covid-19, iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.

Persidangan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ini juga secara tidak langsung memperlihatkan kekuatan sokongan terhadap blok PN apabila 2 usul yang dibuat menerusi undi belah bahagian memihak kepada mereka.

Undi belah bahagian itu ialah untuk Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 dan usul Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini, Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya yang dibawa oleh Muhyiddin.

Selain kelulusan rang undang-undang, persidangan kali ini turut menyaksikan 2 rang undang-undang yang sepatutnya dibentang untuk bacaan kali ke-2 ditarik balik.

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Perjawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Selain itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020, yang dijadual dibentang untuk bacaan kali ke-2 pada persidangan kali ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Seiring pertukaran kerajaan, persidangan kali ini turut menyaksikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10.

Persidangan kali ini turut melakar sejarah apabila buat pertama kali melantik seorang wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, iaitu ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Persidangan dewan kali ini ditutup dengan pemilihan ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan ahli Parlimen Kota Tinggi Noraini Ahmad.

Berlangsung ketika negara masih dalam perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), prosedur operasi standard (SOP) tertentu turut diaktifkan bagi mengekang wabak Covid-19, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan 1 meter, selain penghadang cermin diletakkan antara tempat duduk ahli Parlimen.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 2 Nov.

 

Dewan Rakyat lulus 10 rang undang-undang

azrulhakimie

 

Antaranya hukuman berat bagi pemanduan di bawah alkohol

KUALA LUMPUR – Hukuman lebih berat bagi pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan kebenaran prosiding mahkamah diadakan secara dalam talian antara dua perkara signifikan yang mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14 persidangan Dewan Rakyat yang menutup tirai semalam.

Masing-masing diluluskan melalui Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan melalui tiga rang undang-undang berkaitan mahkamah iaitu Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020; Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020.

Selain empat rang undang-undang itu, persidangan selama 25 hari itu turut menyaksikan enam lagi rang undang-undang diluluskan termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 dan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan.

Turut diluluskan pada persidangan ini ialah tiga rang undang-undang berkaitan pandemik COVID-19 iaitu Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020; Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2020.

Persidangan pertama di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ini juga secara tidak langsung memperlihatkan kekuatan sokongan terhadap blok PN apabila dua usul yang dibuat menerusi undi belah bahagian memihak kepada mereka.

Undi belah bahagian itu ialah untuk Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 dan usul Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya yang dibawa oleh Muhyiddin.

Selain kelulusan rang undang-undang, persidangan kali ini turut menyaksikan dua rang undang-undang yang sepatutnya dibentang untuk bacaan kali kedua ditarik balik.

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Perjawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Selain itu, Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020, yang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini, ditangguh ke persidangan akan datang.

Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020.

Seiring pertukaran kerajaan, persidangan kali ini turut menyaksikan Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10.

Persidangan kali ini turut melakar sejarah apabila buat pertama kali melantik seorang wanita sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat iaitu Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.

Persidangan dewan kali ini ditutup dengan pemilihan Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menggantikan Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Antara isu menarik dibangkitkan Ahli Parlimen pada minggu terakhir bersidang ialah isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa melanggar perintah kuarantin wajib setelah pulang dari Turki, selain isu rundingan terus 101 projek di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Berlangsung ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, prosedur operasi standard (SOP) tertentu turut diaktifkan di dalam Dewan Rakyat bagi mengekang COVID-19 termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan satu meter, selain penghadang cermin diletakkan antara tempat duduk Ahli Parlimen.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Dewan Rakyat akan bersidang semula pada 2 November. – Bernama

Rabu, 26 Ogos 2020

PN tarik balik dua RUU, termasuk IPCMC

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

PARLIMEN l Dua rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berkaitan perjawatan Perdana Menteri dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), ditarik balik daripada dibentang untuk bacaan kali kedua hari ini.

Penarikan semula kedua-dua rang undang-undang itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab persidangan pagi tadi.

“Saya bangun untuk memohon mencadangkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 dan DR 25/2019 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 seperti yang tertera di nombor enam dan tujuh aturan urusan mesyuarat hari ini,” katanya.

Pindaan Perlembagaan Fasal 2 itu bertujuan untuk menggantikan perenggan (a) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri jika dia pernah memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh dua penggal Parlimen.

Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang untuk bacaan kali pertama pada 3 Dis tahun lepas, dan berada pada kedudukan keenam dalam aturan mesyuarat untuk bacaan kali kedua pada persidangan kali ini.

RUU IPCMC 2019 pula dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai tahun lepas bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia dan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Rang undang-undang itu dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Disember 2019 namun ditangguh untuk penambahbaikan dan berada pada kedudukan ketujuh aturan mesyuarat hari ini untuk bacaan kali kedua sebelum dibahaskan.

Takiyuddin pada 19 Ogos lepas dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik Rang Undang-Undang IPCMC 2019 susulan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan akan digantikan dengan rang undang-undang baharu.- Bernama

MP PAS harap akhirnya tiada lagi industri arak di Malaysia

PARLIMEN | Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir MAS) menyuarakan harapan agar industri minuman beralkohol tiada lagi di Malaysia pada satu hari nanti.

"Kita harap industri arak pada akhirnya tidak ada dalam negara kita. Ia mungkin perlu melalui proses pendidikan yang secara beransur-ansur, agar rakyat lihat arak bukan keperluan dalam hidup mereka.

"Rakyat perlu diberi kefahaman yang minuman keras bukan sebahagian daripada norma kehidupan kita," katanya ketika membahaskan rang undang-undang untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pindaan itu antara lain untuk meningkatkan hukuman terhadap pemandu mabuk.

Fadhli berkata, jika tiada lagi minuman beralkohol, ia akan menyelesaikan isu pemanduan mabuk tanpa perlu memperkenalkan undang-undang keras seperti dalam pindaan itu.

Berhubung langkah sementara pula, dia mencadangkan agar tempat letak kereta di sekitar bar dihadkan.

Ia bagi mengelakkan orang ramai untuk memandu ke sana, sebaliknya menggalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam atau e-hailing.

Pada tahun lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, yang kini menteri di jabatan perdana menteri (parlimen dan undang-undang), berkata parti itu tiada hasrat untuk melarang penjualan minuman beralkohol jika mereka menjadi kerajaan persekutuan.

Dia menegaskan bahawa di Kelantan, orang bukan Islam tidak pernah dilarang untuk membeli dan meminumnya.

"Dari segi Islam, arak dibenarkan untuk orang bukan Islam. PAS sebagai parti berteraskan Islam, tidak mempunyai hasrat buat dasar tidak benar arak untuk orang bukan Islam," katanya lagi.

Speaker tolak usul bahas tindakan Khairuddin langgar SOP

Malaysiakini
  • Di kemas kini dengan laporan penuh.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menolak usul tergempar untuk membahaskan tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali melanggar perintah kuarantin.

Azhar, dalam surat yang dilihat Malaysiakini, berkata Khairuddin sudah didenda RM1,000 dan polis juga sedang menyiasat perkara itu.

Oleh yang demikian, Azhar berkata, intipati usul yang dicadangkan itu tidak lagi menjadi sesuatu yang perlu segerakan.

Dia berkata demikian ketika menjawab surat Karim (PH-Pasir Gudang) pada Isnin.

Khairuddin pulang daripada Turki pada 7 Julai lalu tetapi tidak menjalani perintah kuarantin wajib di rumah yang ditetapkan kerajaan pada masa itu.

Pemimpin PAS itu sebaliknya hadir dalam beberapa acara termasuk sidang parlimen pada 13 Julai.

Hassan mahu perkara itu dibahaskan di parlimen kerana Khairuddin melanggar prosedur operasi piawai (SOP) ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan.

Hassan berkata perkara itu melibatkan kepentingan awam kerana denda terhadap menteri itu memberi gambaran terdapat pilih kasih dalam pelaksanaan undang-undang.

Katanya, dalam kes melibatkan rakyat biasa, mereka dikenakan hukuman lebih berat oleh mahkamah.

Hassan cuba merayu terhadap penolakan usul itu ketika sidang hari ini, yang ketika itu dipengerusikan oleh timbalan Azhar, Rashid Hasnon.

Rashid berkata Hassan perlu menulis surat jika mahu keputusan itu disemak semula.

Selasa, 25 Ogos 2020

Kenapa menteri ingkar kuarantin tak didakwa di mahkamah, soal pembangkang


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan isu seorang menteri tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki, di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali berkata, tiada sesiapa yang melebihi undang-undang kerana akta digubal untuk melindungi rakyat dan negara.

“Sesiapa saja kalau kita lihat, semasa Covid-19 ini, malah Agong dan perdana menteri sendiri melalui kuarantin di rumah.

“Tetapi, kalau ada kes lebih serius yang dijalankan penyiasatan polis, maka ini terpulang kepada agensi seterusnya seperti pihak polis dan peguam.

“Kalau kes Seksyen 24 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dihadapkan ke mahkamah, maka mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk kesalahan dilakukan dan tak kira sesiapa,” katanya di Dewan Rakyat.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati sekali lagi mempersoalkan kenapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali tidak dihadapkan ke mahkamah.

Mereka mahu tindakan lebih tegas kerana rakyat yang melanggar peraturan Covid-19 dipenjarakan, tetapi bukannya menteri.

Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob pernah berkata, mereka yang melanggar peraturan akan didakwa di mahkamah mulai April lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon bertindak mematikan speaker dan mengingatkan ahli Parlimen tiada soalan tambahan dibenarkan.

“Ini bukan sesi perbahasan, ini sesi pertanyaan, soalan sudah dijawab.”

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan dilaporkan berkata, Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah melalui Twitternya berkata, walaupun Khairuddin dikompaun RM1,000 atas kesalahan itu, kes itu masih disiasat polis.

Khairuddin sepatutnya menjalani kuarantin wajib 14 hari sekembali dari Turki pada 7 Julai lalu, tetapi beliau menghadiri beberapa acara, termasuk sidang Parlimen pada 13 Julai lalu.

Khairuddin kemudiannya memohon maaf dan berjanji akan memulangkan semua gajinya sebagai menteri untuk Mei hingga bulan ini sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19) di bawah Kementerian Kesihatan.

#Sumber : FMT  

Jumaat, 14 Ogos 2020

Dewan Rakyat: Minggu kelima minggu ‘kewangan’

azrulhakimie

 

Isu ekonomi, perbelanjaan negara jadi menu utama minggu ini

KUALA LUMPUR – Isu ekonomi dan perbelanjaan negara menjadi menu utama Dewan Rakyat minggu ini, selain isu-isu lain termasuk akta antilompat parti tidak ketinggalan menambah perisa pada persidangan yang masuk minggu kelima.

Sebaik usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dibahas 10 hari oleh 129 Ahli Parlimen diluluskan pada hari pertama minggu ini, persidangan diteruskan dengan pembentangan tiga rang undang-undang berkait rapat hal ehwal ekonomi negara.

Ini termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2019 sebanyak RM7,005,753,850 yang diluluskan pada Rabu selepas dibahas selama dua hari.

Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 yang dibentang untuk bacaan kali kedua pada Khamis bagi memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 akan bersambung pada minggu hadapan untuk dibahaskan.

Turut dibentangkan Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang dibentang untuk bacaan kali pertama bertujuan menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Masa Pendek.

Isu had siling peruntukan bagi setiap bajet tambahan turut ditimbulkan Ahli Parlimen ketika perbahasan, dan Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abdul Rahim Bakri berkata secara asasnya tiada had siling ditetapkan untuk peruntukan tambahan, kerana ia bergantung kepada keperluan semasa setiap kementerian.

Abdul Rahim turut memberi komitmen kerajaan untuk memastikan peruntukan tambahan bagi setiap kementerian dilakukan tidak lebih daripada sekali dalam tempoh setahun dan dalam jumlah keseluruhan yang kecil.

Isu kewangan negara terus disentuh Ahli Parlimen yang membangkitkan soal baki RM14.51 juta Tabung COVID-19 dan Dewan Rakyat dimaklumkan akan digunakan untuk bantuan khas pengurusan kematian dan kehilangan pendapatan, selain bagi membantu individu yang dikuarantin dan dimasukkan ke wad untuk rawatan COVID-19.

Bagi program Musa’adah COVID-19 pula, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa nilai bantuan melalui program itu telah mencecah RM269.8 juta sehingga 30 Julai lepas.

Tidak ketinggalan isu Tabung Haji yang hampir setiap minggu dibangkitkan, dan sering kali menimbulkan suasana ‘panas’ persidangan, dan minggu ini Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan bersedia mempertimbangkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan agensi itu.

Turut disentuh minggu ini ialah usul Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) apabila rata-rata Ahli Parlimen blok kerajaan meminta ia ditarik balik daripada aturan mesyuarat, selain isu undang-undang berkaitan lompat parti yang menurut pihak kerajaan perlu kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan untuk direalisasikan.

Isu lain yang menarik kali ini termasuk mengenai harga siling baharu pelitup muka tiga lapis yang diturunkan kepada RM1 seunit, berkuat kuasa Sabtu ini, bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos lepas.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 masih diberi penekanan bagi memastikan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar dan bebas virus itu.

Mengambil maklum kewujudan kluster baharu wabak itu di utara Semenanjung, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menyarankan Ahli Parlimen yang bergejala atau balik ke kawasan terutama di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) agar menjalani saringan COVID-19. – Bernama

Khamis, 13 Ogos 2020

Parlimen lulus RUU Perbekalan Tambahan 2019 lebih RM7 bilion

Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian 
membahaskan RUU Perbekalan Tambahan 2019 sebanyak lebih RM7bilion 
di peringkat jawatankuasa disusuli sesi penggulungan oleh kementerian 
terlibat semalam.

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2019 sebanyak RM7,005,753,850.

Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan 1 Abdul Rahim Bakri itu diluluskan selepas bacaan kali ke-3 dan mendapat sokongan suara terbanyak ahli Parlimen.

Perbelanjaan tambahan itu dimohon untuk pindahan lebihan daripada Akaun Hasil Disatukan 2019 ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM1.072 bilion dan RM778.6 juta untuk menampung perbelanjaan luar jangka 2019.

Sebanyak RM5.155 bilion pula adalah peruntukan tambahan langsung kepada kementerian dan jabatan yang diberi kebenaran untuk berbelanja melebihi peruntukan bagi membiayai perkara yang komited pada 2019.

Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa disusuli sesi penggulungan oleh kementerian yang terlibat dalam anggaran perbelanjaan tambahan tersebut.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Kewangan sebanyak RM3.628 bilion, Kementerian Kesihatan (RM1.179 bilion), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (RM635.9 juta), Kementerian Pendidikan (RM623.7 juta), Kementerian Pertahanan (RM362.9 juta), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (RM313.2 juta) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (RM77.1 juta).

Ia turut melibatkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (RM58.2 juta), Kementerian Industri Utama (RM40.3 juta), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (RM39.4 juta), Kementerian Kerja Raya (RM16.1juta), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM15.6 juta), Kementerian Luar Negeri (RM13.9 juta) dan Kementerian Pengangkutan (RM50 juta).

Rang undang-undang itu diluluskan di peringkat dasar semalam dengan sokongan suara terbanyak ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

Isu hukuman mati ke atas kesalahan dadah dijangka jadi tumpuan Parlimen hari ini

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dijadual meminta penjelasan 
perdana menteri berhubung cadangan meminda hukuman bagi kesalahan 
pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum.

KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada kerajaan akan memansuhkan hukuman mati ke atas kesalahan pengedaran dadah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang diajukan oleh Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kepada perdana menteri.

Ramkarpal juga ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara minimum supaya hukuman dijatuhkan berdasarkan fakta setiap kes sekiranya kerajaan memansuhkan hukuman mati bagi jenayah itu.

Selain itu, perkara yang dijangka menjadi tumpuan adalah soalan daripada Noh Omar (BN-Tanjong Karang) pada sesi waktu pertanyaan menteri.

Noh meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan berhasrat menubuhkan suatu jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah bagi menaik taraf perkhidmatan serta integriti institusi berkenaan.

Dalam sesi yang sama, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta perdana menteri menyatakan adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk memberi bantuan kepada Lubnan susulan letupan bom di Beirut yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 78 kematian dan 4,000 kecederaan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baru dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Rabu, 12 Ogos 2020

Kerajaan Selangor zalim, roboh premis peniaga kecil – Noh

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF27112019_PARLIMEN-MALAYSIA07-1-681x454
Noh Omar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang (BN), Tan Sri Noh Omar menyifatkan kerajaan Selangor sebagai zalim apabila mendakwa merobohkan premis peniaga kecil di kawasan Sungai Buloh.

Menyuarakan mengenai perkara itu di Dewan Rakyat, beliau menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya campur tangan bagi menolong peniaga kecil terbabit selepas terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Katanya, beliau menyokong langkah meroboh peniaga seperti yang menjalankan aktiviti haram seperti menjual arak, judi dan pusat hiburan haram, namun bukan melibatkan peniaga kecil.

“Sebab apa roboh. Jangan jadikan mereka mangsa dengan tindakan zalim ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Hari ini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita beberapa premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu di Bandar Baru Sungai Buloh.

Antara premis yang disita adalah pusat hiburan tanpa lesen dan beberapa premis perniagaan lain.

Sebanyak 98 notis pemberitahuan dan tujuh notis meroboh kepada 94 premis dikeluarkan oleh pihak MBSA.

Dalam pada itu Noh berkata, beliau telah turun ke Sungai Buloh tengah hari tadi bagi melihat sendiri gerai peniaga kecil yang dirobohkan.

Beliau turut mendakwa, notis yang dikeluarkan juga tidak mengikut peraturan berikutan terdapat beberapa notis daripada MBSA yang mahu meroboh dengan serta-merta.

“Mana boleh roboh serta-merta. Kena ada notis dan ikut arahan mahkamah,” tegasnya.

Bagaimanapun, Zuraida ketika menggulung perbahasan memberitahu, beliau tidak dapat menjawab mengenai isu perobohan tersebut kerana ia kini dalam siasatan polis.

Ujarnya, beliau akan menghubungi MBSA terlebih dahulu untuk memeriksa dan melihat isu sebenar yang berlaku di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

Hutang, pendapatan negara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

azrulhakimie

 

Adakah kerajaan akan perluas CRS ke sektor pengangkutan awam

KUALA LUMPUR – Jumlah hutang dan anggaran pendapatan negara pada tahun ini antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Alice Lau Kiong Yieng (DAP-Lanang) kepada Menteri Kewangan.

Lau turut bertanyakan apakah langkah yang diambil bagi memulihkan ekonomi serta meningkatkan hasil pendapatan negara susulan impak wabak COVID-19.

Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (Bersatu-Libaran) pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sejauh mana tahap pelaksanaan dasar penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas.

Zakaria turut bertanyakan adakah kementerian bercadang memperluaskan pelaksanaan CRS itu ke sektor pengangkutan awam.

Sementara itu, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) akan mengajukan soalan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah diambil kementerian dalam memastikan kepuasan hati rakyat terhadap kualiti dan penerimaan perkhidmatan siaran TV Digital yang disediakan melalui MyFreeview.

Persoalan ekosistem cara hidup digital masyarakat Malaysia di luar bandar dan pedalaman yang tidak mendapat akses jalur lebar dan perkhidmatan 3G/4G memuaskan, turut dibangkitkan oleh Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama

Selasa, 11 Ogos 2020

Harga siling pelitup muka tumpuan Dewan Rakyat hari ini

azrulhakimie

 

Apa rasional naik harga maksimum topeng muka tiga lapis ke RM1.50

KUALA LUMPUR– Isu harga siling pelitup muka antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Stampin) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Chong bertanya mengenai rasional KPDNHEP menaikkan harga maksimum topeng muka tiga lapis daripada RM0.80 sen sekeping ke RM1.50 sekeping.

Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) pula dijangka bertanyakan Menteri Dalam Negeri mengenai bilangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Sekolah Henry Gurney dan tahanan imigresen secara terperinci mengikut lokasi pusat tahanan dan tahanan imigresen serta pecahan kewarganegaraan mereka.

Kasthuriraani turut bertanyakan langkah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu kanak-kanak dalam tahanan imigresen.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai langkah atau program jangka pendek daripada segi ‘upskilling’ (peningkatan kemahiran) dan ‘reskilling’ (pengambilan semula) pekerja dalam industri pelancongan yang terkesan oleh COVID-19.

Isu kualiti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) turut dibangkitkan oleh Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah dan inisiatif kementerian dalam menjaga dan mempertingkatkan kualiti PISMP supaya standard pengajaran guru sentiasa pada tahap cemerlang.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. = Bernama

Isnin, 10 Ogos 2020

Kekeliruan di Parlimen berhubung penyelesaian 2 negara konflik Palestin-Israel

 

Maszlee Malik (kiri) tertanya-tanya sama ada Abd Hadi Awang menyokong 
pendirian kerajaan mengenai penyelesaian 2 negara untuk Israel dan Palestin.

KUALA LUMPUR: Kekeliruan tercetus di Dewan Rakyat hari ini mengenai persoalan sama ada PAS menerima pendirian kerajaan berhubung penyelesaian 2 negara dalam konflik Palestin-Israel.

Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) berkata duta khas perdana menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang, yang juga presiden PAS, menolak penyelesaian 2 negara.

“Tetapi kementerian luar negeri kita menyokong penyelesaian 2 negara dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara..

“Apakah duta khas kita ke Timur Tengah mengambil pendirian negara ataupun masih dengan pendiriannya menolak ‘two-state solution’ dan saya kira ini juga pendirian PAS,” tanya Maszlee ketika sesi perbahasan, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sebarang keputusan mengenai penyelesaian 2 negeri oleh kerajaan akan dibincang dengan Hadi, yang juga ahli Parlimen Marang.

“Setakat ini, pendirian kita masih lagi konsisten iaitu Palestin mesti diwujudkan dan menolak ‘two-state solution’. Itu bukan keputusan, tetapi kita sedang berbincang dan kita kena bawa mungkin di Parlimen,” katanya.

Maszlee bagaimanapun berkata, beliau keliru dengan kenyataan yang bertentangan antara menteri itu dan kementerian luar negeri.

Namun Redzuan berkata, kerajaan sedang “membuat keputusan”.

Timbalan speaker, Rashid Hanson kemudian bertanya kepada Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein sekiranya beliau mempunyai kenyataan tambahan berhubung isu itu.

Hishammuddin menjelaskan bahawa pendirian kementerian adalah jelas.

Katanya, ia menyokong penyelesaian 2 negara, yang juga merupakan pendirian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, pendirian PAS mengenai perkara itu dibuat sebelum Hadi dilantik sebagai duta khas ke Timur Tengah.

“Saya pun telah bincang dengan Hadi bahawa perkara ini dibangkitkan semasa PAS berada di luar kerajaan. Maka, perkara ini akan dibangkitkan semula dan dibincangkan di peringkat parti PAS. Mudah sahaja,” katanya.

Namun Maszlee berpendapat bahawa kenyataan menteri itu mengelirukan kerana Hishammuddin berkata beliau telah membincangkan isu itu dengan PAS dan telah mengubah pandangan sebelum menyertai kerajaan, sedangkan Redzuan berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti Islam itu.

Isu Tuntutan Hak Minyak Dan Gas Di Sarawak Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas di Sarawak adalah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) bertanya Perdana Menteri mengenai usaha kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian komersial itu.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai garis panduan terhadap syarikat yang mahu membuat pelaburan di dalam dan luar negara tetapi masih terpalit dengan isu bayaran pampasan dan sebagainya.

Isu getah turut dibangkitkan oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha kerajaan meluaskan lagi penggunaan getah sebagai elemen utama dalam pembinaan jalan raya dan jika penggunaan getah ini dapat meningkatkan harga getah yang terlalu lesu sekarang.

Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dijadual menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – BERNAMA

Jumaat, 7 Ogos 2020

Pertembungan Menteri, Bekas Menteri Hangatkan Dewan Rakyat

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Sebanyak 26 kementerian selesai menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong sepanjang minggu ini, dengan beberapa keputusan penting dimaklumkan di Dewan Rakyat.

Antara menarik perhatian ialah mengenai kertas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lepas.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Muhammad Adib pada 17 Dis 2018 itu dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyebut cadangan juga melibatkan membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Selain itu, Dewan Rakyat juga diberitahu kerajaan kini sedang dalam proses untuk memuktamadkan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyaksikan perubahan dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada laluan asal oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika sesi soal jawab dan penggulungan menyatakan kerajaan mengambil kira beberapa faktor seperti daya maju projek, kesalinghubungan rel dan implikasi kewangan sebelum kelulusan diberikan bagi jajaran ECRL itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula memaklumkan mengenai pembatalan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang sebelum ini dibuat kerajaan PH, selepas mengambil kira pengalaman Singapura dan maklum balas pakar perundangan termasuk, Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, sidang Dewan Rakyat sedikit tercalar dengan insiden tidak cukup korum Ahli Parlimen sehingga menyebabkan persidangan dewan terhenti seketika semasa sesi penggulungan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sidang dewan juga kecoh apabila ada Ahli Parlimen pembangkang yang membuat kenyataan bahawa “Speaker berat sebelah” ketika sesi penggulungan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Turut menarik perhatian, sesi penggulungan beberapa kementerian menyaksikan perbahasan tegang antara menteri dan bekas menteri yang pernah memegang portfolio sama, seperti Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Lim Guan Eng.

Sesi penggulungan akan bersambung melibatkan Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri pada persidangan minggu kelima, Isnin depan. – BERNAMA

Hisap Vape: Maszlee Malik berkias, gesa menteri letak jawatan

Muhammad Azizul Osman

maxresdefault-39-681x383

KUALA LUMPUR – “Sila berundur!

Itu gesaan bekas Menteri Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik mengenai tindakan Menteri Luar Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menghisap rokok elektronik (vape) di Dewan Rakyat semalam.

Maszlee berkata, sebagai pemimpin, individu itu harus menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Malah katanya, sekiranya terbukti melakukan kesalahan itu, tindakan meletakan jawatan adalah wajar.

“Gejala merokok dan menghisap vape di kalangan pelajar semakin serius dan menjadi cabaran kepada pihak pendidik dan Sekolah.

“Kepada para pemimpin jadilah contoh yang baik dan jika anda gagal menjadi contoh yang baik, sila berundur! (If you are caught red handed),” katanya menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.

Semalam, Hishammuddin memohon maaf atas tindakannya menghisap rokok elektronik di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Sembrong itu juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.

Perbuatan itu terpapar pada kaca televisyen Dewan Rakyat ketika sesi penggulungan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sedang berlangsung.

Hishammuddin berkata, beliau akan membayar denda yang dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berhubung isu membabitkan saya hari ini, saya mengaku ia memang kesalahan saya. Sekali lagi saya mohon maaf kepada Dewan yang mulia serta seluruh rakyat Malaysia.

“Saya janji tidak akan ulangi kesalahan ini. Saya juga tetap berpendirian bahawa tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan denda – saya akan bayar,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – MalaysiaGazette

Dewan Rakyat dipanaskan isu surat Tommy Thomas

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PARLIMEN | Suasana panas tercetus di Dewan Rakyat petang ini ekoran isu keputusan untuk mendapatkan penyelesaian luar mahkamah kerajaan dengan firma Goldman Sachs.

Ia bermula apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memetik nama Tommy Thomas dengan merujuk surat bekas peguam negara itu - bertarikh 11 Feb - yang didakwa bersetuju dengan penyelesaian luar mahkamah bersama bayaran balik dana sebanyak AS$1.75 bilion.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bangkit mempersoalkan sama ada persetujuan Perikatan Nasional (PN) untuk penyelesaian bernilai AS$3.9 bilion itu mendapat kelulusan kabinet.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, kemudian mencelah dan memberikan jawapan kepada soalan Lim itu bagi pihak kerajaan.

Sebelum ini Thomas mengkritik persetujuan kerajaan PN dengan Goldman Sachs - bernilai AS$2.5 bilion dalam bentuk tunai dan AS$1.4 bilion dalam bentuk jaminan - bagi mendapatkan semula aset yang diperolehi menggunakan dana 1MDB.

Menurut Thomas, kerajaan sepatutnya boleh mendapat nilai lebih tinggi daripada perjanjian berkenaan.

Kata Tengku Zafrul, pada 11 Feb Thomas menulis surat kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, untuk memberitahu Goldman Sachs bersetuju menaikkan tawaran penyelesaian mereka kepada AS$1.75 bilion.

Kata senator itu ia termasuk AS$164 juta cukai dan pemulangan semula AS$576 juta fi yang dibayar kepada Goldman Sachs oleh kerajaan sebelum ini.

"Syor yang diberikan mantan peguam negara ketika itu ialah untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah," katanya.

Oleh sebab itu, kata Tengku Zafrul, tidak wajar untuk Thomas mendakwa kerajaan PN tidak sepatutnya mengambil langkah yang memang dipersetujuinya sebelum ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Thomas berhubung dakwaan Tengku Zafrul.

Susulan kenyataan dibuat menteri kewangan itu, Tony Pua (PH-Damansara) bangun mencelah dan mendakwa Thomas sebenarnya mencadangkan penyelesaian dibuat hanya selepas Goldman Sachs dan pegawai eksekutifnya didakwa di mahkamah.

Dengan cara itu, kata Pua, kerajaan boleh memaksimumkan perolehannya daripada firma berkenaan.

Menurut Pua lagi, setakat pengetahuannya, kerajaan PH juga sebelum ini pernah menolak tawaran penyelesaian Goldman Sachs bernilai AS$1.75 bilion.

Khamis, 6 Ogos 2020

Zuraida: Kerajaan PN tak akan laksanakan pilihan raya k'jaan tempatan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, Zuraida masih berpendirian pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan memberi banyak kelebihan, termasuk meningkatkan kualiti ahli majlis tempatan.

Bercakap di Dewan Rakyat, Zuraida mengatakan bahawa kerajaan tempatan (PBT) dan masyarakat belum bersedia untuk pelaksanaannya.

"Kerajaan PN tidak akan laksanakan pilihan raya kerajaan tempatan, yang saya juga lihat (merupakan) satu perkara drastik.

"Masyarakat dan PBT kita tak bersedia," katanya dalam sesi pertanyaan menteri.

Bulan lalu Zuraida memberitahu Dewan Rakyat bahawa kertas pilihan raya kerajaan tempatan akan dibentangkan pada pertengahan 2021 untuk persetujuan kabinet. Ketika ini, Pada masa ini, jawatankuasa dasar dan operasi sedang mengkaji idea tersebut. Kajian juga sedang dijalankan.

Bagaimanapun, sekutu PN dari Umno, PAS, dan GPS menyuarakan bantahan terhadap idea itu, dan Zuraida kemudian berkata beliau akan akur jika Putrajaya tidak bersetuju.

Pengkritik pilihan raya kerajaan tempatan mendakwa bahawa sistem itu akan menimbulkan ketegangan kaum terutamanya di kawasan bandar, yang dikatakan kerana terdapat lebih banyak orang Cina daripada orang Melayu.

Zuraida dalam ucapannya hari ini, bagaimanapun, berpendapat bahawa pilihan raya kerajaan tempatan sudah diadakan di "negara-negara dunia ketiga" seperti Rwanda dan Uganda, yang mewujudkan ahli majlis yang sangat berkemampuan.

"Kita tidak semestinya mengikut model mereka, tetapi jika ada pilihan raya kerajaan tempatan, standard dewan sama dengan menteri, dan mereka dapat berhujah di forum antarabangsa," katanya.

Kata Zuraida, di bawah sistem sekarang di mana ahli majlis adalah pelantikan politik, kurang daripada 10 peratus daripada 3,000 ahli majlis yang berkualiti.

Dia mengatakan bahawa kementeriannya telah menetapkan syarat bahawa ahli majlis mestilah penduduk tempatan yang mempunyai kelayakan.

"Tetapi ini pun tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Sebagai pengganti, Zuraida mengatakan kementeriannya akan berusaha untuk meminda Undang-Undang Kerajaan Tempatan untuk membolehkan majlis tempatan melaksanakan dasar yang diperjuangkan oleh kementerian itu.

Namun, dia mengatakan bahawa ia perlu mendapat persetujuan kerajaan negeri masing-masing melalui mesyuarat majlis daerah yang dihadiri oleh menteri besar dan ketua menteri.

Zuraida juga menambah bahawa kerajaan negeri kurang tekad untukm melaksanakan dasar baru.

Salah satu contoh katanya ialah cadangan menaikkan cukai taksiran, yang rata-rata tidak dinaikkan selama 20 tahun di seluruh negara.

Kata Zuraida, ia menyebabkan kerajaan tempatan kehilangan jutaan pendapatan yang mereka boleh peroleh jika kadar cukai taksiran disemak semula.

Selain itu, kata Zuraida, ia juga dapat mengelakkan kerajaan tempatan bergantung pada dana dari persekutuan.

Rabu, 5 Ogos 2020

Dewan Rakyat kecoh bila Rashid didakwa berat sebelah

Muhammad Azizul Osman
Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Ketika sesi penggulungan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, bekas menterinya, Yeo Bee Yen mempersoalkan mengenai isu tender terbuka projek penjana tenaga bebas (IPP).

Bee Yen bangkit mengutarakan samada kerajaan mahu melaksanakan tender terbuka bagi IPP ini.

Isu itu timbul apabila Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif membangkitkan mengenai tender yang diberikan kepada empat kontraktor luar.

Tidak puas hati dengan itu, Bee Yin bangun dengan berkata kenyataan itu adalah tidak benar.

‘Pertikaman lidah’ itu cuba dileraikan Timbalan Yang Dipertua Dewan, Datuk Rashid Hasnon dengan berkata ia adalah platform untuk Shamsul Anuar untuk menggulung.

“(Ahli Parlimen) Bakri, ini sesi menteri dan dapatkan kebenaran untuk mencelah,” tegas Rashid.

Masih tidak puas hati, Bee Yin berkata menteri tidak berani untuk menjelaskan pertambahan beliau.

“Menteri tidak berani untuk memaksa semasa saya membuat pencelahan,” kata Bee Yin.

“Saya tak benarkan Bakti mencelah. Menteri jawab,” kata Rashid lagi.

Justeru itu, bekas menteri itu terus menggelar Rashid berat sebelah kerana menteri tidak berani untuk menjawab.

Beliau mengulangi ini adalah pentas menteri buat menjawab.

“(Ini) bukan cara begini kita berbahas dalam dewan,” katanya.

Selepas itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 2, Willie Mongin bangun memohon Ahli Parlimen Bakri agar menarik balik tuduhan Timbalan Yang Dipertua berat sebelah.

“Ini tuduhan jahat dan berniat untuk memandang rendah kepada Speaker,” cadang Ahli Parlimen Puncak Borneo itu.

“Saya akan tarik balik sekiranya saya rasa Speaker adil,” tegas Bee Yin.

Situasi tegang apabila Bee Yin enggan menarik balik kenyataan itu sehingga beliau diberikan amaran buat kali ketiga.

“Saya bagi amaran terakhir, kalau tidak Bentara akan diarahkan anda keluar,” kata Rashid.

Enggan mengalah, Bee Yin berkata kenyataan itu akan ditarik balik jika beliau diberikan peluang kedua kepadanya untuk mencelah.

Selepas itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mencadangkan agar Bee Yin diberikan peluang dan ruang untuk menjawab dakwaan Shamsul Anuar.

“Kalau boleh diberi pandangan jawab. Lebih baik permohonan maaf dan beri ruang untuk jawab dakwaan menteri,” ujar Nurul Izzah.

Rashid turut bertegas agar kenyataan itu ditarik balik oleh Bee Yin.

“Tadi, kata saya berat sebelah dan ini kali ketiga saya beri amaran. Dan ini boleh respon daripada menteri,” kata Rashid lagi.

Akur dengan itu, Bee Yin akhirnya memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

“Saya tarik balik tapi beri saya peluang untuk jawab,” katanya lagi namun ia tidak dibenarkan Rashid dan meneruskan sesi penggulungan Shamsul Anuar.

“Tidak benarkan dan teruskan dengan penggulungan menteri,” kata Rashid lagi. – MalaysiaGazette