Isnin, 25 Jun 2018

Ahli Parlimen Bagan Serai keluar Umno, BN

THE MALAYSIAN INSIGHT
Ahli Parlimen Bagan Serai keluar Umno, BN
Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmin Ghazali itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu. – Gambar Facebook,
 
AHLI Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali hari ini mengumumkan keluar Umno dan Barisan Nasional (BN), atas kepentingan rakyat, menjadikan Umno kini tinggal 53 kerusi di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan media, Dr Noor Azmi mengisytihar menyokong kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga menyatakan sokongan dan dukungan kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan kerajaan negeri yang juga di bawah teraju PH.

"Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kepentingan rakyat yang saya wakili dan demi kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Azmi, seorang doktor perubatan, adalah ahli Parlimen pertama yang meninggalkan Umno selepas parti itu kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

Berita mengenai beliau keluar Umno dan meninggalkan BN sebelum ini pernah jadi khabar angin sehari dua selepas PRU14, namun beliau ketika itu menafikannya.

Pada PRU14, Dr Noor Azmi mengekalkan kedudukannya di kawasan Parlimen Bagai Serai dengan majoriti tipis 172 undi. Beliau mula jadi wakil rakyat kawasan itu selepas PRU 2013, menang ketika itu dengan majoriti 1,140 undi.

Dalam reaksi segera, Pemuda Amanah Perak menggesa pimpinan PH agar "tidak memberi ruang dan peluang" kepada ahli politik yang keluar parti seperti Dr Noor Azmi kerana ia akan menyebabkan rakyat memandang serong kepada kerajaan.

"Rakyat tidak boleh menerima pemimpin-pemimpin seperti ini berada di dalam kerajaan dan oleh yang demikian mereka boleh keluar parti dan menyokong kerajaan tetapi mereka tidak akan jadi parti kerajaan," kata Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Perak Muhammad Faeez Azahar.

Beliau juga mengingatkan pimpinan PH bahawa Dr Noor Amin sebelum ini lantang mempertahankan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat malah menggesa rakyat membeli barang yang tidak dikenakan GST.

"Kenyataan tersebut sangat melucukan sedangkan pada hakikatnya, banyak barang keperluan harian tidak terlepas dikenakan cukai yang sangat menjerut ini," kata Pemuda Amanah Perak.

Mereka juga mengingatkan pimpinan PH bahawa tindakan wakil rakyat itu menyokong dan menyertai parti kerajaan sekarang selepas partinya kalah pilihan raya "sangat disyaki mempunyai agenda tertentu."

Sebelum PRU14 lalu, Dr Noor Azmi dan Ketua Umno Bahagian Bagan Serai Sham Mat Sahat yang juga ADUN Alor Pongsu, berdamai dalam satu majlis disaksikan oleh bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Agendadaily melaporkan perseteruan antara dua pemimpin akar umbi itu bukan rahsia lagi, tidak berlaga angin sejak selepas PRU13.

Tiada ulasan: