Sebagai gantinya, Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan pengalaman dan harapan tanpa dogma suci PAS, berkuasa.
Dengan perubahan itu, orang berharap berakhirlah sudah pengurusan gaya BN atau kerajaan yang selalu menunjukkan keputusan, yang berkata "kami tentukan apa yang terbaik, bersyukur sajalah".
Rakyat mahukan sebuah kerajaan rakyat, daripada rakyat dan untuk rakyat – bukannya kerajaan yang memutuskan segala-galanya dengan angkuh dan memaksa rakyat membantah. Atau adakalanya, langsung tidak mempedulikan rakyat.
Maka, memeranjatkan apabila Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran membuat satu pengumuman yang mencetuskan bantahan – menyekat pekerja asing sebagai tukang masak di gerai dan restoran.
Ini mungkin isu kecil bagi sesetengah orang, tetapi di negara ini, makanan adalah segala-galanya.
Lebih daripada itu, dan ini sepatutnya menteri berkenaan sedar, Malaysia ialah sebuah negara pendatang. Thosai? Bukan dari sini. Begitu juga roti canai. Atau char kway teow, apalagi kalau difikir-fikirkan, cendol.
Pendek kata, agak keterlaluan untuk melarang sesetengah pekerja asing jadi tukang masak di gerai dan restoran tetapi membenarkan sesetengah yang lain diambil bekerja di restoran mewah. Cubalah berunding dengan industri dan dapatkan maklum balas sebelum buat pengumuman.
Tetapi nasi sudah jadi bubur. Seluruh episod ini mencerminkan pemikiran tentang tataurus.
Menteri berkenaan, yang sebelum 9 Mei adalah ahli politik pembangkang veteran, sepatutnya arif akan kuasa yang ada padanya sekarang, dan tanggungjawab yang datang bersama kuasa itu.
Seorang menteri yang menguruskan tenaga kerja tempatan dan asing – sama ada mereka itu digelar ekspatriat atau pekerja asing – sepatutnya memberikan perhatian utama kepada sektor yang menjana pendapatan kepada negara dan punca rakyat Malaysia enggan bekerja dalam sektor itu.
Bagi sektor makanan, realitinya mudah. Kita mahukan makanan yang murah dan sedap. Sekarang ini, hanya pekerja asing yang mahu bekerja dalam sektor itu, bukannya warga tempatan.
Rakyat Malaysia bercita-cita mahu jadi chef, bukannya tukang masak. Mereka mahu ada perniagaan sendiri, baik gerai burger, trak makanan, sebuah restoran atau sebuah rangkaian restoran. Mereka mungkin menggaji pekerja asing untuk memastikan kos operasinya rendah.
Itu sebabnya mereka ini mesti dikawal selia. Pastikan amalan yang baik untuk kebersihan dan kesihatan. Pastikan hak pekerja dilindungi.
Tetapi jangan pula tentukan siapa patut jadi tukang masak. Apatah lagi, selama ini permit yang dikeluarkan adalah bagi tukang masak tetapi permit itu disalahgunakan untuk membawa masuk pelayan. Bersihkan sistem yang ada dan dapatkan mereka yang terbaik dari serata dunia untuk datang bekerja di sini.
Malaysia mesti terus dibangunkan atas kepelbagaiannya, bukannya rasa prejudis terhadap orang asing. Tidak usahlah kita menutup pintu dapur kepada dunia atau kita akan tidak akan dapat merasai bakat dan nikmat yang ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan